Seks bebas - Isu serius melanda remaja Malaysia
Oleh ROSMAH DAIN
UTUSAN MALAYSIA (13 SYA'ABAN 1425)
Golongan remaja merupakan pelapis atau waris yang bakal menerajui masa depan negara dan mempunyai pengaruh yang amat besar terhadap keadaan sosial, politik dan ekonomi negara.
Bagaimanapun, arus pembangunan yang mendadak menjadikan golongan ini mudah terlibat dengan pelbagai masalah sosial dan keruntuhan akhlak serta kemerosotan disiplin yang begitu membimbangkan.
Dalam pelbagai masalah sosial remaja, banyak kejutan terjadi sehingga menjejaskan masa depan remaja, antaranya masalah bohsia, bohjan, pelacuran, seks bebas serta penyalahgunaan dadah.
Menurut Dr. Maryani Md. Nor dari Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), seks bebas yang boleh diterjemahkan sebagai perhubungan seks tanpa ikatan nikah yang sah kini menjadi isu serius yang melanda remaja masa kini.
Gundik
``Jika seks bebas ditafsirkan sebagai hubungan seks luar nikah, seharusnya hubungan seks dengan lelaki atau wanita atau gundik juga boleh dikategorikan sebagai seks bebas.
``Begitu juga mereka yang telah berumahtangga, tetapi masih melakukan seks dengan wanita atau lelaki lain di luar perkahwinan, tergolong sebagai mereka yang melakukan seks bebas,'' katanya.
Dr. Maryani berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Seks Bebas: Mengenal Pasti Punca perlakuan, pada Konvensyen Memerangi Gejala Sosial Dalam Era Dunia Tanpa Sempadan: Peranan Pemimpin dan Masyarakat anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, baru-baru ini. Maryani berkata, seks bebas di negara ini berlaku sama ada di bandar atau pun di desa.
Katanya, seks bebas di kalangan pelajar sekolah di bandar telah mula dikesan ketika berada di tingkatan satu atau dua.
Ditanya mengapa perkara berkenaan berlaku dalam keadaan masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai keagamaan, beliau berkata, ini semua berpunca daripada gaya hidup tradisi berkeluarga dan bermasyarakat yang berubah kepada gaya hidup moden.
Perubahan ini menyebabkan institusi keluarga atau masyarakat berubah secara beransur-ansur.
``Dalam dunia moden hari ini tidak hairan sekiranya kita melihat terdapat ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak sehingga sanggup memenuhi segala kehendak mereka dan sering pula bertolak ansur dengan anak-anak.
``Adalah tidak menjadi kesalahan memanjakan anak-anak, bagaimanapun perlu diketahui, bahawa kanak-kanak yang dimanjakan keterlaluan akan didapati sukar menyesuaikan dan memahami hasrat ibu bapa,'' katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, perlakuan seks bebas juga berlaku kadang-kadang disebabkan oleh perbuatan ibu bapa sendiri yang secara tidak langsung sanggup mendedahkan anak-anak mereka dengan menonton video lucah bersama-sama.
Mempengaruhi
Selain lambakan video lucah, pengaruh media massa seperti majalah dan maklumat di internet juga perlu dipertanggungjawabkan dalam mempengaruhi tingkah laku anak-anak remaja.
``Perlakuan seks bebas merupakan perbuatan yang diharamkan oleh Islam. Bagi mereka yang tidak dapat menahan keinginan, Islam telah mempunyai saluran lain seperti berkahwin atau berpuasa.
``Ini memandangkan gejala sosial seperti ini selain boleh mendatangkan penyakit dari segi perubatan ia dikhuatiri akan menjadi satu kebiasaan atau ketagihan dalam kehidupan,'' katanya.
Sementara itu Kaunselor Berdaftar di Pusat Khidmat Wanita Lembaga Kebajikan Wanita Islam Malaysia, Datin Halijah Nordin berkata, golongan remaja di seluruh dunia kini semakin ramai yang mengamalkan seks bebas.
Mencapai
Di Amerika Syarikat contohnya dan di negara-negara Barat lain, kajian menunjukkan satu daripada lima remaja melibatkan diri dalam hubungan seks sebelum mereka mencapai umur 15 tahun.
``Beberapa kajian yang dilakukan di negara ini juga menunjukkan 27 peratus daripada remaja kita hari ini mengadakan hubungan seks luar nikah,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Seks Bebas: Kesan Terhadap Aspek Fizikal dan Mental Pelaku pada konvokesyen yang sama.
Halijah berkata, antara sebab-sebab mengapa remaja di negara ini terdorong terlibat dalam hubungan seks bebas ialah akibat permintaan dan `godaan' yang lebih banyak dan kompleks berbanding remaja pada generasi lalu.
Di samping itu, pengaruh daripada rakan sebaya terutamanya di kalangan remaja lelaki juga merupakan faktor penyebab mengapa remaja terdorong melakukan hubungan seks tanpa tahu risikonya.
Dalam pada itu, pengaruh persekitaran yang begitu kondusif turut menggalakkan perlakuan seksual seperti itu. Ia juga juga mendedahkan remaja kepada pelbagai cara kehidupan kompleks yang dipaparkan oleh media massa dan masyarakat.
Kehidupan anak-anak yang terlalu terkongkong atau tidak rapat dengan ibu bapa atau keluarga, boleh menyebabkan anak-anak ingin meneroka sesuatu yang negatif.
Selain itu kurangnya didikan agama juga menjadi punca utama mengapa mereka tidak dapat menahan diri daripada terjebak dalam kancah maksiat seperti ini.
Halijah berkata, antara kesan-kesan mengamalkan seks bebas ialah kehamilan. DI Amerika Syarikat misalnya, lebih kurang 40 peratus daripada remajanya hamil luar nikah.
``Akibat kehamilan luar jangkaan ini ramai remaja perempuan bertindak menggugurkan kandungan mereka yang akhirnya menimbulkan komplikasi kesihatan dan kematian.
``Statistik yang diperoleh oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati 4.4 juta remaja dunia pernah menggugurkan kandungan,'' katanya.
Kelamin
Hubungan seks bebas juga membawa risiko penyakit kelamin. Menurut anggaran WHO, setiap tahun, seorang daripada 20 remaja di dunia dijangkiti penyakit kelamin yang mana daripada sejumlah 333 juta kes baru penyakit kelamin, 111 juta kes berlaku di kalangan mereka yang berusia di bawah 25 tahun.
Perlakuan seks luar nikah juga boleh membawa kepada risiko mental atau psikologikal yang melibatkan tekanan pe-rasaan dan kekecewaan
``Selain kecenderungan cuba membunuh diri, kemurungan, kecelaruan dan tindakan menggugurkan kandungan juga kerap berlaku khususnya di kalangan remaja perempuan.
Mereka yang mengamalkan kehidupan seksual aktif boleh membawa kesan psikologi seperti mengambil minuman keras, tercicir dalam persekolahan, menghadapi masalah disiplin, tidak berakhlak dan sebagainya.
LAKSANAKAN HUDUD !!!!!! [ Posting ini telah di edit oleh: mujahadatunnafsi pada 2004-09-28 13:07 ][ Posting ini telah di edit oleh: mujahadatunnafsi pada 2004-09-28 13:08 ]