Persahabatan wujud dari satu
perkenalan dengan sepuluh pertanyaan,
100 keyakinan dan seribu pengorbanan
serta berjuta-juta perjuangan dengan
satu keikhlasan?
Mencari kawan dan membina perkenalan
tidaklah sepayah mencari sahabat dan
membina persahabatan. Daripada seribu
orang kawan mungkin hanya seorang yang
layak dipanggil sahabat.
Siapakah sahabat? Dia sanggup berada
bersama kita dalam keadaan apa
sekalipun. Ketika kita masih orang
kecil, dia teman ke sana ke mari;
ketika kita sudah menjadi orang besar,
dia tidak terhegeh-hegeh mencari
peluang. Tetapi dia di situ, sedia
untuk menyokong kita supaya tidak
rebah. Tanpa pengetahuan kita dia
sanggup berkorban membetulkan persepsi
silap masyarakat terhadap kita. Dia
berperanan sebagaimana kita masih
orang kecil dahulu tanpa sebarang
kepentingan.
Tatkala payung kita kuncup dia datang
membawakan payungnya untuk kita. Lalu
kita sama-sama berteduh di bawahnya.
Jika payung kita kecil dan tidak muat
untuk kita berdua, dia rela basah
ditimpa hujan asalkan kita tidak basah
sebagaimana dia.
Seorang sahabat itu sanggup memberikan
apa sahaja yang kita perlukan manakala
apa yang kita perlukan itu ada di
tangannya. Dia tidak mengharapkan
balasan tetapi jujur untuk memelihara
persahabatan. Di manakah anda hendak
mencari seseorang yang seperti ini?
Sebab itulah mungkin seorang pun payah
hendak dicari daripada seribu orang
yang ada.
Seorang sahabat seperti digambarkan
dalam ejaan JUMAAT; jujur, unggul,
matang, asli, amanah dan teguh. Dia
jujur, maka boleh diletakkan
kepercayaan untuk tolong lihat-
lihatkan keluarga kita tatkala kita
berpergian. Dia unggul, maka kita
boleh bersandar pada dia tatkala kita
hilang motivasi diri. Dia matang, maka
kita boleh dapatkan nasihat-nasihat
berguna atau merujuk masalah-masalah
semasa yang kita hadapi. Dia asli,
maka peribadinya bukan ikutan atau
tidak mudah luntur, tetapi selari
dengan kehendaknya sebagai insan
bertuhan. Dia amanah, maka ciri-ciri
ini sangat diperlukan dalam
persahabatan. Dia teguh, maka kita
boleh bergantung padanya pada sangat-
sangat getir.
Itu ciri-ciri sahabat. Tentu payah
untuk mendapatkannya. Ia payah sebab
kita sendiri tidak bersikap seperti
itu. Kalau kita bersikap seperti itu,
semua yang akan datang kepada kita
adalah orang yang seperti itu.
Jadi, usah harapkan orang berbuat baik
kepada kita kalau kita sendiri tidak
dapat melayaninya dengan lebih baik.
Usah harapkan datang seseorang yang
memiliki sifat-sifat jujur, unggul,
matang, asli, amanah dan teguh kalau
kita sendiri seorang yang curang,
lemah, berfikiran singkat, mudah
terpengaruh, tidak amanah dan lembek.
Persahabatan itu bermula daripada satu
bentuk perkenalan. Daripada satu
perkenalan yang mudah menjadi erat
apabila adanya pertanyaan, saling
bertanya saling mahu kenal mengenal.
Dari situ lahirnya keyakinan. Meskipun
kadang-kadang terpaksa memberikan
seribu pengorbanan serta berjuta-juta
perjuangan, ia tetap pergi kepada yang
satu iaitu keikhlasan.