PIALA Dunia 2006 semakin menuju kemuncaknya. Empat tahun lalu, Brazil muncul juara Piala Dunia selepas menewaskan Jerman 1-0 pada perlawanan akhir. Aksi lincah pemain Brazil, Ronaldinho sentiasa mencuri tumpuan.
Namun, pada kali ini, adakah Brazil akan menepati ramalan semua peminat sukan bola sepak dunia atau ada kejutan yang bakal tercipta?
Di sebalik kemeriahan Piala Dunia yang diadakan setiap empat tahun, isu-isu utama dijangka menghangatkan kembali keadaan. Ia berhubung dengan isu integrasi, toleransi, perkauman dan diskriminasi. Logo Piala Dunia menggambarkan tiga wajah tersenyum riang dalam warna kuning, biru dan hijau serta menampilkan simbol 006. Slogannya dalam bahasa Jerman membawa maksud, A time to make friends (dia Welt zu Gast bei Freunden).
Menurut Presiden Penganjur Bola Sepak Piala Dunia, Franz Beckenbauer, logo yang menggambarkan wajah ceria bertujuan membawa mesej bahawa Jerman mengalu-alukan kedatangan semua skuad pasukan bola sepak yang bertanding pada edisi kali ini.
“Kami percaya lambang baru tersebut menyampaikan falsafah untuk menikmati saat-saat kegirangan dan keseronokan sepanjang perlawanan. Semua orang tahu bahawa kami mampu menguruskannya dengan baik tetapi kami mahu membawa imej Jerman yang mesra dan peramah,” ujar bekas jurulatih Jerman dan pemain legenda itu.
Bagaimanapun, di sebalik keramahan tuan rumah, sebuah ruangan yang dikelolakan Muslim Eropah membawa sisi berbeza di sebalik laporan media mengenai Piala Dunia 2006 yang telah berlangsung sejak 9 Jun lalu. Perlawanan akhir akan diadakan di Berlin 10 Julai.
Perhimpunan Remaja Islam Sedunia (WAMY) melancarkan kempen mengenali Islam semasa berlangsungnya Piala Dunia 2006. Ia dijalankan oleh cawangan WAMY di Berlin, Jerman.
Menurut Pengarah WAMY di Kaherah, Mesir, Hamdy Al-Mursi, sebanyak 1.5 juta risalah berwarna-warni berkenaan Islam yang dicetak dalam bahasa Inggeris dan Jerman diedarkan kepada penyokong bola sepak seluruh dunia. Di samping risalah, WAMY juga mengedarkan pelekat Discover Islam, belon dan baju t.
Beliau menyatakan, kempen itu diuruskan bersama-sama dengan beberapa pertubuhan Islam dan badan bukan kerajaan (NGO) selepas mendapat lampu hijau kerajaan Jerman.
“Kami mahu orang ramai membaca mengenai Islam yang menentang diskriminasi. Ini adalah peluang keemasan untuk melatih remaja Islam memperkenalkan agama melalui acara dunia yang besar,” kata Hamdy.
WAMY adalah NGO bagi remaja dan pelajar dengan anggota gabungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang ditubuhkan pada 1972 di Arab Saudi. Ia mempunyai 55 negara anggota dan melibatkan 500 persatuan remaja seluruh dunia.
Penduduk Belanda menghias masjid mereka dengan warna oren dan bendera kebangsaan Belanda sebagai tanda sokongan terhadap skuad mereka yang layak ke perlawanan Piala Dunia tahun ini. Bendera kecil berwarna oren boleh dilihat berkibar dari menara masjid Oglu di bandar Osse, Brabant.
Imam masjid tersebut, Yasin Dagruyol berkata, masyarakat Islam minoriti ingin menunjukkan kesetiaan mereka terhadap Belanda dan menyokong pasukan bola sepak kebangsaan. Malah, penduduk Islam dan bukan Islam di Osse, turut sama mempamerkan bendera kebangsaan di rumah masing-masing.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Badan Bertindak Remaja, Mustafa Sen menyatakan, kempen ini menunjukkan bahawa orang Islam adalah sebahagian daripada komuniti di Belanda.
Sebagai tanda sokongan juga, skrin besar diletakkan di pusat kebudayaan masjid di Osse khusus untuk tayangan bola sepak yang melibatkan Belanda.
Jelas Sen, Piala Dunia adalah peluang keemasan bagi orang Islam menjelaskan segala kekeliruan berhubung dengan rumah ibadat dan agama.
“Ia berupaya membuang perasaan salah faham dan mengurangkan ketakutan yang diperbesarkan pihak media. Secara tidak langsung, ia menunjukkan ajaran Islam tidak menghalang hiburan,” tambahnya.
Di Belanda, penduduk Islam dianggarkan berjumlah 1 juta daripada jumlah keseluruhannya iaitu 16 juta. Terdapat 300 masjid, 1,000 pusat kebudayaan Islam, dua universiti Islam dan 42 sekolah persediaan dibina di negara tersebut.
Dalam perlawanan pusingan kedua, Belanda tewas kepada Portugal 0-1 dan secara tidak langsung gagal ke pusingan suku akhir.
Hotel di Jerman sekat arak dan siaran tv lucah untuk skuad Arab Saudi
Minuman beralkohol dan gambar-gambar lucah yang disiarkan melalui televisyen disekat di hotel penginapan untuk pasukan Arab Saudi. Malah pihak pengurusan Hotel Dolce di bandar Bad Neuheim cuba menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pasukan tersebut.
“Mereka boleh menonton 35 siaran berbahasa Arab di bilik masing-masing dan menonton perlawanan bola sepak dalam bahasa Arab. Kami menyediakan stesen tv berbayar manakala siaran lucah akan disekat,” ujar pengurus besarnya, Michel Prokop kepada Reuters.
Arab Saudi yang berada dalam kumpulan H bersama-sama dengan Ukraine, Sepanyol dan Tunisia gagal melayakkan diri ke pusingan kedua setelah tewas 0-2 kepada Sepanyol.
Tambah Prokop, seramai 123 kakitangan hotel mengikuti kursus selama lapan jam mempelajari asas bahasa Arab bagi memudahkan komunikasi. Mereka juga diajar mengenai kod pakaian yang sopan termasuklah pemakaian skirt terlalu pendek tidak dibenarkan. Kesemua pekerja wanita digalakkan memakai seluar panjang dan blaus.
Dengan bantuan persatuan penduduk Islam, pihak hotel juga menyediakan bilik sembahyang berasingan dan mengeluarkan semua kitab Bible yang terdapat dalam bilik penginapan pasukan Arab Saudi.
Penyokong beragama Islam digesa agar tidak terperangkap dengan provokasi yang dicetuskan oleh kumpulan sayap kanan dalam perlawanan Piala Dunia 2006 terhadap pasukan dari negara-negara Islam. Sebaliknya, dalam satu laman web oleh penduduk Islam Jerman, mereka diminta melaporkan kepada pihak polis sekiranya berlaku keganasan.
“Penyokong beragama Islam perlu memberikan contoh terbaik sebagai orang Islam dan mengikuti perlawanan tersebut dengan hati terbuka walau apa jua keputusan yang terjadi,” kata sumber laman web tersebut.
Baju t yang terpampang anti-Muslim telah diedarkan oleh pengikut berhaluan kanan. Salah satu baju t tersebut tertera perkataan, Islamophobic and Proud of It.
Beberapa hari sebelum berlangsungnya perlawanan, kumpulan sayap kanan Jerman bersiap sedia mengganggu pasukan dari negara Islam di Mondial. Iran adalah negara yang menjadi tumpuan pada kempen berkenaan. Kumpulan sayap kanan menggalakkan para penyokongnya mengerumuni pertandingan yang melibatkan Iran dan menggunakan bendera Israel dalam setiap perlawanan melibatkan republik Islam.
Iran bermain dalam kumpulan di bersama dengan Mexico, Angola dan Portugal. Selain Iran, negara Islam yang lain ialah Arab Saudi dan Tunisia.
Sementara itu, FIFA bercadang mengadakan kempen menentang isu perkauman dan diskriminasi sepanjang Piala Dunia 2006 berlangsung.
Iklan televisyen dan sepanduk besar akan diletakkan di 12 buah stadium perlawanan sebagai sebahagian daripada kempen anti-perkauman dengan matlamat menyampaikan mesej kepada dunia agar menentang perkauman.