Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 03-08-2021  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
Saya tidak sanggup menghapuskan kegelapan tetapi saya sanggup meneranginya.
-- John Newton

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 89
Ahli: 0
Jumlah: 89




  Yang Masuk Ke Sini
izad: 14 hari yang lalu
the_brOtherz: 41 hari yang lalu


Bincang Agama
Topik: ::Seruan Kita Kepada Islam, Bukannya Ireland::


Carian Forum

Moderator: ibnu_musa, Administrator, ABg_IMaM
Portal Komuniti :: Ukhwah.com Indeks Forum
  »» Bincang Agama
    »» ::Seruan Kita Kepada Islam, Bukannya Ireland::

Please Mendaftar To Post


Oleh ::Seruan Kita Kepada Islam, Bukannya Ireland::

czarcam
Warga 4 Bintang
Menyertai: 08.10.2004
Ahli No: 11715
Posting: 207
Dari: padang Rengas, Kuala Kangsar.

Perak   avatar


posticon Posting pada: 24-04-06 05:37


Oleh : Ustaz Hasrizal Bin Abdul Jamil.


null
Tallaght Hospital, Dublin 24: Tempat isteri saya bertugas di Wad Kecemasan dan saya bertugas di minbar Jumaatnya


.WBT Assalamualaikum

Saya telah menerima pelbagai reaksi selepas tersebarnya artikel saya yang bertajuk MENGAPA HARUS BEGINI: KRISIS SIKAP DI INSTITUSI KESIHATAN. Ada yang bersetuju, ada juga yang menentang keras. Artikel tersebut saya tulis bukan dengan maksud untuk memburukkan mana-mana pihak. Ia lebih kepada kesinambungan dari kebanyakan artikel saya sebelum ini yang memberikan penekanan kepada KRISIS SIKAP di pelbagai sudut.

Saya sudah menyentuh tentang soalan SIKAP di dalam beragama. Saya juga telah menyentuh tentang isu yang sama di pelbagai siri artikel saya tentang catatan kembara ke Turki. Kini, tiba pula giliran untuk saya cuba berkongsi pandangan tentang isu SIKAP di institusi kesihatan.

Memang tidak dinafikan, apabila kita lama duduk di luar negara, kita sudah terbiasa dengan suatu keadaan yang malangnya berlawanan dengan apa yang ada di tanah air sendiri. Membanding-bandingkan antara Malaysia dengan Ireland atau mana-mana negara lain, adalah sesuatu yang menjadi penyakit kepada orang yang baru pulang dan disampuk kejutan budaya di kampung halamannya. Namun, saya berpandangan bahawa membuat perbandingan bukanlah suatu kesalahan asalkan motifnya murni. Kredit saya terhadap apa yang baik di Ireland, tidak menafikan sama sekali kebaikan yang ada di institusi kesihatan negara kita bahkan jauh sekali untuk saya mengagung-agungkan apa yang Irish sambil memandang rendah apa yang Malaysia. Saya masih waras.

Kerana adanya gelaplah, maka terserlah cerah dan indahnya siang. Kerana ada yang cacat, maka yang sihat terserlah sempurna diri dan kewajipan syukurnya atas nikmat yang diberi Allah. Malah Allah Mencipta kita semua sebagai makhluk dengan begitu sempurna dan luar biasa, adalah sebagai cermin untuk menyerlahkan kebesaran dan keagungan-Nya.

Pihak kerajaan sendiri lazim membanding-bandingkan apa yang ada di Malaysia dengan apa yang ditemui di luar negara. Kita menilai tandas awam, kita menilai kenaikan harga minyak petrol, kita menilai ketinggian bangunan dan kepanjangan jambatan kita, kita memang suka membanding-bandingkan apa yang kita miliki dengan apa yang ada di tangan orang lain.


"IA SOAL HAK ALLAH DAN HAK HAMBA-NYA YANG DIJAMIN AGAMA..."


Akan tetapi, perbandingan saya bukanlah melepasi tahap rasional. Saya tidak meletakkan sebarang personal expectation ketika saya diherdik di hospital terbabit. Tidak pernah terlintas di fikiran saya bahawa saya ini si fulan bin si fulan, maka saya sepatutnya dilayan begini begini dan bukan begitu. Naudhubillah. Saya sentiasa mendidik diri saya agar tidak lupa yang saya adalah hamba Allah, dan seorang hamba tidak berhak meletakkan sebarang expectation. Usahkan kepada seorang doktor, bahkan kepada isteri saya pun, saya tidak pernah menambah derita isteri saya yang bekerja sebagai seorang doktor, dengan expectation peribadi saya bahawa saya seorang suami, mesti dilayan begini dan begitu. Jika saya ada sikap seperti ini, tentu saya akan pulang ke rumah setiap petang, menyilang kaki di sofa dan memerintahkan isteri saya menyiapkan kopi panas dan pisang goreng. Naudhubillah, minta dijauhkan Allah dari saya bersikap dengan karenah suami seperti itu.

Walau bagaimana pun, apa yang menyedihkan saya ialah, perbuatan seorang Muslim mengherdik seorang Muslim yang lain, adalah suatu kezaliman yang mendatangkan DOSA. Ia bukan soal profesionalisma dalam kerjaya, tetapi yang saya timbulkan adalah soal DOSA dan PAHALA. Seorang doktor tidak sepatutnya mengherdik pesakit. Pesakit juga tidak sepatutnya mengherdik seorang doktor. Allah mengurniakan setiap manusia itu, dengan maruah dan harga diri. Tidak harus bagi sesiapa untuk memperlekeh atau menafikannya. Doktor atau pesakit, ketua atau pekerja, kita semua adalah hamba kepada-Nya. Kehormatan diri sesama insan adalah hak yang diberikan Allah dan dijamin oleh Syariat-Nya.

Oleh yang demikian, apa yang harapkan adalah kita semua tidak membuat dosa melalui pekerjaan kita.

Kita bersolat hanya sejam dalam sehari. Kita berdoa hanya beberapa minit dalam sehari. Kita membaca al-Quran, hanya beberapa detik di dalam dua pusingan jam sehari. Ibadah khusus kita amat sedikit. Sedangkan kita bekerja antara 8 ke 10 jam sehari. Kita duduk di pejabat lebih lama berbanding duduk kita di masjid. Kita memegang stethoscope, mouse, cangkul, jala dan komputer, lebih daripada kita memegang tasbih (bagi yang bertasbih) atau memegang mushaf al-Quran. Malah kita lebih banyak menghabiskan masa dengan klien berbanding masa kita dengan Allah SWT.

Seandainya semua itu tidak jadi ibadah, maka bagaimanakah kita mahu bertemu dengan Allah di Mahsyar sana? Sedangkan Allah SWT telah menyebut di dalam al-Quran Surah adz-Dzariyaat (51) ayat 56:

/

"Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia, kecuali agar mereka itu beribadah kepada-Ku"



Inilah tujuan hidup kita. Kita diciptakan Allah untuk beribadah kepada-Nya, mengabdikan diri kepada-Nya di dalam setiap perkara yang kita lakukan. Renungkan... kita tidak sukar beribadah kepada Allah melalui solat, tetapi sebaik mana pun solat kita, ia hanya sejam dalam sehari. Bagaimana pula dengan pekerjaan kita?

Jika kita tidak berani memendekkan solat Subuh kepada satu rakaat kerana mahu cepat ke pejabat, mengapa semasa kita bekerja, kita tidak malu untuk curi tulang, datang lewat atau pulang awal? Sistem Punch Card hanya dapat mengesan bila waktu kita tiba di pejabat. Tetapi ia tidak boleh mengesan bila sebenarnya kita MULA bekerja. Kenapa disiplin kita di dalam Solat tidak kelihatan semasa kita di tempat kerja?

Sebabnya satu sahaja. Semasa solat, kita menganggapnya ibadah. Tetapi semasa bekerja, kita rasa Allah tidak berkait dengan kerja kita. Kita telah `tinggalkan' Allah selepas melipat sejadah.

Maka, saya sebagai seorang ustaz, atau yang lebih utama sebagai seorang Muslim, tanggungjawab saya adalah untuk memastikan diri saya dan orang lain mematuhi ajaran Islam. Jangan berdosa melalui kerja. Apakah ini terlalu idealistik untuk dibincangkan?

Saya tidak peduli dan tidak kecewa hati andai kata doktor, jururawat malah sesiapa sahaja di hospital Ireland bersikap kurang ajar. Semasa menonton rancangan televisyen ER keluaran Amerika Syarikat, atau All Saints keluaran Australia, kedua-dua drama perubatan itu banyak mendidik dan menyedarkan saya tentang realiti tempat kerja isteri saya. Kami sering berbincang, bukan sahaja tentang isu-isu perubatan di dalam hampir setiap siri rancangan tersebut, malah apa yang paling menarik adalah persoalan ATTITUDE yang paling banyak menimbulkan dilema dan masalah semasa hospital beroperasi.

Tetapi seruan saya di dalam artikel lepas, bukanlah supaya institusi perubatan di Malaysia meniru apa yang ada di Amerika Syarikat, Britain, Ireland dan Australia. Ia bukan formula kecemerlangan kita. Apa yang saya serukan adalah agar kita semua kembali kepada Allah. Bawa kembali the concsiousness of the Creator itu ke dalam pekerjaan kita. Buat kerja betul, betul-betul!!


/
Jordan Islamic Hospital: Hospital Tubuh Badan dan Sekolah Kehidupan Saya


Semasa di Jordan, saya pernah dirawat sebanyak dua kali di Jordan Islamic Hospital. Nama itu adalah nama yang berat untuk dipikul oleh sebuah hospital kerana ia membawa kepada masyarakat menilai setiap aspek hospital tersebut sama ada menepati Islam atau tidak. Memang tidak dinafikan, hospital tersebut cuba menjaga pelbagai sudut operasinya agar menepati Islam. Saya menghargainya.

Misalnya, wad lelaki dan perempuan diasingkan, di mana wad perempuan dikendalikan sepenuhnya oleh kakitangan perempuan. Daripada jururawat, hinggalah kepada kerani dan pekerja membersih lantai. Manakala di wad lelaki pula, keadaannya sama iaitu semua jururawat dan kakitangan yang lain, lelaki. Mungkin kita sinis dengan situasi begini, tetapi sekurang-kurangnya Jordan Islamic Hospital telah mengorak langkah.

Namun, apa yang saya kenang sampai bila-bila adalah budi bahasa kakitangan hospital tersebut. Selepas menerima rawatan, saya diserahkan bil sebanyak JD1200 iaitu kira-kira RM7 ribu. Tentulah jumlah ini mustahil untuk saya. Saya bertanya, apakah ada peluang untuk saya memohon bantuan kewangan atau mungkin dikurangkan jumlah bil tersebut. Saya diberitahu oleh kakitangan kewangan hospital, agar berjumpa terus dengan pegawai yang bertanggungjawab di dalam hal ini.

"Saya mohon agar dikurangkan bayaran bil ini kerana jumlahnya terlalu besar. Saya memilih untuk menjalani pembedahan di hospital ini kerana saya yakin dengan `kualiti perkhidmatan' yang diberikan, di samping suasana Islamnya', saya cuba memohon pertimbangan.

"Ya akhuy!, bagaimanakah kesihatan kamu sekarang?", itu ayat yang keluar dari mulut pegawai tersebut.

"Alhamdulillah beransur baik. Syukur kepada Allah.", saya menjawab sambil terpinga-pinga menanti jawapan tentang bil itu tadi.

"Selain rawatan, apakah yang kamu dapat selama kamu berada di hospital ini?", tanyanya lagi.

"Saya dapat dua orang kawan baru. Seorang pesakit berbangsa Sudan yang menghadiahkan saya lawatan setiap hari. Dia sentiasa membantu saya bangun untuk mengerjakan Solat. Seorang lagi adalah pesakit dari selatan Jordan. Dia menghadiahkan saya senaskhah al-Quran dan seutas tasbih. Pelajaran berharga yang saya dapat adalah PERSAUDARAAN ISLAM", saya cuba memberikan penjelasan.

"Setujukah kamu kalau saya katakan Islam itu indah?", beliau seakan-akan cuba menduga saya.

"Ya, memang indah", saya menjawab.

"Jika persaudaraan menjadi Islam, ia menjadi persaudaraan yang indah. Jika kehidupan kita menjadi Islam, ia menjadi kehidupan yang indah. Jika hospital ini menjadi Islam, ia pasti menjadi hospital yang indah. Betul tak?", beliau tersenyum kepada saya.

"Ya, saya hanya sakit fizikal, tetapi fikiran dan jiwa saya tenang.", saya membalas.

" Ya akhi, tulislah di kertas ini apa-apa cadangan kamu untuk kami tingkatkan kualiti perkhidmatan kami di sini. Kamu sudah membayar 200 Dinar semasa pendaftaran tempoh hari, betul tak?", ujarnya.

"Ya. JD200", saya menjawab.

"Nah, ambillah baki 60 Dinar. Jagalah kesihatan kamu sebab kamu pelajar Syariah. Kamu perlukan kesihatan yang baik untuk melaksanakan tugas kamu di dalam masyarakat", pegawai itu menghulurkan tiga keping wang kertas 20 Dinar bersama sekuntum senyuman.

Subhanallah, saya jadi keliru. Saya sepatutnya membayar JD1200 tetapi akhirnya, menjadi hanya JD140 sahaja.

Saya cuba mendapatkan penjelasan berkenaan dengan hal ini. Kata pegawai terbabit, mereka meletakkan cas yang standard kepada pesakit kerana hospital itu adalah hospital pakar swasta. Namun, ia adalah keperluan, bukan tujuan. Sebarang bantuan kewangan, hanya dihulurkan jika pesakit atau warisnya mahu bertemu dengan pegawai yang telah ditetapkan. Dan apabila bertemu, pegawai itu akan melaksanakan misinya menyampaikan mesej-mesej Islam kepada pesakit atau waris tersebut.

Itulah kenangan saya semasa menerima rawatan dan pembedahan di Jordan Islamic Hospital. Apa yang menjadi ingatan saya hingga ke hari ini, bukanlah pada kecantikan landskapnya, atau wad dan bilik pembedahan yang canggih. Tetapi yang menjadi ingatan untuk saya terus mendoakan kemajuan hospital tersebut adalah pada budi bahasa pegawainya, serta `pelajaran-pelajaran berharga' selama saya di hospital tersebut.

Mungkin ada yang ketawa sinis membaca cerita saya ini. Alahai macam hospital di kayangan pula bunyinya!

Izinkan saya untuk membalas ketawa itu dengan senyuman. Seorang yang mahu menikmati Syurga Akhirat, mestilah terlebih dahulu menikmati Syurga dunia. Syurga dunia itu adalah pada kesejahteraan iman dan ketenangan diri yang syukur, sabar dan redha. Jika rumah tangga kita bagai neraka, jika tempat kerja kita bagai neraka, hubaya hubaya!


"Masyarakat Juga Harus Belajar Untuk Memahami Kehidupan Doktor dan Hospital..."

Namun, izinkan saya untuk menjelaskan di sini, janganlah pula kita hanya tahu menyalahkan pihak doktor dan hospital. Bukan sahaja doktor dan institusi kesihatan perlu memahami masyarakat, malah masyarakat juga MESTI memahami apa yang ada di sebalik tabir hospital yang anda kunjungi.

Beban kerja di hospital hanya Allah sahaja yang tahu. Saya yang beristerikan seorang doktor juga, amat-amat terkesan dengan tekanan kerja di institusi kesihatan.

Saya masih ingat, semasa isteri saya mengandungkan anak pertama kami, beliau pengsan tiga kali semasa bertugas sebagai Junior Doctor (internship). Pakar runding O&pergi di hospital tempat isteri saya bekerja telah menghantar surat kepada saya meminta agar saya terus secara konsisten memberikan sokongan berupa nasihat dan semangat agar isteri saya tabah mengharungi beban kerja dalam keadaan mengandung anak pertama kami. Itu internship di Ireland. Bagaimana pula dengan Malaysia? Ternyata jauh berganda bebanan kerjanya. Gugur kandungan kerana kegilaan kerja? Cubalah bantu saya mendapatkan statistiknya supaya yang pejam, tercelik mata.

Seorang rakan saya, membawa anaknya ke hospital untuk bertemu dengan ibunya, seorang Junior Doctor. Beliau sudah putus asa untuk balik ke rumah. Bekerja seawal 8 pagi, dan tamat jam 10 malam, setiap hari, 7 hari dalam seminggu, apalah lagi gunanya pulang ke rumah. Lebih baik tidur di hospital dan suami sahaja yang datang membawa anak menjenguk ibu yang keletihan di doctor-rest.

Pernahkah anda mendengar orang bekerja hingga lebih 40 jam terus menerus dengan hanya sedikit tidur iaitu apabila pesakit berhenti tiba di pintu wad kecemasan? Ya, semasa di Ireland, ada rakan isteri saya yang mengalaminya. Akibat keletihan yang amat sangat, beliau nyaris memudaratkan seorang pesakit lantaran tersilap mengira dos ubat yang mahu disuntik. 40 jam bekerja, adalah jumlah masa yang mengatasi working hours kerbau membajak sawah. Siapakah yang peduli akan hal ini?

Saya amat berharap agar ada pihak yang membuat kajian secara terpeinci, berapa ramaikah sebenarnya pasangan doktor (sama ada dua-dua doktor atau salah seorang) yang binasa rumahtangga mereka di labuhan penceraian. Saya tahu jumlahnya banyak malah bertambah. Tekanan kerjanya luar biasa. Itu belum diambil kira doktor lelaki dan perempuan yang gagal berumahtangga. Kesibukan bekerja di samping tekanan masa, menjadi faktor yang serius. Marilah ke hospital dan bilanglah wanita-wanita mulia yang masih sendirian ketika usia itu sepatutnya menjadi ibu yang menghantar anak ke sekolah. Beranikah seorang lelaki meminang seorang doktor yang tidak berpeluang melayannya dengan sempurna, dan membesarkan anak-anak di depan mata?

Saya sendiri pernah dilabel gila oleh kawan-kawan kerana berkahwin dengan doktor. Tetapi saya pegang pada agama. Rumah tangga Nabi SAW adalah contoh paling harmoni dan bahagia, sedangkan Baginda SAW adalah insan tersibuk. Formulanya agama. Saya beristeri bukan untuk menerima. Jika saya menerima kebaikan dari isteri, itu bonus yang saya syukuri. Saya berumah tangga untuk memberi. Memberi kasih sayang, memberi tunjuk ajar, memberi nafkah, memberi kehidupan. Lantas, andaikata apa yang saya buat, boleh dianggap sebagai pengorbanan, maka biarlah ia menjadi pengorbanan saya agar isteri dapat beribadah melalui pekerjaan murninya.

Tetapi tidak saya nafikan. Menjadi ahli `Kelab Suami Doktor' bukan calang-calang ujian. Namun sudikah masyarakat peduli?

Sedangkan doktor yang bertugas di hospital kerajaan mendapat imbuhan gaji yang sederhana. Kira-kira lebih sedikit sahaja dari guru berijazah di sekolah Kementerian Pendidikan. Sebab itulah saya kira, sindiran-sindiran masyarakat terhadap `kemewahan' yang bakal dikecapi oleh doktor apabila kerajaan mengizinkan locum di hospital swasta, sememangnya amat menghiris hati dan perasaan para doktor. Kalau sudah menjadi doktor pakar, mungkin ada kelegaan. Berbaloilah pada pengorbanan dan penderitaan yang telah dialami semenjak di alam pre-clinical tahun dua di fakulti perubatan, hingga selepas puluhan tahun mencurah pengorbanan. Tetapi bagi seorang medical officer, gambaran media terhadap kemewahan hidup mereka adalah dusta yang menghiris jiwa.

Banyak karikatur di akhbar-akhbar kita menyindir dan media lebih suka mengenengahkan kelemahan perkhidmatan semata-mata. Hospital tidak cekap, pemandu teksi menaikkan tambang sesuka hati, inilah bahasa media selama ini. Tetapi laporan yang bersifat mendidik masyarakat tentang bagaimana sepatutnya mereka memahami realiti di sebalik sebuah hospital dan hakikat kehidupan pemandu teksi bersama bebanan sewa meter, sewa radio, beratur berjam-jam untuk mengisi NGV dan pelbagai beban hidup mereka, sudikah media mengenengahkannya?

Sepatutnya drama-drama perubatan seperti ER dan All Saints diterbitkan sebagai medium mendidik masyarakat. Namun trend drama di televisyen kita masih mengutamakan isu yang mendatangkan penyakit.

Apa yang pasti, pesakit yang datang ke hospital memang tidak dinafikan banyak kerenah mereka. Silap sikit, mereka mengugut untuk menelefon Karam Singh Walia di TV3. Malah paling mendukacitakan saya ialah apabila isteri saya menceritakan bagaimana semasa sambutan Tahun Baru Cina, warganegara kita pergi ke Wad Kecemasan Hospital UKM bersama ibu bapa mereka. Apabila doktor mahu memeriksa ibu atau bapa yang dibawa, si anak pula yang sibuk mencelah dan cuba menerangkan masalah ibu dan bapa mereka. Walhal apa sebenarnya yang berlaku ialah, mereka mengambil kesempatan untuk meninggalkan ibu bapa secara percuma di hospital sementara mereka bercuti di sepanjang cuti Tahun Baru Cina. Mahu dihantar ke rumah orang tua-tua, mahal bayarannya. Lebih baik dihantar sahaja ke hospital, dan bercutilah anak-anak sepuas hati mereka.

Suatu penyalahgunaan hospital yang amat memalukan kita.

Ya, ini bukan kisah khayalan. Saya sudah bertemu dengan situasi ini semasa di Ireland, dan kini ia juga menjadi trend di tanah air kita pula.

"Masyarakat Perlu Dididik..."

Namun, untuk membetulkan segala kepincangan ini, kita harus fokus kepada gelanggang yang mampu kita ubah. Saya berpandangan, adalah tidak praktikal untuk kita mengharapkan masyarakat faham dengan sistem pengurusan pesakit di hospital, melainkan institusi kesihatanlah yang sepatutnya mengambil langkah pro aktif mendidik masyarakat. Bukan sahaja langkah pro aktif di peringkat doktor, jururawat dan kakitangan hospital, malah yang paling utama adalah Kementerian Kesihatan. Syukur Alhamdulillah, sekurang-kurangnya TV3 sudah mengenengahkan rancangan Medik TV, namun ia agak kurang memberikan penekanan kepada aspek mendidik masyarakat agar faham sistem-sistem hospital seperti strategi TRIAJ membahagikan kategori pesakit di wad kecemasan dan sebagainya.

Saya berpendapat, majoriti masyarakat masih menganggap Wad Kecemasan sebagai satu-satunya pintu masuk kepada rawatan di hospital. Kerana itulah, sembelit enam bulan pun muncul menuntut rawatan di wad kecemasan yang maha sibuk. Namun, jika tidak institusi kesihatan yang menyerlahkan pengetahuan ini kepada masyarakat, bagaimana mungkin perubahan dapat dicetuskan?

Memang tidak logik, di dalam kebanjiran pesakit, doktor mahu menjelaskan secara terpeinci kepada setiap pesakit. Namun bagi kes-kes yang memerlukan penjelasan, adalah wajar pesakit beroleh maklumat yang betul. Pesakit tenang, doktor pun senang.

Misalnya, anak seorang rakan saya telah ditimpa penyakit kuku dan mulut. Dia telah dimasukkan ke sebuah hospital daerah. Namun keesokan harinya, hospital telah mengarahkan kepada kawan saya agar membawa anaknya pulang!

Di mata seorang bapa, apa yang dilihat adalah si anak masih belum sembuh. Mulutnya penuh ulser dan dia sukar untuk makan dan minum. Bagaimana mungkin sebuah hospital dengan mudah menyuruh si anak dibawa pulang. Akhirnya kawan saya mengeluh dan menceritakan hal ini kepada saya dengan penuh sesal dan prejudis terhadap pihak hospital.

Saya cuba mendapatkan maklumat sebenar melalui penjelasan isteri saya. Katanya, penyakit kuku dan mulut adalah disebabkan oleh virus dan memang tidak ada apa-apa rawatan yang boleh diberikan, kecuali rawatan yang bersifat simptomatik sahaja. Maksudnya, tiada rawatan yang boleh diberikan untuk menghalau pergi virus tersebut. Hospital hanya merawat simptom penyakit itu iaitu ulser di mulut, kekurangan air di dalam badan dan sebagainya. Rawatan seperti ini boleh dilakukan sendiri di rumah, dan lebih baik katil hospital diberikan kepada pesakit yang lebih memerlukan. Tetapi jika doktor atau mana-mana pihak di hospital tidak berminat menerangkan hal ini kepada waris pesakit, siapakah yang patut dipersalahkan jika waris pesakit meninggalkan hospital dengan salah tanggap yang bakal menyusahkan hospital di masa-masa akan datang?

Kesimpulannya, saya yakin kawan saya akan membawa anaknya pulang ke rumah dengan tenang, jika dia mendapat maklumat yang betul, bahawa di hospital yang sesak itu, adalah wajar anaknya dibawa balik kerana rawatan hospital itu boleh dibuat di rumah sahaja. Tetapi disebabkan oleh discharge yang dilakukan itu tidak berserta dengan keinginan mendidik masyarakat, kawan saya mendapat persepsi bahawa hospital tidak bertanggungjawab kerana menyuruh anaknya balik dalam keadaan sakit yang belum sembuh.

Jangan salahkan masyarakat kerana mereka sendiri pun kadang-kadang tidak tahu apa yang hendak ditanya. Mereka hanya merungut sendirian, dan bagi yang gatal tangan seperti saya, akan menulis ke sana sini.

Saya kira, kita semua boleh fokus kepada circle of influence masing-masing dan mulakan perubahan dari diri kita sendiri dan kemudiannya kepada persekitaran yang boleh kita berikan kesan dan bekas.

Saya tabik kepada kepakaran institusi kesihatan di negara kita, tetapi tajuk perbualan saya adalah SIKAP, bukannya kemahiran, ilmu mahu pun maklumat.

Semua ini akan terus menjadi ayam dan telur, kecuali kita mahu pulang. PULANG KEPADA ALLAH DAN BEKERJALAH SEBAGAI IBADAH!

Maafkan saya, dari Allah jua dipohon keampunan.

Wassalamualaikum wbt.

ABU SAIF
Cheras 56000, 22 April 2006


-----------------
Perjuangan Ibarat Mata Rantai, Kita Bukanlah Orang Yang Pertama Dan Kita Bukanlah Orang Yang Terakhir.....


Bookmark and Share

    


  Member Information For czarcamProfil   Hantar PM kepada czarcam   Quote dan BalasQuote

ummimq

Menyertai: 17.09.2003
Ahli No: 3613
Posting: 3616
Dari: Johor

Johor   avatar


posticon Posting pada: 24-04-06 11:31


Assalamu'alaikum wrt wbt

Alhamdulillah bacalah petikan dari artikel di atas:-

"Rumah tangga Nabi SAW adalah contoh paling harmoni dan bahagia, sedangkan Baginda SAW adalah insan tersibuk. Formulanya agama. Saya beristeri bukan untuk menerima. Jika saya menerima kebaikan dari isteri, itu bonus yang saya syukuri. Saya berumah tangga untuk memberi. Memberi kasih sayang, memberi tunjuk ajar, memberi nafkah, memberi kehidupan. Lantas, andaikata apa yang saya buat, boleh dianggap sebagai pengorbanan, maka biarlah ia menjadi pengorbanan saya agar isteri dapat beribadah melalui pekerjaan murninya."

Petikan di atas perlu dihayati agar rumahku jadi syurgaku (baiti jannati). tak kiralah kerja apa si isteri maka suami perlu bersikap ikhlas sebagai pemimpin dalam rumahtangga.

Wallahuta'ala a'lam bissawab
Wassalamu'alaikum wrt wbt
ummimq
ps - menitiskan air mata ketika membaca artikel di atas.

Bookmark and Share

    


  Member Information For ummimqProfil   Hantar PM kepada ummimq   Pergi ke ummimq's Website   Quote dan BalasQuote

Member Messages

Forum Search & Navigation

 

Log in to check your private messages

Silakan Login atau Mendaftar





  


 

[ Carian Advance ]

Jum ke Forum 




Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.095654 saat. Lajunya....