SUARA PEREMPUAN DAN FATWA MENGENAI BERTELEFON DENGAN PEREMPUAN
Fatwa-fatwa as-Syeikh Soleh bin Fauzan jilid 3
Untuk menjaga syariat ini pada semua tujuannya, syariat Islam telah
mengharamkan zina yang boleh menuju ke kemuncak kerosakan sesuatu
kehormatan, sehingga syariat Islam telah melarang dan menutup semua
punca yang akan mendorong kepada perzinaan dan menegah semua
perantaraan yang mengajak kepada perbuatan maksiat.
Untuk tujuan itu, syariat Islam telah mengharamkan kepada setiap
perempuan melembutkan suaranya bila berbicara dengan lelaki ajnabi
sekalipun kerana hajat yang disyarakkkan seperti berjual beli,
meminta fatwa, menjawab soalan lelaki ajnabi dari sebalik pintu,
menjawab percakapan lelaki ajnabi melalui telefon dan seumpamanya.
Perempuan tidak boleh berbicara kecuali dengan kadar yang diperlukan
dan menggunakan suara yang bersikap takut serta sopan.
Mahram ialah setiap lelaki yang diharamkan berkahwin dengan seseorang
perempuan dengan hukum haramnya yang selama-lamanya seperti bapa,
anak lelaki, saudara lelaki, bapa saudara dan seterusnya. Oleh itu,
lelaki yang dihalalkan berkahwin dengan seseorang perempuan itu
(melainkan suami) adalah dianggap sebagai lelaki ajnabi sekalipun
lelaki itu ada hubungan kekeluargaan dengan perempuan itu seperti
sepupu lelaki, suami saudara perempuan (ipar lelaki) dan lainnya.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 32,
"Maka janganlah kamu tunduk (berbicara dengan sikap yang menimbulkan
keberanian orang bertindak yang tidak baik terhadap seseorang
perempuan) dalam berbicara sehingga orang yang ada penyakit di dalam
hatinya ada berkeinginan (orang yang mempunyai niat berbuat serong
dengan seseorang perempuan). Dan ucapkanlah perkataan yang baik."
1) Imam Ibnu Jarir at-Tabari RA dalam tafsirnya mengatakan, seseorang
perempuan itu janganlah melembutkan suaranya kepada seseorang lelaki
yang boleh mendorong orang yang mempunyai niat tidak baik melakukan
perbuatan serong kepada perempuan itu. Kemudian, beliau menukilkan
hadis dengan sanad yang bersambung kepada Ibnu Abbas RA berkata,
"Seseorang perempuan janganlah menurunkan bicaranya dan melembutkan
ungkapannya."
Beliau juga menukilkan hadis yang sanadnya bersambung kepada Ibnu
Zaid berkata,
"Menundukkan suara ialah suara yang dibenci yang diluahkan oleh
seseorang perempuan kepada lelaki ajnabi, yang boleh menusuk ke dalam
jiwa lelaki."
Perkataan yang makruf ialah ungkapan yang sopan, baik dan terkenal
dengan kebaikan.
2) Imam Qadhi Abu Bakar ibnu al-Arabi berkata di dalam kitabnya
Akamul Qur'an mengenai firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 32
itu, Allah SWT telah memerintahkan kepada seseorang perempuan agar
ungkapannya keras dan perkataannya terbatas. Tidak boleh menurutkan
gaya perbicaraan di dalam hati dihubungkan dengan apa yang diluahkan
menggunakan suara lembut, di mana pendengar lelaki boleh berkeinginan
untuk berbicara lebih panjang. Seseorang sewajarnya memulakan
bicaranya dengan baik dan keras. Seseorang perempuan diperintahkan
mendatarkan perkataannya. Dimaksudkan dengan makruf ialah
dikembalikan kepada syarak menurut apa yang diperintahkan untuk
menyampaikannya atau sekadar hajat yang diperlukan oleh manusia.
3) Imam al-Qurtubi berkata di dalam tafsirnya al-Jamik Li Ahkam al-
Qur'an, "seseorang perempuan tidak boleh melembutkan suaranya. Allah
memerintahkan kepada seseorang perempuan agar perkataannya keras dan
perkataannya terbatas. Mereka tidak boleh meluahkan bicaranya
menurutkan gaya seperti yang ada di dalam hatinya yang lembut.
Sebagaimana halnya perempuan Arab yang bercakap dengan orang lelaki
menggunakan suara yang halus dan lembut seperti ungkapan orang yang
meragukan dan menggodakan. Syarak melarang perempuan melakukan
seperti itu. Ibnu Abbas berkata, seseorang perempuan hendaklah
menyuruh perkara kebaikan dan melarang perkara kejahatan. Seseorang
perempuan, bila bercakap-cakap dengan lelaki ajnabi, begitu juga
dengan lelaki yang mempunyai hubungan kekeluargaan melalui
persemendaan dengannya seperti suami saudara perempuannya (ipar
lelaki) dan sepupu lelaki, hendaklah mengeraskan perkataannya tanpa
mengangkat suaranya. Seseorang perempuan diperintahkan mendatarkan
suaranya. Oleh itu, ungkapan yang makruf ialah perkataan yang tidak
diingkari oleh syarak dan jiwa."
4) Imam Abu Bakar ar-Razi yang dikenali dengan al-Jasas berkata di
dalam kitabnya Ahkam al-Qur'an, seseorang perempuan tidak boleh
melembutkan suaranya kepada lelaki-lelaki ajnabi dengan gaya yang
boleh diingini oleh lelaki yang meragukan niatnya. Ini menunjukkan
bahawa hukum itu diumumkan kepada semua perempuan dalam tegahannya
berbicara dengan lelaki ajnabi. Adalah lebih baik, seseorang
perempuan tidak mengangkat suaranya yang boleh didengari oleh lelaki
ajnabi.
5) Imam Ibnu Kathir berkata di dalam tafsirnya, menukilkan perkataan
as-Sudi, maksud firman Allah Taala, seseorang perempuan tidak boleh
menundukkan suarannya ialah menggunakan suara yang halus, lembut dan
lunak ketika berbicara dengan lelaki ajnabi.
Ibnu Zaid berkata, perkataan baik, sopan dan terkenal dengan kebaikan
bermakna seseorang perempuan ketika berbicara dengan lelaki ajnabi
tidak menggunakan perkataan yang halus dan merdu, iaitu seseorang
perempuan tidak berbicara dengan lelaki ajnabi seperti dia berbicara
dengan suaminya.
6) Imam al-Baidhawi berkata, seseorang perempuan tidak boleh
meluahkan bicaranya dengan lembut dan halus seperti ungkapan
perempuan yang meragukan. Berkatalah dengan perkataan yang makruf
ialah perkataan yang baik dan tidak meragukan.
7) Asy-Syahid Sayyed Qutub berkata di dalam kitabnya Fi Zilal al-
Qur'an, syarak Islam melarang seseorang perempuan ketika mereka
bercakap-cakap dengan lelaki ajnabi dengan menggunakan suara yang
nyaring, menundukkan suara dan lembut. Gaya ini boleh membangkitkan
nafsu syahwat lelaki, menggetarkan keinginannya, lelaki yang tidak
baik naitnya akan teringin dan menggerakkan kehendaknya.
bersambung...
-----------------
TIDAK AKAN KAMU MERASA GUNDAH WALAUPUN SEKALI JIKA KAMU TAHU APA YANG DICARI...