Dari diari hidupku........insan kurang upaya lagendabuta.
Sudah dua minggu sejak ketiadaan anakku. Aku tidak diangkat duduk di kerusi roda. Hari ini anakku pulang bercuti. Jadi petang ini aku berpeluang duduk dan mandi setelah lama badanku ini tidak di basahi air.
Di luar hujan mulai turun renyai-renyai. Walaupun cuaca agak sejuk aku tetap berdegil untuk di mandikan. Jika tidak di mandi petang ini. Aku terpaksa menunggu seminggu lagi. Esok anakku akan kembali ke kolejnya. Badanku tidak boleh menunggu lebih lama lagi, rindunya pada air tidak terkira. Gelora rindunya bagaikan pungguk rindukan bulan. Seumpama Laila rindukan Majnun. Orang kata penantian adalah satu penyiksaan.
Anakkku memaut belakangku sementara isteriku mengampu bahagian kakiku. Mereka bersiap sedia untuk mengalihkan badanku dari katil ke kerusi roda.
“Satu, dua, tiga!” secara serentak badanku diangkat ke kerusi roda.
“Perghhh, beratnya badan abang, sakit pinggang Ain,”keluh isteriku sambil memicit-micit pinggangnya.
“Angkat sikit kepala abang, terkulai macam orang patah tengkok saja,”tegur isteriku sambil menolak daguku ke atas.
Memang begitu keadaanku bila setiap kali di angkat. Badan dan kepalaku terkulai ke depan. Aku tidak berupaya menahannya. Aku seperti pokok pisang tua yang di cantas jatuh menyembah bumi.
“Ikat badan ayah kau Amir, nanti jatuh pula ke bawah,”kata isteriku sambil menghulurkan tali pinggang kepadanya.
Tali pinggang biru yang mengikat badanku ini pernah megah terikat di pinggang anakku. Tali pinggang yang di pakai olehnya ketika bertarung di gelangang Taekwando. Kini tali pinggang itu menjadi miliku selamanya. Aku juga sedang bertarung di gelangang, bertarung dengan realiti kehidupan .
Setelah badanku di ikat rapi, kerusi rodaku di tolak keluar ke bahagian depan rumah. Di sini tempatku di mandikan sejak lima tahun dulu. Ruang ke bilik air rumahku tidak mesra OKU, laluannya sempit. Di sini juga satu hari nanti aku akan di mandikan untuk terakhir kalinya.
“Indah, ambil sabun,syampo dan berus gigi bawa ke sini,”jerit isteriku pada anakku yang leka mengadap PC.
Pili air dibuka, perlahan-lahan air disiramkan ke tubuhku. Bermula dari kaki naik ke badan. Bahagian badanku ibarat mencurah air di daun keladi, tidak terasa kesejukannya. Ketaran tubuhku mula terasa bilamana air mencecah di bahagian bahu dan mukaku.
Isteriku mengosok-gosok daki di badanku. Mataku pula tertumpu melihat gelagat se ekor kucing yang terbaring di dalam sangkar. Kedua-dua kakinya cedera di gelek kereta sebulan yang lalu. Kini kucing ini hilang upaya untuk bergerak dan berlari.
Simpati pada kucing yang tidak mampu bergerak, lalu di jadikan kucing angkat oleh anakku. Setiap hari di beri makan dan minum, di bersihkan najisnya, diletakan ubat di kakinya dan di mandikannya. Anakku yang satu ketika dulu takut dan geli dengan kucing kini mulai berani. Dari rasa simpati kini bertukar kepada rasa sayang.
Melihat keadaan kucing ini teringat pada diriku. Nasib kita lebih kurang sama saja. Kedua-duanya kurang upaya. Kau tidak boleh berjalan. Aku pun begitu. Kau terbaring lesu. Aku pula terbaring kaku. Kau tidak mampu mencari makanan sendiri, harapkan simpati orang. Begitu juga diriku, segala-segalanya perlukan bantuan.
Yang membezakan kita. Aku manusia kau pula haiwan. Aku punya keluarga dan tanggung jawab, kau pula tidak. Aku punya akal dan fikiran, kau….aku tidak pasti.
“Buka gengaman jari abang, Ain hendak gosok jari-jari tuu,”pinta isteriku menyentak lamunanku pada si kucing yang kurang upaya.
Petang ini tiada lagu yang kudendangkan untuk menghibur hati. Hatiku sesuram dan sedingin cuaca petang ini. Aku tidak seceria seperti hari-hari selalu bila di mandikan. Nasib si kucing ini mencuri ruang fikiranku petang ini.
“Ambil berus gigi ini, belajar gosok gigi sendiri,”kata isteriku sambil menghulurkan berus gigi berkuasa bateri kepadaku. Inilah satu-satunya aktiviti yang mampu kulakukan sendiri setakat ini.
Hujan turun semakin lebat. Gigiku mula mengetap bibir kesejukan. Sebelum masuk ke dalam rumah aku sempat melihat kucing kurang upaya tadi. kasihan dia terbaring saja, tidak seperti kucing-kucing lain berlari ke sana dan ke sini. Entah sampai bila dia perlu bergantung hidup di atas ihsan orang.
Dalam hatiku berkata ‘Apa kurangnya aku’. Kita serupa tapi tidak sama…….
http://kassim8888.blogspot.com/-----------------
Aku bukan buta mata juga bukan buta hati tetapi liku-liku kehidupan di hadapanku di selubungi kegelapan dan kegelitaan... HITAM