RUMAH api Pulau Pisang yang diuruskan oleh Maritime and Port Authority Singapore
di Pontian, Johor. SELEPAS Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Batu Putih menjadi hak milik Singapura, timbul pula kebimbangan di kalangan rakyat negeri ini terhadap Pulau Pisang yang dikatakan mempunyai sejarah yang hampir serupa dengan Batu Putih.
Disebabkan Pulau Pisang turut menempatkan sebuah rumah api yang diuruskan Singapura seperti di Batu Putih, kebimbangan rakyat Johor terhadap kemungkinan timbul tuntutan bertindih pada masa depan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
Hakikat bahawa pulau itu tidak dibangunkan oleh Malaysia tetapi hanya Pihak Berkuasa Maritime Singapura yang berada di situ merunsingkan sebahagian rakyat negara ini sebagaimana yang disuarakan oleh Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan, baru-baru ini.
Ahmad berpendapat kedaulatan Malaysia perlu diperkukuhkan lagi di pulau tersebut dengan cara membawa pembangunan terancang bagi mengelak perebutan pulau berulang lagi sebagaimana dikhuatiri oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim baru-baru ini.
Berdasarkan fakta sejarah, penyelenggaraan dan operasi rumah api di pulau itu dikendalikan Singapura bermula sejak tahun 1900.
Singapura menjalankan operasi rumah api berikutan pemeteraian perjanjian antara Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim dan kerajaan Inggeris yang memberikan kuasa ibu pejabat Gabenor Negeri-Negeri Selat yang berpusat di Singapura.
Setelah berakhirnya zaman pentadbiran British di Negeri-Negeri Selat, pentadbiran rumah api Pulau Pisang diambil alih oleh kerajaan Singapura sehingga sekarang.
Bagi Malaysia, Singapura hanya bertanggungjawab menguruskan rumah api di situ tetapi tidak mempunyai hak kedaulatan terhadap pulau yang berkeluasan 178.4 hektar itu.
Peranan Singapura adalah umpama menjaga rumah yang tetap dimiliki Malaysia dengan kebenaran Johor dan pada masa yang sama Singapura juga tidak pernah menyatakan sebarang hak terhadap pulau itu kecuali menguruskan rumah api itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, kedaulatan Malaysia adalah jelas kerana Pulau Pisang wujud dalam daftar rasmi kerajaan manakala keperluan rumah api itu adalah untuk laluan perkapalan sebagaimana yang disyaratkan dalam perjanjian tahun 1900.
Hakikatnya, Singapura juga tidak pernah mempersoalkan kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Pisang seperti yang dinyatakan oleh Menteri Luar Singapura, Prof. S Jayakumar pada Januari 2003 bahawa Pulau Pisang tetap milik Malaysia.
PerjanjianKenyataan Jayakumar dalam
http://app.mfa.gov.sg menyatakan, begitupun Singapura melalui Pihak Berkuasa Pelabuhan Maritim berhak menjalankan operasi di rumah api sebagaimana perjanjian tersebut.
Begitupun, apa yang digusarkan oleh rakyat Johor ialah mengapa tiada sebarang usaha untuk membangunkan pulau itu walhal ia mempunyai pelbagai potensi yang boleh dikembangkan khususnya dalam bidang ekopelancongan.
Seorang waris kepada pemilik sebahagian tanah di pulau itu, Abdullah Ahmad, 63, berkata, jika pulau itu tidak dibangunkan maka ia memberi gambaran seolah-olah Malaysia tidak berminat untuk membangunkan harta miliknya.
Jika berlaku demikian maka tarikan menarik yang boleh dikembangkan antaranya, telaga air tawar di tepi pantai, habitat pelbagai jenis burung, makam lama, pokok mempelam sebesar tujuh pemeluk manusia, kebun buah-buahan lama dan habitat ulat gonggok sebesar ibu jari akan terbiar begitu sahaja.
Abdullah yang juga pemilik Muzium Bugis Johor di Pontian berkata, pulau itu bukan tidak pernah berpenghuni kerana pada asalnya terdapat perkampungan Orang Laut dan Bugis dengan kira-kira 100 keluarga menetap di situ sekitar kurun ke-17.
"Suatu ketika, pulau itu juga terkenal sebagai tempat persinggahan pelaut, lanun dan orang Bugis," jelasnya sambil menambah bapanya Ahmad Mohamad Salleh yang meninggal dunia pada tahun 1993 ketika berusia 93 tahun mempunyai tanah seluas 6.4 hektar di pulau itu.
Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati, kawasan perairan pulau itu juga berpotensi dimajukan dengan projek ternakan ikan atau hidupan marin lain.
Selain itu, perairannya juga boleh dikomersialkan sebagai kawasan ternakan ikan sangkar dan lokasi memancing ikan dengan dibina kemudahan seperti calet dan infrastruktur asas di kawasan darat.
Walaupun aktiviti pantai tidak begitu sesuai dijalankan kerana pesisir pantainya tidak berpasir dan hanya berbatu namun batu-batu yang berbentuk dan berwarna menarik itu sesuai untuk dikomersialkan sebagai peralatan hiasan khususnya dalam akuarium.
Berdasarkan pemerhatian, pembangunan pertama yang boleh dilaksanakan ialah membina jeti bagi kemudahan pengunjung untuk mendarat ke pulau itu kerana jeti sedia ada adalah di bawah pengurusan Singapura dan rakyat Malaysia dilarang menggunakannya walaupun ia terletak di tanah kepunyaan Malaysia.
Selain itu, terdapat laluan mendaki yang mengambil masa kira-kira 30 minit untuk sampai ke puncak bukit bagi membolehkan pelawat melihat pemandangan menarik antaranya pekan Pontian, Pulau Sauh, Pulau Tunda, pemandangan laut sehingga boleh ternampak Pulau Karimon, Indonesia.
Di puncak bukit itu, pemandangan pada waktu senja dan semasa terbit matahari boleh menyajikan keasyikan ditambah pula dengan pemandangan kapal-kapal yang melalui Selat Melaka.
Justeru, antara projek pembangunan yang boleh dilaksanakan ialah membina menara tinjau di puncak bukit itu bagi tujuan tersebut, membina rumah rehat dan tapak perkhemahan di kawasan strategik.
Selain itu, terdapat kebun-kebun buah yang masih mengeluarkan hasil manakala hutan tebalnya kaya dengan pelbagai spesies unggas dan habitat haiwan dengan udara nyaman.
spesies hidupan yang menarik di Pulau Pisang.
spesies hidupan yang menarik di Pulau Pisang. Peluang pekerjaanPembangunan ekopelancongan juga akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat untuk menjadi pemandu pelancong, pengusaha calet atau bot penambang untuk membawa pelancong ke pulau tersebut.
Bagaimanapun wujud beberapa cabaran bagi membangunkan pulau tersebut antaranya ketiadaan sumber bekalan air minuman dan dari segi keselamatan pulau itu dikatakan sering dijadikan lokasi persinggahan pendatang haram untuk memasuki Malaysia.
Sungguhpun begitu, banyak pihak optimis masalah itu boleh diatasi jika kajian teliti dilakukan termasuk pondok polis marin serta pasukan keselamatan.
Apa pun, simbolik program pembangunan di pulau yang amat rapat dengan rakyat negeri ini perlu disedari bukan hanya bermatlamat pelancongan semata-mata kerana ia turut memberi erti dan mengesahkan kedaulatan negara dan kebertanggungjawaban Malaysia terhadap apa yang menjadi miliknya.
Justeru, sebarang rancangan pembangunan walaupun berskala kecil boleh dianggap memadai untuk menunjukkan negara mampu menguruskan pulau yang kini hanya didiami warga Singapura itu.
-----------------