Mengapa wanita memerlukan lelaki di
dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu
dahulu, ia begitu memukul-mukul
kepala.Ya, apa perlu seorang wanita
yang bebas mempertaruhkan sebahagian
besar hidupnya kepada tangan seorang
lelaki?
Bukankah lebih hebat jalan dihujung
minggu bersama kawan rapat, berkenyit-
kenyitan mata kepada lelaki kacak yang
saling tidak putus dan tidak lokek
senyum tanda salam perkenalan?
Saya mempunyai seorang rakan,
sederhana cantik, tidak terlalu kurus
tidak terlalu gemuk, tidak terlalu
buruk, tidak terlalu jelita, manisnya
ada, santunnya memikat orang tua,
beragama juga kerana selalu sahaja
diceritakan dia terhendap-hendap
membawa sejadah masuk ke bilik stor
kecil untuk solat, dan dia, sentiasa
cuba gembira dengan kehidupannya yang
solo – Tetapi saya fikir, saya faham
apa yang berputar-putar dalam
kepalanya. Dia tidak dapat berdusta
betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan
membuatnya cemburu, dan membuatnya
selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan
gadis yang dipuja dan dicintai hebat
oleh seorang lelaki?
Kawan, saya harap dia membaca artikel
ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa.
Cinta tidak juga datang kala kita
mahukannya. Jika kita mahukan ia
menjadi air, ia datang seperti api.
Tetapi, jika kita bersabar dan
menerima ketentuan Tuhan, seorang
lelaki yang baik akan didatangkan
kepada kita juga. Lelaki yang baik itu
tidak turun dari langit. Lelaki yang
baik itu juga tidak semestinya datang
dengan kepala berketayap, janggut
selambak atau harta membuak-buak.
Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan
mahukan dia menemani kita sepanjang
hayat, membimbing kelakuan kita,
menjaga kemurnian kalbu bersama-sama,
mendidik, membuka jalan agar kita
dapat memperdalami selok belok agama
yang barangkali selama ini hanya
menjadi pakaian dan lencana, dan
memberikan kita zuriat yang halal lagi
dirahmatiNya – Dia akan datang apabila
tiba masanya. Lambat atau cepat,
maafkan saya, kerana Allah itu yang
lebih mengetahui.
Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam
kehidupan seorang wanita seperti
manusia kudung yang diberikan semula
sebelah kakinya. Dia, menyempurnakan
kita. Namun, tidak kira semasyhuk mana
sekalipun perkasihan dua jantina,
selain perkara yang cantik-cantik dan
molek-molek, kita, wanita, harus
bersedia menerima kehodohan-kehodohan
perhubungan.
Kerana apabila kita mempersilakan
seorang lelaki duduk di samping kita
untuk sepanjang hayat, bererti kita
harus langsung juga mempersilakan
sekian masalahnya berbaring di bahu
kita. Kerana itu tidak hairan jika
kita mendengar ada di kalangan kita,
gadis, yang merungut-rungut kerana
tanggungjawabnya terhadap keperluan
hidup lelaki tidak juga berkurangan
walaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan
bahagia.Tetapi lelaki juga
mendatangkan sengsara.Tetapi jika kita
bijak menatangnya,semuanya pasti baik-
baik sahaja. Namun itulah adat dalam
perhubungan.Yang buruk-buruk pasti
ada - Barangkali daripada si
dia,barangkali juga daripada kita,
tetapi kita harus cermat
mengimbangkannya agar jodoh berkekalan
ke hari tua
Bagi yang sedang galak bercinta dengan
lelaki permata jiwa tetapi menerima
tentangan famili dua pihak, jika anda
fikir anda tidak mungkin mampu hidup
bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada
baiknya anda menyerah kalah saja.
Walaupun tidak saling memiliki, dan
cinta tidak juga diwali dan dinikahi,
anda dan dia tetap pengantin di dalam
jiwa. Barangkali sudah sampai masanya
anda mencari sahaja lelaki lain untuk
dibawa pulang menemui ibu bapa.
Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan
rapat yang dewasa bersama-sama sejak
zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit
kala di bangku pengajian, kini sudah
disunting, dan bakal menjadi isteri
kepada lelaki yang mereka cintai.
Semoga mereka tak tersalah pilih.Dan
semoga lelaki yang dipilih,
melaksanakan tanggungjawab dan
melunaskan hak suami isteri.
Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan
syahadah. Kerana benih seorang lelaki,
kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga
sehingga kita mampu menyibak jalan
keluar dari rahim ibu untuk melihat
dunia. Kerana benih seorang lelaki,
kita ini ditiupkan jiwa, menjadi
manusia, dan mencari seorang lelaki
untuk dicintai, sebagaimana ibu
diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang
dengan bapa. Dan kerana Tuhan yang
Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita
wanita, kita ini diciptakan daripada
lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak
terlalu gah sehingga mengenepi kudrat
lelaki, tidak juga terlalu lemah
sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah,
kita terbit darpada rusuk lelaki,
bukan dekat kepala untuk dijunjungi,
bukan dekat bahu untuk membebani,
bukan dekat lengan untuk dijulangi,
bukan dekat jari untuk disakiti, bukan
dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan
dekat lutut untuk ditindihi, bukan
dekat kaki untuk ditunggangi,tetapi
dekat pelusuk hati – Untuk dimulia,
disayangi dan dicintai.
Andai lelaki itu burung yang
terbang,kita adalah angin lembut yang
bersisir-sisiran sepanjang
perjalanannya. Tetapi kerana fitrah
kejadian Tuhan wanita itu
kebergantungan hidupnya harus saja
diserahkan kepada seorang lelaki yang
boleh melindungi, maka kita pun tidak
selamanya mahu menjadi angin semata-
mata. Kita mahu menjadi bunga,menghias
sayapnya. Kita mahu terus bersama-
sama, terbang dari rendah perkebunan
bunga sehingga ke sayup langit
terbuka, sehingga jalannya yang paling
hujung, sehingga kita tua, rapuh dan
mati. Tetapi kita bahagia dalam
dakapannya.
Semoga kita (perempuan) semua
diketemukan dengan
lelaki idaman jiwa.