Akidah Tunggak Kekuatan

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

http://ukhwah.com:443/ukhwah/



Tarikh: Sabtu, 21 Februari 2004 @ 15:27:05
Topik: Tazkirah



Oleh: Dr. Taufik Wa’I

Takwa merupakan kekuatan, amanah merupakan bekalan, ukhwah merupakan ikatan, hidayah merupakan jalan kebahagian, ketaatan kepada Allah merupakan kemenangan, mengikuti manhaj-Nya merupakan jalan yang lurus, maksiat merupakan celaan dan lemah merupakan kehinaan.

Surat Umar (.a.):
Umar al-Khattab (.a.) telah menulis surat peperangan kepada Saad bin Abi Waqqas (.a.) dengan katanya: “Sebaik-baik persiapan menghadapi musuh dan sehebat-hebat helah dalam peperangan ialah takwa kepada Allah. Oleh itu aku memerintahkan kamu dan tentera yang bersama dengan kamu supaya bertakwa. Aku juga memerintahkan kamu dan mereka yang bersama kamu agar lebih berwaspada dengan maksiat yang kamu semua lakukan daripada musuh-musuh kamu. Sesungguhnya dosa merupakan tentera yang aku takuti lebih daripada musuh. Sesungguhnya kemenangan muslimin adalah di sebabkan maksiat yang dilakukan musuh kepada Allah. Kalau tidak, kita sebenarnya tiada kekuatan. Kerana bilangan kita lebih kecil berbanding bilangan mereka, persenjataan mereka jauh lebih hebat daripada persenjataan kita. Maka jika kita juga berada dalam maksiat kepada Allah, mereka lebih mempunyai kekuatan berbanding kita. Jika kita tidak menundukkan mereka dengan kelebihan kita (akidah) maka kita tidak akan menundukkan mereka dengan kekuatan kita (persenjataan). Ketahuilah sesungguhnya kamu semua berada di jalan yang sentiasa diawasi oleh malaikat Allah yang mengetahui apa yang kamu lakukan, oleh itu malulah dengan mereka. Janganlah sekali-kali kamu melakukan maksiat kepada Allah sedangkan kamu berada di atas jalan-Nya. Dan jangan sekali-kali kamu berkata, jika musuh kita lebih jahat daripada kita mereka tidak akan sekali-kali dapat menewaskan kita. Mintalah bantuan daripada Allah untuk diri-diri kamu sebagaimana kamu meminta kemenangan daripada Allah ke atas musuh-musuh kamu.”


Maharaja China
Sebuah kisah lagi ketika mana Raja Parsi mengutuskan utusan kepada Maharaja China untuk meminta bantuan setelah tentera muslimin berjaya membuka kota Madain. Lalu utusan tersebut menceritakan kepada Maharaja China perihal tentera muslimin yang dapat menundukkan tentera Parsi sedangkan bilangan tentera Parsi jauh lebih ramai berbanding tentera muslimin. Maka berlakulah dailog di antara Maharaja China dengan utusan Raja Parsi.

Maharaja China: Adakah mereka menunaikan janji-janji mereka?

Utusan Parsi: Ya.

Maharaja China: Apakah yang mereka katakan sebelum mereka memerangi kamu?

Utusan Parsi: Mereka menyeru kami memilih satu antara tiga, mengikut agama mereka atau membayar jizyah dan perlindungan atau perang.

Maharaja China: Bagaimana ketaatan mereka kepada ketua mereka?

Utusan Parsi: Mereka taat dengan ketua mereka.

Maharaja China: Apakah yang mereka halalkan dan apakah yang mereka haramkan?

Utusan Parsi: Mereka mengharamkan perkara-perkara yang sesat, buruk, jijik dan segala bentuk kejahatan.

Maharaja China: Adakah mereka menghalalkan apa yang telah mereka haramkan dan mengharamkan apa yang telah mereka halalkan.

Utusan Parsi: Tidak…mereka meyakini syariat mereka adalah kekal selama mana wujudnya langit dan bumi. Mereka berpegang tiada ketaatan kepada hamba dalam perkara yang menyanggah Pencipta.

Maharaja China: Sesungguhnya mereka tidak akan hancur selama-lamanya. Sehinggalah mereka menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Lantas Maharaja China mengutuskan suratnya kepada Raja Parsi dengan katanya: “Sesungguhnya aku tidak keberatan untuk mengutus kepada kamu tentera yang awalnya di Maru (salah satu kota di Parsi) dan akhirnya di China. Tetapi, mereka (tentera muslimin) sebagai mana yang diceritakan oleh utusan kamu. Jikalau mereka ingin merata gunung, pasti mereka akan mampu meratakannya. Jika mereka membentengi jalan (laluan tentera China), mereka akan menhancurkan kami selama mana mereka berakhlak sebagaimana yang diceritakan oleh utusan kamu. Oleh itu menyerahlah kepada mereka dengan cara damai. Janganlah kamu menyerang mereka selama mana mereka tidak menyerang kamu.”

Inilah dia risalah keimanan. Inilah dia umat Islam yang gagah dengan keimanan dan keislaman mereka. Adakah kita sudah mengarap iman, amal dan istiqamah secara serius?