Array
Selamat Datang ke Portal Komuniti :: Ukhwah.com
  Assalamualaikum Tetamu: Mendaftar | Login Depan Perihal Peraturan & Etika Profil Liputan Media Impian & Harapan Hubungi Kami Laman Peribadi  

Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

Mutiara Kata
Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.
-- al-Baqarah: 286

Menu Utama

Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 43
Ahli: 0
Jumlah: 43

Yang Masuk Ke Sini
nasiruddin: 6 hari yang lalu
Kang: 25 hari yang lalu
lidah-penghunus: 27 hari yang lalu
muslimin23: 35 hari yang lalu

[ Mari BERSELAWAT kepada RASULULLAH S.A.W dan keluarga Baginda setiap kali masuk ke Ukhwah.com ini ]

Al-Quran dan Hadis
Topik: Cerita KISAH NABI MUHAMMAD S.A.W

Carian Forum

Moderator: Administrator
Portal Komuniti :: Ukhwah.com Indeks Forum
  »» Al-Quran dan Hadis
    »» Cerita KISAH NABI MUHAMMAD S.A.W

Please Mendaftar To Post

Oleh Cerita KISAH NABI MUHAMMAD S.A.W

ikhwan5217
Warga 3 Bintang
Menyertai: 25.02.2006
Ahli No: 22999
Posting: 121
Dari: Pusat Islam Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin

Terengganu   avatar

posticon Posting pada: 03-04-06 16:02

Kehidupan Muhammad

"Sesungguhnya Al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal saleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar."
Al-Qur'an, Al-Israa' (17):9
Nota: Sumber utama maklumat berikut adalah buku "Al-Seerah al-Nabawiyyah" oleh Ibn Hisham, dan "Al-Seerah al-Nabawiyyah" oleh Abu-AlHasan Al-Nadwi. Sumber-sumber lain juga turut digunakan.
Kawasan di sekeliling Semenanjung Arab
Pada abad keenam Masihi, semasa kelahiran Muhammad (s.a.w.), Semenanjung Arab dikelilingi oleh beberapa empayar yang besar. Empayar-empayar ini sering bertelingkah, berperang dan menakluki wilayah. Sempadan negara sentiasa bertukar dan kadang kala sesebuah negara jatuh di bawah kemaraan tentera jiran yang lebih gagah dan berkuasa. Bagaimanapun, pada zaman di mana rakyat negara-negara ini telah biasa dengan berbagai pemerintah, penakluk-penakluk, ahli-ahli falsafah, dan agama-agama, sepanjang masa ini, Allah Yang Maha Berkuasa berpendapat perlu untuk melindungi Semenanjung Arab daripada kuasa-kuasa ini dan membiarkan penduduknya bebas, dan berbangga dengan kebebasan mereka yang tidak pernah tunduk kepada tuhan-manusia atau mana-mana pemerintah yang mendakwa dirinya "penjelmaan" tuhan-tuhan mitos seperti mana yang terjadi pada bangsa Parsi, Rom, India dan banyak bangsa-bangsa lain di sekeliling mereka. Walaupun paganisma dan penyembahan berhala berakar umbi, kepercayaan paganisma mereka adalah mudah dan adalah paganisma yang asas berbanding dengan paganisma bangsa-bangsa yang mengelilingi mereka yang lebih kompleks dan berbagai rupa.
Keadaan empayar Rom telah dibincangkan dengan agak terperinci dalam bab-bab terdahulu (lihat Bab 1-3), jadi ia hanya dibincangkan sepintas lalu di sini.
Empayar Rom
Keadaan Empayar Rom bukanlah keadaan yang dicemburui. Empayar Bizantin (terletak di bahagian timur Empayar Rom) dibebani dengan cukai dan rasuah berleluasa. Rakyatnya amat kecewa dengan keadaan mereka yang melarat sehinggakan kekacauan dan rusuhan adalah perkara biasa. Pada tahun 532 M, pada zaman pemerintahan Justin I, satu rusuhan telah menyebabkan kematian lebih tiga puluh ribu rakyatnya di ibu kotanya, Konstantinopal.
Pada masa ini, pengumpulan harta dan wang dengan apa cara sekali pun menjadi amalan biasa. Golongan elit agama amat tidak bertolak-ansur terhadap sesiapa yang tidak mengikuti kepercayaan mereka dan ini mengakibatkan banyak pertumpahan darah dan kempen-kempen penindasan. Para pemerintah tenggelam dalam kemewahan dan berbuat sesuka hati tanpa mempedulikan apa akibatnya terhadap rakyat mereka. Kegiatan hiburan terdiri daripada sukan-sukan darah yang amat kejam. Sehingga 80,000 orang akan menghadiri acara-acara ini pada satu-satu masa yang diadakan di koliseum untuk menghiburkan diri dengan menyaksikan pertarungan maut di antara manusia, atau di antara manusia dan singa, atau binatang-binatang lain.
Mesir membekalkan bijirin yang merupakan makanan kepada rakyat Rom, yang mana ia juga adalah sumber pendapatan kerajaan. Empayar ini memeras ladang yang subur ini dengan cukai yang tinggi, pemerintahan yang kejam dan penindasan agama untuk mengekalkan cara hidup mewah kelas elit pemerintah. Keadaan ini tidaklah lebih baik daripada keadaan di Siria yang diperintah secara kuku besi yang mengenakan cukai yang amat tinggi sehinggakan rakyatnya tiada cara lain kecuali menjual anak-anak sendiri sebagai hamba abdi untuk membayar cukai yang dikenakan ke atas mereka.

Gambarajah 10-1:Kawasan Timur Tengah pada abad keenam Masihi Empayar Iran
Zoroastrinisma adalah agama rasmi empayar Sassan pada zaman ini memandangkan ia adalah kepercayaan raja-raja Parsi semenjak kerajaan ini ditubuhkan pada abad ketujuh S.M. oleh Zoroaster (atau Zarathusthra). Pada zaman Iran purba, dua kumpulan tuhan-tuhan disembah, iaitu Ahuras dan Daevas. Ajaran Zoroaster adalah bahawa Ahura Mazda, iaitu Tuhan Cahaya Yang Bijaksana, adalah satu-satunya pencipta dan tuhan dunia, dan bahawa penyembahan Daevas adalah penyembahan terhadap kegelapan dan kejahatan. Tuhan-tuhan mitologi purba yang lain dihidupkan semula di seluruh negara ini, dan yang paling perlu disebut di sini adalah Mithra (dikaitkan dengan matahari), dan Anahita (dikaitkan dengan air dan kesuburan) di samping Ahura dan musuhnya yang jahat iaitu Ahriman. Kitab suci Zoroasterisma adalah Avesta, dan hanya sebahagian kecil daripadanya masih wujud hari ini.
Pengikut-pengikut agama ini dikehendaki menyembah matahari empat kali sehari di samping menyembah bulan, api dan air. Amalan-amalan yang kompleks dikaitkan dengan tuhan-tuhan ini. Agama ini kemudiannya diubahsuai oleh Mani (Manes) (c.216-c.276) yang menyeru kepada kebiaraan dan amalan tidak berkahwin, dan oleh Mazdak (abad kelima Masihi) yang menyeru kepada kumpulan sosialis yang memiliki wang dan wanita. Orang ramai memasuki rumah satu sama lain dan mengambil harta benda dan kekayaan mereka, dan bebas melakukan apa sahaja terhadap wanita-wanita di rumah itu. Pengangguran dan rasa tidak puas hati timbul dan rakyat dipergunakan oleh pemimpin-pemimpin mereka sebagai bahan makanan murah untuk binatang tentera mereka. Dalam keadaan mereka yang terdesak mencari makna kewujudan mereka, rakyat ini mencuba berbagai falsafah daripada Eicureanisma kepada kebiaraan kepada apa-apa sahaja kepercayaan di antara keduanya. Hal ini akhirnya menyebabkan jurang yang luas di antara berbagai tahap dalam masyarakat.
Pada masa ini, penjenayah-penjenayah menceroboh istana golongan kaya, merampas harta mereka dan mengambil wanita-wanita mereka. Kejahilan tuan tanah yang baru ini mengenai hal-hal perladangan akhirnya menyebabkan tanah ladang musnah. Rakyat merasa amat tidak puas hati terhadap penindasan pemimpin-pemimpin mereka sehingga akhirnya golongan petani melancarkan pemberontakan.
Pemerintah-pemerintah ini mewarisi takhta bapa mereka dan memerintah secara kuku besi, mengenakan cukai yang tinggi, dan dengan kepercayaan bahawa pemerintah adalah tuhan, atau keturunan tuhan. Pemerintah ini mengumpul berbagai bahan berharga yang sukar didapati seperti emas, binatang luar biasa, permata yang bernilai, pakaian yang cantik, perabot yang cantik, istana-istana diraja, hamba abdi yang ramai dan makanan-makanan yang enak. Hidup mereka ibarat cerita dongeng, dan direkodkan bahawa apabila rejim ini jatuh ke tangan empayar Islam, pemerintah mereka, iaitu Yazdegird III (memerintah di antara 632-651) lari meninggalkan negaranya bersama seribu orang tukang masak, seribu orang ahli muzik, seribu orang pelatih singa, seribu orang pelatih helang dan kaki tangan diraja yang lain, sementara pada masa yang sama beliau merasakan keadaannya adalah amat menyedihkan.
India
Pada zaman purba, negara ini melahirkan banyak kemajuan dalam bidang matematik, ilmu falak, perubatan, falsafah dan bidang-bidang lain. Namun selama beberapa abad, berlaku kemerosotan dalam nilai-nilai akhlak dan pengetahuan agama yang akhirnya membawa apa yang dianggap oleh ahli-ahli sejarah sebagai tahap kemerosotan yang terendah pada abad keenam.
Pada masa ini, perbuatan berbogel di kuil-kuil adalah perkara biasa. Wanita menjadi milik umum dan bertukar tangan melalui perjudian. Jika suami seorang wanita meninggal dunia, hidup beliau tidak lagi bererti dan beliau tidak dibenarkan berkahwin semula. Masyarakat atasan mengamalkan "Suti" di mana balu seorang bangsawan dibakar sampai mati sebagai lambang kesetiaan terhadap suaminya.
Penakluk-penakluk berbangsa Arya dan Brahman memperkenalkan empat kelas masyarakat yang dipanggil sistem kasta yang terdiri daripada:
1.    Kelas elit agama, atau paderi, yang dikenali sebagai "Brahmin". Mereka dianggap mempunyai martabat yang lebih tinggi daripada kelas lain dan mereka tiada dosa.
2.    Kelas Satira, iaitu perwira dan pemerintah.
3.    Kelas Vaisyas, iaitu pedagang dan peladang.
4.    Kelas Sudra, iaitu petani dan buruh.
Terdapat kelas kelima yang dipanggil "Panchamas", atau "Tidak Boleh Disentuh". Mereka di dalam kelas ini terdiri daripada golongan yang pekerjaan mereka memerlukan mereka menyentuh benda-benda yang tidak suci. Terdapat spekulasi bahawa golongan ini diberikan tugas-tugas yang rendah kerana mereka bukan dari keturunan Arya. Undang-undang menyatakan bahawa jika serang Panchamas menghulurkan tangannya atau kayu ke arah seorang Brahman, tangannya boleh dipotong. Jika beliau menendang seorang Brahman, maka kakinya dipotong. Dan jika beliau mendakwa telah mengajar seorang Brahman, beliau dipaksa minum air mendidih. Di bawah undang-undang ini, membunuh seorang Panchamas adalah seperti membunuh seekor katak, gagak, burung hantu, kucing, atau anjing. Mereka juga dipaksa tinggal di luar kawasan bandar.
Golongan Sudra dianggap dicipta daripada kaki pencipta langit dan tujuan hidup mereka adalah untuk berkhidmat kepada kelas yang lebih tinggi. Mereka tidak dibenarkan memiliki wang, duduk dengan seorang Brahman, menyentuhnya, atau membaca kitab suci.
Agama asal di India adalah Hindu. Bagaimanapun, lama-kelamaan agama negara yang lebih umum diperkenalkan yang menggabungkan kepercayaan Buddisma dan kepercayaan-kepercayaan lain dengan Hindu. Kepercayaan berbilang tuhan begitu berakar-umbi sehinggakan terdapat rekod bahawa pada abad keenam Masihi, penduduk-penduduk negara ini mempunyai lebih 330 juta tuhan ("Popular Hinduisme, the Religion of the Masses", L.S.S O'Malley, Cambridge, 1935, m.s. 6-7). Pada zaman ini, apa sahaja yang besar, menakjubkan dan mengagumkan disembah sebagai Tuhan.
Thaqeef telah Semenanjung Arab
Pada abad ini bangsa Arab telah jatuh ke tahap yang rendah. Mereka tenggelam dalam arak, perjudian dan penyembahan berhala. Anak-anak perempuan dianggap barangan yang memalukan dan mereka menanam bayi perempuan hidup-hidup kerana takut malu.
Wanita dalam masyarakat ini menjadi barangan yang diwarisi oleh waris-waris suaminya seperti mana mereka mewarisi wang atau binatang ternakannya. Seorang lelaki boleh mengahwini ramai wanita tanpa had, dan kadang kala mereka membunuh anak-anak sendiri kerana takut mereka akan menyebabkan kepapaan. Mereka juga mengkhususkan makanan tertentu untuk diri mereka dan melarang isteri-isteri dan anak-anak mereka memakannya.
Perhambaan dan pengkhianatan adalah perkara biasa di negara ini. Feudalisma kesukuan adalah perkara biasa, dan pertempuran-pertempuran besar dilancarkan disebabkan perkara-perkara yang remeh seperti keputusan lumba kuda. Selama beberapa abad, rumah yang dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail di Mekah (Kaabah) telah dijadikan tempat berhala dan penyembahan berhala mereka. Ketika Muhammad (s.a.w.) dilahirkan, terdapat 360 berhala yang telah dibina dan diletakkan di dalam dan di sekeliling Kaabah, dan suku-suku di kawasan berdekatan telah menyelewengkan amalan haji yang diperkenalkan oleh Nabi Ibrahim kepada amalan penyembahan berhala di mana mereka berlari sekeliling berhala-berhala ini dalam keadaan bogel sambil bersiul dan bertepuk tangan. Penyembah-penyembah berhala Arab percayakan Tuhan, tetapi mereka menganggapnya sebagai Tuhan "Tertinggi" dan perlu diwujudkan tuhan-tuhan "perantaraan" (berhala-berhala) yang bertindak sebagai orang tengah di antara mereka dan Tuhan/Allah.
Kelahiran Muhammad (s.a.w.)
Muhammad (s.a.w.) dilahirkan pada hari Isnin, 12 Rabiul Awwal, Tahun Gajah yang bersamaan dengan lebih kurang 20 April, 571. Tahun tersebut digelar Tahun Gajah kerana pada tahun itu, Abrahah Al-Ashram, gabenor Mesir di Yaman, menaiki gajah dan memimpin tenteranya untuk menyerang Mekah dan memusnahkan Kaabah.
Ayah Muhammad bernama Abdullah dan ibunya bernama Aminah, anak kepada Wahab. Nama penuhnya adalah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Kusai bin Kilab bin Murrah bin Kaab bin Luai bin Ghalib bin Fihir bin Malik bin Al-Nadhar bin Knana bin Khuzaima bin Mdraka bin Ilias bin Mudir bin Nisar bin Ma'ad bin Adnan. Nenek moyang Adnan boleh dijejak kepada Ismail (a.s.), anak kepada Nabi Ibrahim (a.s.). Datuk Muhammad, iaitu Abdul Muttalib, adalah pemimpin suku Quraisy, suku termulia di kawasan tersebut. Ibunya adalah daripada keturunan bangsawan yang berpengaruh dan mempunyai moyang yang sama dalam suku tersebut.
Bapa Muhammad, Abdullah, meninggal dunia sebelum beliau dilahirkan dan tidak pernah melihatnya. Sejurus sebelum kelahiran Muhammad, ibunya Aminah bermimpi nampak suatu cahaya keluar daripadanya dan menerangkan istana-istana Basrah. Seperti mana kebiasaan pada masa itu, apabila Muhammad dilahirkan, ibunya menghantarnya untuk tinggal di padang pasir pada beberapa tahun pertama supaya beliau boleh belajar bahasa Arab klasik yang bersih, menghirup udara padang pasir yang segar, jauh dari kota Mekah. Selama dua tahun pertama, beliau disusukan oleh Halimah Al-Saadiah. Selepas dua tahun, Halimah meminta izin ibunya supaya membenarkannya tinggal lebih lama dengannya dan ibunya bersetuju.
Ibu Muhammad (s.a.w.) meninggal dunia ketika beliau berusia enam tahun, diikuti oleh kematian datuknya, Abdul Muttalib, ketika beliau berusia lapan tahun. Beliau tinggal bersama bapa saudaranya, Abu Talib, dan tiga sepupunya, iaitu Ali, Jaafar dan Akeel. Di bawah bimbingan bapa saudaranya, beliau belajar menggembala kambing dan berniaga. Apabila meningkat dewasa, beliau dikenali sebagai seorang yang jujur, adil, rendah diri dan utuh peribadinya. Orang Quraisy menggelarnya "Al-Amin" (bermaksud "Yang Dipercayai").
Semasa berusia enam belas tahun Muhammad (s.a.w.) bekerja dengan Khadijah, anak perempuan Khuwalid, seorang balu dan ahli perniagaan terkenal, yang merupakan salah seorang bangsawan Quraisy. Semasa berusia dua puluh lima tahun, beliau mengahwininya. Dianggarkan bahawa Khadijah berusia empat puluh tahun semasa mengahwininya. Beliau adalah ibu kepada semua anaknya kecuali Ibrahim. Anak-anak mereka adalah Al-Qasim, Abdullah (Al-Tahir/Al-Tayyib), Zainab, Rukayyah, Umi Kalsum dan Fatimah. Selepas kematian Khadijah, Muhammad mengahwini Maria, seorang Koptik, yang melahirkan anak bongsunya, Ibrahim.
Salah satu tanda-tanda awal kebijaksanaan dan sifat diplomasi Muhammad ditunjukkan semasa berusia tiga puluh lima tahun. Suku-suku Quraisy terpaksa membina semula Kaabah untuk mengelakkannya daripada roboh. Apabila mereka perlu meletakkan "Batu Hitam" pada tempatnya, suku-suku ini mulai bersaing antara satu sama lain untuk mendapatkan penghormatan meletakkan batu tersebut pada tempatnya. Hal tersebut berterusan selama beberapa hari sehingga keadaan menjadi tegang. Perjanjian darah diadakan di antara beberapa suku untuk berjuang habis-habisan dan peperangan hampir meletus. Pada masa ini, mereka mengambil jalan damai. Mereka bersetuju bahawa orang pertama yang memasuki pintu masjid suci akan memilih siapa yang layak menerima penghormatan ini dan mereka akan bersetuju dengan keputusannya.
Secara kebetulan, orang pertama yang memasuki masjid suci adalah Muhammad (s.a.w.). Apabila mereka nampak beliau, mereka menarik nafas lega dan berkata, "Dia adalah Al-Amin, kami menerimanya! Dia adalah Muhammad.".
Muhammad meminta sehelai kain, membentangkannya di atas lantai dan kemudian meletakkan batu tersebut di tengah-tengah. Kemudian beliau meminta setiap suku memilih seorang wakil yang kemudiannya diminta memegang bucu kain tersebut. Semua wakil tadi membawa batu tersebut bersama-sama ke Kaabah. Apabila tiba di sana, Muhammad menggolekkannya ke tempatnya.
Permulaan Kenabian
Diriwayatkan bahawa tanda-tanda pertama kenabian Muhammad adalah suatu siri visi yang diterimanya pada waktu malam yang kemudiannya menjadi kenyataan betul-betul seperti mana yang beliau nampak.

Gambarajah 10-2: Gua Hiraa di mana Muhammad dilantik menjadi nabi agama Islam
Kisah malaikat Jibril menziarahi Muhammad (s.a.w.) pada kali pertama telah diceritakan dengan terperinci dalam bahagian 6.2. Sebaik sahaja bertemu Jibril, Muhammad (s.a.w.) berlari pulang ke rumah kepada isterinya dalam keadaan menggeletar dan ketakutan seraya berkata, "Selimutkan aku! Selimutkan aku!".
Setelah beliau tenang, Khadijah bertanya apa yang telah berlaku dan beliau menceritakannya. Khadijah amat arif akan keperibadian suaminya dan setelah suaminya selesai menceritakan apa yang telah berlaku, dan beliau dapat melihat ketakutan dalam mata suaminya, beliau berkata, "Tidak, demi Allah! Tuhan tidak akan memalukanmu. Kamu berbuat baik kepada keluargamu, memikul beban orang lain, bersedekah kepada yang memerlukan, membantu yang lemah, dan menolong dalam semua perkara yang baik". Tetapi beliau sendiri tidak tahu apa yang perlu dilakukan mengenai hal ini, jadi beliau memutuskan untuk meminta nasihat sepupunya yang beragama Kristian, iaitu Waraqah bin Naufal.
Apabila Waraqah mendengar apa yang berlaku, beliau berkata, "Demi Dia yang memegang nyawaku, kau adalah nabi bangsa ini, dan yang menziarahimu tidak lain adalah ketua malaikat yang menziarahi Musa. Sesungguhnya, kaummu akan mengatakan kau adalah penipu, menyeksamu, mengusirmu dan memerangimu."
Apabila Muhammad (s.a.w.) mendengar kata-kata ini beliau menjadi keliru kerana beliau tahu akan kedudukannya yang tinggi dalam masyarakatnya, rasa hormat mereka yang besar serta sanjungan mereka terhadapnya, dan betapa mereka memanggilnya "Yang Amanah, Yang Jujur". Maka beliau bertanya Waraqah, "Adakah mereka akan mengusirku?". Waraqah menjawab, "Ya! Tidak pernah datang seorang lelaki sebelummu yang sepertimu melainkan kaumnya akan menentangnya dan memeranginya. Jika aku hidup ke hari tersebut. Aku akan berdiri di sampingmu dan membantumu.". Namun Waraqah meninggal dunia tidak lama kemudian.
Pengikut-pengikutnya yang pertama adalah saudara-saudaranya yang rapat dan sahabat-sahabat karibnya. Di antara mereka adalah isterinya Khadijah, sepupunya Ali bin Abi-Talib, sahabat karibnya Abu Bakar Al-Siddik, dan anak angkatnya Zaid bin Harith, di samping golongan yang miskin dan lemah seperti Bilal yang berbangsa Habsyi, Abdullah bin Masud dan lain-lain. Beberapa orang yang menyahut seruan Muhammad adalah golongan bangsawan dan pemimpin suku Quraisy seperti Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi-Wakkas dan Talhah bin Ubaidallah. Bagaimanapun seruan Islam Muhammad dilakukan secara rahsia selama tiga tahun sehinggalah ayat berikut diturunkan: "Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah daripada mereka yang mensyirikkan Tuhan." Al-Qur'an, Al-Hijr (15):94 Setelah menerima perintah ini, Muhammad (s.a.w.) memanjat ke puncak bukit Al-Safa dan berteriak sekuat-kuat hatinya, "Ya sabaha!". Teriakan ini digunakan untuk memberi amaran mengenai bahaya yang akan tiba. Ia digunakan khusus untuk menandakan serangan oleh tentera.
Dengan segera, penduduk-penduduk Mekah mengerumuninya untuk mengetahui berita penting apa yang mahu disampaikannya. Setelah mereka berkumpul, beliau berkata: "Wahai keturunan Abdul Muttalib, wahai keturunan Fihr, wahai keturunan Kaab, jika aku memberi amaran kepadamu bahawa di kaki bukit adalah pasukan berkuda yang akan menyerang mu, adakah kamu akan mempercayaiku?"
Mereka menjawab, "Ya!".
Maka Muhammad berkata, "Maka bahawa aku adalah pemberi amaran mengenai hukuman yang keras."
Orang ramai terdiam dan tidak tahu apa yang patut dikatakan sehinggalah salah seorang bangsawan, iaitu bapa saudara Muhammad, Abu Lahab, berkata, "Celakalah kamu! Adakah ini sebabnya kau mengumpulkan kami?".
Mulai hari itu, Muhammad (s.a.w.) menyeru orang ramai kepada Islam tanpa rasa takut. Semakin lama semakin ramai yang mengikutinya dan memeluk Islam. Namun kebanyakan daripada mereka adalah golongan miskin, lemah dan yang melarat di kalangan kaum Quraisy. Mula-mula golongan bangsawan tidak mempedulikannya sehinggalah mereka mendapat tahu bahawa beliau mengejek berhala-berhala mereka. Di sinilah bermulanya permusuhan dan kempen serangan balas mereka bermula.
Mula-mula golongan bangsawan cuba meyakinkan pengikut-pengikut Muhammad bahawa beliau adalah seorang yang gila dan penipu. Apabila pendekatan ini tidak berjaya, mereka menggunakan penyeksaan secara fizikal. Mereka yang tidak mempunyai keluarga untuk melindungi mereka dikenakan seksaan yang paling teruk. Ramai yang disebat, direjam, dipukul, tidak diberi makan dan dibakar. Golongan bangsawan ini berusaha untuk mereka cara-cara baru menyeksa mereka. Di antaranya adalah kaedah yang digunakan oleh Umayyah terhadap hamba abdinya, Bilal. Beliau membawanya ke tengah padang pasir pada masa yang paling panas, menjemurnya di bawah matahari terik dan meletakkan batu yang besar di atas perutnya. Sepanjang masa ini, Bilal tetap dengan pendiriannya, dan berulang-ulang berkata, " satu, satu."
Pada masa yang sama, suku Makhzum telah membawa keluarga Yasir, ibu dan anak lelakinya, ke tengah padang pasir dan menyeksa mereka dengan teruk. Semasa hal ini berlaku, Muhammad (s.a.w.) lalu di situ dan beliau berkata, "Bersabarlah keluarga Yasir. Kamu dijanjikan syurga.".
Khabbab bin Al-Art meriwayatkan, "Mereka membawa saya keluar, membakar api dan memanggang saya. Kemudian seorang lelaki meletakkan kakinya di atas dada saya untuk memadamkan api menggunakan kasutnya."
Amalan di tanah Arab adalah seseorang tidak akan menyerang atau menghina ahli sebuah keluarga atau suatu suku yang kuat kerana bimbang sukunya akan membalas dendam. Mereka yang tidak menjadi ahli suku tersebut akan membuat perjanjian perlindungan dengan seorang bangsawan dalam keluarga yang berpengaruh atau suku yang berpengaruh. Dengan cara itu mereka dapat melindungi keluarga dan harta mereka daripada diserang oleh jiran-jiran mereka.
Semasa kaum Quraisy memulakan penindasan terhadap Muhammad (s.a.w.) dan pengikut-pengikutnya, ramai di antara mereka mendapatkan perlindungan dengan berbaik dengan orang bukan Islam dengan cara ini. Contohnya, Abu Bakar Al-Siddik dilindungi oleh bin Al-Daghnah, dan Uthman bin Madhgun dilindungi oleh Al-Waleed bin al-Mugeerah. Muhammad (s.a.w.) berada di bawah perlindungan bapa saudaranya Abu Talib. Perlindungan ini tidaklah melindungi mereka daripada semua bentuk penyeksaan, tetapi ia memberikan mereka perlindungan daripada bentuk penyeksaan yang teruk atau pembunuhan. Perlu disebutkan di sini bahawa Abu Bakar dan Uthman merasakan perlindungan daripada seorang bukan Islam adalah tidak pantas dan kemudiannya telah menolak perlindungan tersebut dan memilih untuk meminta perlindungan Allah Yang Maha Berkuasa.
Penindasan yang berterusan dan tidak putus-putus terhadap umat Islam oleh kaum Quraisy menyukarkan mereka mengisytiharkan keIslaman mereka, apa tah lagi menyeru orang lain untuk menganut Islam. Pada suatu hari, sahabat-sahabat Muhammad (s.a.w.) berkumpul dan berkata sesama sendiri, "Demi Allah, kaum Quraisy belum pernah mendengar Qur'an dibacakan kepada mereka, maka siapakah di antara kamu yang akan membacakannya kepada mereka?". Abdullah bin Masud menawarkan diri, "Saya akan melakukannya.". Mereka membantah, "Kami bimbang mereka menyerangmu, kamu mahukan seseorang daripada suku atau keluarga yang kuat untuk melindunginya.". Abdullah menjawab, "Biarlah aku melakukannya, Tuhan akan melindungiku.".
Apabila fajar menyingsing, Abdullah keluar ke tempat berkumpul di sebelah Kaabah dan mulai membaca Qur'an dengan suara yang kuat. Beliau membaca:
"(Tuhan) Yang Maha Pemurah, Yang telah mengajarkan Al-Qur'an. Dia menciptakan manusia, mengajarnya pandai berbicara..."
Al-Qur'an, Al-Rahman (55):1-4
Abdullah meneruskan bacaannya sementara para bangsawan Quraisy bertanya satu sama lain, "Apa yang diucapkannya?". Kemudian salah seorang daripada mereka berkata, "Dia sedang membaca sebahagian daripada apa yang dibawa oleh Muhammad!". Maka mereka meluru kepadanya dan menampar mukanya, tetapi beliau terus membacakan surah ini sehingga beliau berpendapat apa yang mereka dengar telah memadai.
Apabila Abdullah kembali golongan Muslim dan mereka nampak bekas pukulan pada mukanya mereka berkata, "Inilah yang kami bimbang akan berlaku padamu.". Abdullah menjawab, "Musuh-musuh Allah tidak pernah begitu lemah terhadapku seperti mana hari ini, dan jika kamu mahu. Aku akan kembali dan membacakan Qur'an di hadapan mereka esok!". Mereka menjawab, "Jangan, cukuplah. Kamu telah mengucapkan apa yang mereka benci .".
Jika beginilah keadaan pengikut-pengikut Muhammad (s.a.w.), maka bagaimanakah keadaan Muhammad sendiri dilayan oleh kaumnya?
Golongan bangsawan Quraisy bergabung tenaga dalam usaha menghapuskan ajaran Muhammad. Mereka memberitahu orang ramai bahawa beliau gila, seorang ahli sihir, dan seorang penyajak. Mereka menunggu di jalan-jalan dan berusaha sedaya-upaya untuk menakutkan orang ramai dan menghalang mereka daripada bercakap dengannya. Mereka menyeksa rakan-rakannya dan cuba sedaya-upaya untuk menyakitinya. Mereka melemparkan duri dan benda-benda tajam di jalan yang dilaluinya, membuang tahi unta di atas kepalanya semasa beliau bersembahyang, memaki-hamunnya bila sahaja mereka bertemu dengannya, menahan makanan daripadanya dan sahabat-sahabatnya, dan juga cuba untuk membunuhnya. Lama-kelamaan golongan bangsawan Quraisy menukar nama Muhammad (Yang Terpuji) kepada Muhmmmam (Yang Dicerca). Apabila mereka berbincang tentangnya, mereka berkata, "Celakalah yang dicerca.". Atas sebab ini, Muhammad (s.a.w.) berkata kepada sahabat-sahabatnya, "Tidakkah kamu merasa kagum bagaimana Tuhan membalikkan sumpahan mereka terhadapku? Mereka menyumpah Muhammam dan namaku adalah Muhammad.".
Setelah hal ini berterusan beberapa lama, golongan bangsawan Quraisy pergi menemui bapa saudara Muhammad, iaitu Abu Talib, dan cuba menyogoknya untuk menarik balik perlindungannya ke atas Muhammad (s.a.w.). Apabila ini tidak berjaya, mereka pergi berjumpa Muhammad dan cuba menyogoknya dengan kekayaan, martabat yang tinggi dan melantiknya sebagai pemimpin dengan syarat beliau meninggalkan ajarannya. Beliau menolak.
Apabila penyeksaan oleh kaum Quraisy sudah tidak tertanggung, Muhammad (s.a.w.) membenarkan sahabat-sahabatnya berhijrah ke Habsyah. Lapan puluh tiga orang umat Islam bertolak ke Habsyah. Apabila kaum Quraisy mendapat berita mengenai pemergian mereka, mereka menghantar wakil kepada Negus (Al-Najashi), iaitu raja Habsyah yang beragama Kristian, berserta hadiah yang banyak dengan harapan dapat memujuknya memulangkan mereka yang berhijrah kepada kaum Quraisy. Perbincangan di antara ketiga-tiga pihak berakhir dengan raja memutuskan untuk tidak menyerahkan umat Islam kepada kaum Quraisy. Ini boleh dianggap sebagai kemenangan strategik pertama umat Islam ke atas penindas mereka, oleh itu marilah kita lihat kisah ini.
Apabila bangsawan Quraisy mendapat tahu bahawa umat Islam mendapat perlindungan daripada seksaan di Habsyah dan bahawa mereka dibenarkan mengamalkan agama mereka dengan bebas, mereka mengambil keputusan untuk menghantar rombongan yang terdiri daripada Abdullah bin Rabia dan Amr bin Al-aas, berserta hadiah-hadiah yang banyak untuk mengadap Raja Habsyah dan general-generalnya.
Apabila rombongan ini tiba di Habsyah, mula-mula mereka memberikan hadiah mereka kepada general-general raja dan menerima kebenaran untuk mengadap raja. Semasa mengadap raja mereka berkata, "Telah datang ke negaramu segolongan yang telah menimbulkan kekacauan daripada kalangan kami. Mereka telah menyeleweng daripada agama nenek moyang mereka dan mereka tidak menerima agamamu, sebaliknya mereka telah mereka agama baru yang tidak pernah didengar olehmu atau oleh kami. Golongan bangsawan daripada kaum mereka, bapa-bapa mereka, bapa-bapa saudara mereka, dan keluarga mereka meminta agar mereka dikembalikan kepada keluarga mereka, kerana merekalah yang lebih dekat dengan mereka ini."
Pegawai-pegawai raja bersuara, "Mereka berkata benar, wahai raja, maka pulangkanlah mereka kepada kaum mereka."
Raja menjadi murka apabila mendengar hal ini dan enggan mempercayai kata-kata mereka, juga enggan memulangkan mereka yang meminta perlindungannya. Kemudian baginda memerintahkan supaya umat Islam dibawa mengadapnya dan biskop-biskopnya. Apabila mereka telah berkumpul, baginda bertanya umat Islam, "Apakah agama yang telah menyebabkan kamu meninggalkan agama nenek moyangmu dan tidak menerima agama beta atau agama-agama lain?".
Jaafar bin Abu Talib, sepupu Muhammad (s.a.w.), bangun lalu menjawab, "Wahai Raja Habsyah, sebelum ini kami adalah orang yang jahil, menyembah berhala, memakan bangkai binatang, berkelakuan tidak sopan, memutuskan tali kekeluargaan, berbuat jahat terhadap jiran kami, dan yang kuat di kalangan kami menekan yang lemah. Inilah sikap kami sehinggalah Tuhan mengutuskan seorang nabi kepada kami. Kami tahu keturunannya, kejujurannya, sikap amanahnya, dan kesuciannya. Beliau menyeru kami kepada Allah dan supaya menyembahNya sahaja dan meninggalkan semua yang kami sembah selain daripada Dia. Beliau memerintahkan kami supaya bercakap benar, bersikap amanah, menguatkan tali kekeluargaan, berbuat baik kepada jiran-jiran, tidak memakan darah, tidak berkelakuan tidak sopan, serta jangan berbohong, mencuri harta anak yatim dan memfitnah wanita yang suci. Beliau juga memerintahkan kami supaya menyembah Allah sahaja dan tidak menyekutukannya dengan apa jua. Beliau memerintahkan kami supaya bersembahyang, bersedekah dan berpuasa (dan beliau menyenaraikan perintah-perintah Islam). Lalu kami beriman dengannya, menerima ajarannya, dan mematuhi apa yang diterimanya daripada Allah, menyembah hanya Allah dan tidak menyekutukan sesiapa denganNya, menahan diri daripada apa yang dilarang, dan menerima segala yang dihalalkan buat kami. Atas sebab ini kaum kami memusuhi kami. Mereka menyeksa kami dan menindas kami dengan harapan dapat mengembalikan kami daripada menyembah Allah kepada menyembah berhala, dan agar kami menerima apa yang kini kami anggap perbuatan-perbuatan yang keji. Maka setelah mereka menindas kami, berlaku zalim terhadap kami, mengongkong kami, dan menghalang kami daripada agama kami, kami lari ke negaramu dan memilihmu daripada yang lain, mengharapkan perlindungan, dan agar kami tidak perlu takut akan ketidakadilan dengan adanya tuanku."
Raja mendengar penjelasan Jaafar dengan sabar dan kemudian berkata, "Adakah kamu membawa apa yang telah dibawa oleh sahabatmu?". Jaafar menjawab, "Ya". Raja berkata, "Bacakanlah kepadaku.". Maka Jaafar membacakan ayat-ayat daripada surah Maryam (19) yang berbunyi:
"Kaaf Haa Yaa 'Ain Saad. (Yang dibacakan ini adalah) penjelasan tentang rahmat Tuhan kamu kepada hambaNya, Zakaria, iaitu tatkala dia berdoa kepada Tuhannya dengan suara yang lembut. Dia berkata: "Ya Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah dipenuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, ya Tuhanku. Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap mawaliku sepeninggalanku, sedang isteriku adalah seorang yang mandul, maka anugerahkanlah aku daripada sisiMu seorang putera, yang akan mewarisiku dan mewarisi sebahagian keluarga Yaakob; dan jadikanlah dia, ya Tuhanku, seorang yang diredhai". "Hai Zakaria, sesungguhnya Kami memberi khabar gembira kepadamu akan seorang anak yang namanya Yahya, yang sebelumnya Kami belum pernah menciptakan orang yang serupa dengannya". Zakaria berkata: "Ya Tuhanku, bagaimana akan ada anak bagiku, padahal isteriku adalah seorang yang mandul dan aku sesungguhnya sudah mencapai umur yang sangat tua". Tuhan berfirman: "Demikianlah". Tuhan berfirman: "Hal itu adalah mudah bagiKu; dan sesungguhnya telah Aku ciptakan kamu sebelum itu, padahal kamu (pada waktu itu) belum ada sama sekali"
AlQur'an, Maryam (19):1-8
(Untuk kandungan surah ini yang lengkap, sila dapatkan terjemahan Al-Qur'an). Apabila raja tersebut mendengar ayat-ayat ini, baginda menangis sehingga janggutnya basah, dan dan biskop-biskopnya turut menangis. Baginda berkata, "Sesungguhnya ini dan apa yang telah dibawa oleh Jesus telah datang dari cahaya yang sama.". Baginda berkata kepada rombongan Quraisy, "Kembalilah kepada kaummu. Aku tidak akan mengembalikan mereka kepadamu."
Keeseokan harinya, Amr bin Al-Aas kembali mengadap raja dan berkata, "Mereka berkata yang buruk-buruk mengenai Jesus putera Maryam". Mendengar hal ini, sekali lagi raja tersebut memanggil umat Islam dan bertanya mereka, "Apa katamu mengenai Jesus putera Maryam?".
Jaafar bin Abu Talib menjawab, "Mengenainya saya sampaikan kata-kata nabi kami: bahawa beliau adalah suruhan tuhan dan seorang nabi, roh daripadaNya, firmanNya yang dianugerahkan kepada Maryam yang suci.". Mendengar ini, raja tersebut memukul tangannya ke lantai dan mengangkat sebatang tongkat. Kemudian baginda berkata, "Sesungguhnya Jesus putera Maryam tidak lebih daripada apa yang kau katakan walaupun sebanyak tongkat ini.". Baginda memberikan perlindungan kepada umat Islam dan rombongan Quraisy pulang dengan tangan kosong.
Raja Habsyah mangkat semasa hayat Muhammad (s.a.w.). Apabila Muhammad (s.a.w.) mendapat berita kemangkatannya, beliau mengarahkan umat Islam berkumpul untuk sembahyang jenazah bagi raja tersebut.
Semasa semua ini sedang berlaku di Habsyah, Muhammad (s.a.w.) dan sahabat-sahabatnya yang memilih untuk tinggal di Mekah terus menanggung penyeksaan kaum Quraisy. Namun bilangan mereka terus meningkat walaupun kaum Quraisy berusaha menyekat mereka bersungguh-sungguh. Ramai di antara mereka yang menganut Islam adalah daripada kalangan bangsawan, seperti Umar bin al-Khattab.
Pada tahun ketujuh Muhammad (s.a.w.) berdakwah, golongan bangsawan Quraisy merasa amat terdesak untuk menghalang perkembangan Islam di kota mereka, maka mereka berkumpul dan menulis perjanjian "Sekatan ke atas Hashim dan Banu Muttalib". Dalam perjanjian ini, semua golongan bangsawan bersetuju bahawa mereka tidak akan berjual beli dengan keturunan Hashim dan banu Muttalib (suku Muhammad). Mereka juga bersetuju untuk tidak mengahwini sesiapa daripada suku tersebut mahu pun membenarkan sesiapa daripada suku tersebut mengahwini ahli suku mereka. Dokumen ini digantung di dalam Kaabah. Sekatan ini berterusan selama tiga tahun. Dalam tempoh ini, mereka daripada suku Hashim dan Abdul Muttalib menanggung derita yang hebat sehingga terpaksa memakan daun. Mereka tidak dapat berjual beli dengan kaum Quraisy dan kaum Quraisy menghalang pedagang-pedagang lain daripada berurusan dengan mereka melainkan pada harga yang amat tinggi.
Walaupun bangsa Arab pada zaman ini tenggelam dalam berbagai amalan yang keji, masih ada juga di antara mereka yang baik. Di kalangan mereka masih ada sekelumit rasa harga diri dan keadilan. Inilah yang akhirnya mendorong mereka, di antaranya Amr bin Rabia, untuk mengumpulkan mereka yang sependapat dengannya untuk mendesak golongan bangsawan agar membatalkan sekatan tersebut. Apabila mereka bangun untuk mengoyakkan dokumen tersebut, mereka mendapati bahawa ia telah dimakan serangga kecuali bahagian yang tertulis "Dengan nama Tuhan.".
Pada tahun kesepuluh, bapa saudara Muhammad, Abu Talib, dan isterinya, Khadijah, meninggal dunia. Dengan kematian mereka, penindasan kaum Quraisy berganda. Dari kalangan segelintir yang dibenarkan mendengar bacaan Qur'an, ramai yang menganut Islam Bagaimanapun, penindasan yang tidak putus-putus kaum Quraisy terhadap umat Islam menyebabkan Muhammad (s.a.w.) mencari sekutu untuk melindungi mereka daripada kaum Quraisy dan untuk membolehkan orang ramai mendengar ajaran Islam. Maka beliau mengembara ke TAif untuk meminta perlindungan suku Thaqeef dan dengan harapan mereka akan menerima seruannya. Dia menyampaikan seruannya kepada Ibn Abd-Yalail bin Abdul Kulal dan golongan bangsawan Taif. Bagaimanapun, mereka mencacinya. Kemudian mereka mengumpulkan penduduk-penduduk bandar tersebut dan menghasut mereka sehingga mereka merejamnya lalu beliau meninggalkan mereka dan menuju ke sebuah ladang kepunyaan Utba dan Shaiba, anak kepada Rabia. Mereka memerhatikannya dari jauh ketika beliau duduk di bawah pohon anggur mereka dan berdoa kepada Allah.
Apabila Muhammad (s.a.w.) melihat bahawa orang-orang meninggalkannya dan kembali kepada urusan harian mereka, dengan hati yang sedih beliau menadah tangannya ke langit dan berdoa:
"Ya Tuhanku. Aku mengadu kepadamu akan kelemahanku, ketidakuapayaanku dan kedegilan manusia terhadapku. Wahai Yang Maha Mengasihani, kaulah Tuhan golongan yang lemah dan Tuhanku. Kepada siapakah akan kau serahkan aku? Kepada orang yang jauh yang akan memarahiku, atau kepada musuhku yang telah kau berikan kuasa ke atasku? Selagi kau tidak murka terhadapku, maka aku tidak peduli , tetapi kesejahteraanmu adalah lebih berharga buatku. Aku meminta perlindungan dalam cahayamu yang telah menerangi kegelapan, dan melaluinya semua hal kehidupan dan akhirat akan ditentukan dengan adil, bahawa sama ada hukumanMu menimpaku atau kemarahanMu menimpaku. KepadaMu segala ketenangan, dan tiada sesiapa yang mempunyai kuasa atau upaya melainkanMu."
Semasa Utba dan Shaiba memerhatikan Muhammad (s.a.w.), mereka merasa kasihan terhadapnya lalu menghantar abdi mereka, iaitu Addas, untuk memetik semangkuk anggur dan memberikannya kepadanya. Addas memetik angguk dan membawanya kepada Muhammad, lalu meletakkannya ke dalam tangan beliau dan berkata, "Makanlah.". Sebelum makan, Muhammad membaca "Dengan nama Allah" (yang mana ini diucapkan oleh umat Islam sebelum makan atau minum). Addas adalah seorang Kristian dan apabila beliau mendengar ucapan ini, beliau berkata kepada Muhammad, "Sesungguhnya ini bukanlah ucapan orang di negara ini. ". Muhammad bertanya dari mana asal beliau dan Addas menjawab , "Dari Ninwa. ". Muhammad berkata, "Dari negara seorang lelaki yang alim bernama Yunus, anak kepada Amittai. ". Addas merasa kagum lalu berkata, "Dan bagaimanakah kamu tahu mengenai Yunus anak kepada Amittai? ". Muhammad (s.a.w.) menjawab, "Dia adalah saudaraku. Dia adalah seorang nabi dan aku adalah seorang nabi. ". Apabila mendengar ucapan ini, Addas mencium tangan, kepala dan kaki nabi Muhammad.
Apabila Utba dan Shaiba melihat hal ini mereka berkata, "Sesungguhnya dia telah menyelewengkan abdi kita. ". Apabila Addas kembali kepada mereka, mereka berkata, "Cis Addas! Mengapakah kamu mencium kepala, tangan dan kaki lelaki itu? ". Addas menjawab, "Ya tuan ku, tiada yang lebih baik di bumi ini selain daripada itu. Dia telah memberitahuku perkara yang hanya diketahui oleh seorang nabi. ". Mereka memarahinya, "Cis Addas! Jangan biarkan dia menyelewengkanmu daripada agamamu. Agamamu lebih baik daripada agamanya! "
Muhammad (s.a.w.) berlalu dan kembali ke rumahnya dengan perasaan yang amat sedih. Dalam perjalanan pulang, beliau singgah di Qarn ath-Tha'alib dan apabila beliau memandang ke atas, beliau nampak awan mengikutinya dan malaikat Jibril di dalam awan tersebut. Malaikat Jibril berkata kepadanya, "Allah telah mendengar apa yang dikatakan oleh kaummu kepadamu, dan apa jawapan mereka&#

Bookmark and Share

  Member Information For ikhwan5217Profil   Hantar PM kepada ikhwan5217   Pergi ke ikhwan5217's Website   Quote dan BalasQuote

ikhwan5217
Warga 3 Bintang
Menyertai: 25.02.2006
Ahli No: 22999
Posting: 121
Dari: Pusat Islam Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin

Terengganu   avatar

posticon Posting pada: 03-04-06 16:07

Pada 03-04-06 16:02 , ikhwan5217 posting:

!!! QUOTE !!!

Muhammad (s.a.w.) berlalu dan kembali ke rumahnya dengan perasaan yang amat sedih. Dalam perjalanan pulang, beliau singgah di Qarn ath-Tha'alib dan apabila beliau memandang ke atas, beliau nampak awan mengikutinya dan malaikat Jibril di dalam awan tersebut. Malaikat Jibril berkata kepadanya, "Allah telah mendengar apa

Bookmark and Share

  Member Information For ikhwan5217Profil   Hantar PM kepada ikhwan5217   Pergi ke ikhwan5217's Website   Quote dan BalasQuote

Member Messages

Forum Search & Navigation

Log in to check your private messages

Silakan Login atau Mendaftar

[ Carian Advance ]

Jum ke Forum 
 
Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.

Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
© Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri

Loading: 0.262863 saat. Lajunya....