HIBURAN sejati adalah yang bertapak di hati. Ia boleh membawa hati tenang. Syarat bagi ketenangan hati adalah dengan mengisi keperluan asasinya iaitu iman.
Firman Allah bermaksud: “Orang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” – (Surah al-Ra‘ad, ayat 2
.
Justeru, orang beriman akan mendapat hiburan dengan cara berhubung dengan Allah. Ia dilakukan dengan melaksanakan perintah, kewajipan, melakukan perkara yang disunatkan seperti zikir, puasa dan sedekah.
Begitu juga, berinteraksi dengan alam ciptaan Allah dan menerima segala ketentuan daripada-Nya.
Apabila melaksanakan perintah Allah, mereka terhibur kerana merasakan perintah itu datang daripada kekasihnya. Kalau yang menyuruh itu kekasih, tidak ada yang disusahkan, bahkan kegembiraan yang akhirnya membawa ketenangan. Mereka rasa seronok dan terhibur dengan ibadah itu.
Orang mukmin juga rasa terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan oleh Allah. Hatinya sentiasa bersangka baik dengan Allah, membuatkannya tidak pernah resah. Apabila diberi nikmat mereka terhibur, lalu bersyukur. Diberi kesusahan, mereka terhibur, lalu bersabar.
Mereka yakin dengan firman Allah bermaksud: “(Katakanlah wahai orang yang beriman: “Agama Islam yang kami sebati dengannya adalah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya selain daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepada-Nya kami beribadat.” – (Surah al-Baqarah, ayat 13
.
Orang beriman juga akan terhibur apabila melihat alam ciptaan Allah. Mereka tenang, bahagia dan gembira melihat pantai, bukit bukau, langit, laut dan sebagainya. Melihat, mendengar dan berfikir mengenai keindahan itu cukup bagi mereka merasakan keindahan alam dan kebesaran pencipta-Nya.
Demikianlah sifat orang bertakwa iaitu yang berusaha memelihara dirinya daripada menyalahi hukum dan undang-undang Allah. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertakwa.” – (Surah Yunus, ayat 6).
Selain itu mereka ini dapat menghayati maksud sabda Rasulullah: “Sesungguhnya Allah itu indah. Dia suka keindahan.” – (Riwayat Muslim)
Islam tidak menolak hiburan dari luar selama hiburan luar itu boleh menyumbang dan menyuburkan lagi hiburan dalaman hati dengan syarat ia mematuhi syariat.
Alunan ayat suci al-Quran, selawat yang memuji Nabi, lagu yang menyuburkan semangat jihad, puisi atau syair yang menghaluskan rasa kehambaan kepada Tuhan, pasti akan menyuburkan lagi iman mereka. Firman Allah bermaksud: “Allah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (mengenai benar dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan pelbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.” – (Surah Al-Zumar, ayat 23)
Allahu a'lam..
B Harian, 30//42005