Dinilai dari segi ‘mazhab bentuk’, sesungguhnya Yasmin Ahmad telah mencapai ‘kesempurnaan bentuk’ yang tiada taranya menerusi Mukhsin. Dan kita akur, Yasmin benar-benar menguasai bahasa filem. Bahasa filem yang saya maksudkan tersebut itu terletak pada tiga unsur:
1. Mise en scene (apa yang perlu difilemkan)
2. Sinematografi (bagaimana ia difilemkan)
3. Suntingan (bagaimana material yang sedia ada itu digabung atau disusun)
Bagi seorang karyawan filem yang halus mise en scene menjadi satu bahasa yang mempunyai matlamat. Elemen-elemen yang membina mise en scene itu ialah lokasinya, kostum dan tatarias, pergerakan dan pencahayaan. Sementara sinematografi pula selalunya adalah pilihan yang dilakukan oleh sinematografer membabitkan sudut kamera, tingkatan, atau kejauhan kamera.
Bahasa filem yang disentuh di atas mewakili mazhab bentuk. Saya ulangi, saya memuji bentuk Mukhsin. Saya telah menonton semua filem Yasmin Ahmad (yang saya ketahui) dan saya kira kebolehan Yasmin atau kekuatannya ialah pergerakan syot. Saya juga mudah tertarik dengan sudut kamera objektif berbanding yang subjektif. Entah Kenapa saya rasa Yasmin amat luar biasa dengan kemahiran tersebut. Kemampuan ini menjadikan Yasmin tahu mengekploitasi bingkai filemnya secara dinamik sehingga keseimbangan dan ketegangan pergerakan subjek dan pergerakan kamera dikawal dengan mesra di mata penonton. Rabun kerja awalnya sebagai misalan memiliki aspek ini.
Yasmin sememangnya beruntung mendapat Rozie Rashid, Mislina Mustaffa, adik Mohd Syafie Naswip dan adik Sharifah Aryana untuk beraksi dalam Mukhsin. Mislina Mustaffa misalnya, asal aktivis teater, adalah seorang pelakon yang mengingatkan saya kepada Meryl Strep (apakah saya melebih-lebihkan?) yang berupaya menjadikan watak kecil sekalipun kuat. Malah Mislina sebagai Mak Senah terasa ‘menghantui’ Mukhsin dengan amat berkesan. Begitu juga Rozie Rashid, perhatikan sahaja adengannya tidak dipedulikan suami atau bahagian dia dilanda kecewa dengan hasrat suaminya untuk berkahwin lain.
Satu aspek lain yang membangkitkan pesona Mukhsin ialah lagu-lagu yang menghiasi filem ini iaitu Hujan Keroncong dan. 'mana Me Quitte Pas'.
Naratif Mukhsin sederhana, dan inilah yang kita perlukan dari filem Melayu yang selalu mendepani kelemahan sebab dan akibat. Plot Mukhsin berkembang baik juga lojik meski lembab. Kerana saya atau kita semua, selalu sangat terdera dengan plot yang tidak munasabah dalam filem Melayu. Juga sekurang-kurangnya saya tidak berasa disakiti seperti Gubra sebelum ini. Yasmin tidak menyentuh lagi hal-hal yang kurang dimesrainya. Tambah lagi subjek yang melibatkan alam anak-anak sentiasa segar, syahdu dan membuatkan kita terapung (seperti Mukhsin yang terapung) dalam nostalgia. Ya kita tidak malu, Yasmin layak mendapat Deutsches Kinderhilfswerk Grand Prix.
Oleh kerana filem, seperti drama pentas, juga novel, adalah berkait dengan penceritaan, selalunya tradisi penceritaan itu akan berpaksikan kepada budaya sesuatu bangsa itu.
Filem-filem Hollywood misalnya mempunyai satu ciri naratif khas iaitu plotnya (atau sebab dan akibat) haruslah meliputi permulaan, pertengahan (kemuncak) dan kemudian pengakhiran (yang selalunya menggembirakan). Filem-filem Perancis pula dengan tradisi penceritaan yang berbeza, akan menawarkan gaya pengkisahan yang anti plot. Sebab dan akibat akan dijungkir balikkan. Pengakhiran boleh sahaja tidak diakhiri. Atau digantung dengan menyerahkan kepada penonton sendiri untuk membuat penilaian. Tradisi penceritaan bangsa juga mempengaruhi filem hantu Thailand, hal yang sama juga mempengaruhi filem-filem Hindi sedangkan hal-hal magis mengisi struktur penceritaan filem-filem Amerika Latin.
Dalam hal ini, untuk membebaskan diri kita dari tradisi penceritaan yang tiada kena-mengena dengan kita, tentulah kita berasa jelek apabila ada filem Malaysia tidak semena-mena memuatkan intermeso dengan lagu-lagu dan tarian ala Hindustan. Tentu juga kita akan berasa jengkel dengan filem yang ingin meniru tradisi penceritaan Siam dengan hantu-hantu hodoh.
Pada saya naratif atau tradisi penceritaan Melayu khususnya dan mungkin masyarakat Malaysia amnya ialah wacana. Belum ada filem kita dapat berwacana secara menggugah seperti filem Paradise Now, No Man’s Land atau The War Within.
Naratif akan terus menjadi hal yang amat diperhatikan. Hal ini juga, pada pandangan saya merupakan satu aspek yang masih belum terserlah dalam karya Yasmin. Saya mengangankan dengan kesempurnaan bentuk yang telah dicapainya, Yasmin mencuba dengan lebih berani (bukan berani cara Gubra!) menyentuh bahagian-bahagian yang jarang disentuh karyawan wanita kita seperti politik dan sejarah. Argh, alangkah subjek pilihan Amir Muhammad misalnya dalam Apa Khabar Orang Kampung atau Lelaki Kominis Terakhir dikerjakan Yasmin! Satu kerja seni yang pasti lebih bulat dan padu. Bentuk dan makna terkejap kukuh. Di situ adalah cabaran Yasmin dan disitulah nanti kita akan dapat menilai kemampuan Yasmin mengeksploit mazhab makna pula.
Kerana mazhab bentuk, sebaik mana sekalipun adalah amat subjektif dan akan dapat disaingi oleh karyawan lain, tetapi mazhab maknalah yang akan menjadikan seorang pengarah atau karyawan yang baik bertukar menjadi karyawan lagenda!
Kita tentu mengharapkan Yasmin tidak mengulangi ‘kekeliruan’ dalam Gubra untuk karya seterusnya iaitu Mualaf. Mungkin Yasmin ada kejutan, siapa tahu dia menguasai mazhab makna pula!
Mukhsin, ya sederhana dalam kekuatan sendiri. Satu karya filem mazhab bentuk yang akan membuatkan anda tersenyum.
dr blog faisal tehrani