KAYA HATI KAYA YANG HAKIKI

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

http://ukhwah.com:443/ukhwah/



Tarikh: Selasa, 02 November 2010 @ 0:28:52
Topik: Tazkirah



Orang yang kaya hati dikatakan juga kaya roh atau kaya jiwa. Manusia sibuk mencari kekayaan wang ringgit dan harta benda tetapi kurang-berminat untuk mengkayakan hati, roh atau jiwa mereka. Sebenarnya kaya hati ialah kaya yang hakiki. Tidak ada lagi kekayaan yang boleh mengatasi kaya hati. Kalau hati sudah kaya, maka kekayaan akan dirasai di mana-mana dan dalam apa jua keadaan. Orang yang kaya wang ringgit dan harta benda boleh jatuh miskin dan papa kedana bahkan boleh jatuh muflis atau bangkrap. Tetapi orang yang kaya hati akan tetap kaya selama-lamanya.

Bagi orang yang kaya hati, ada harta atau tidak ada harta, ada kekayaan atau tidak ada kekayaan, sama sahaja padanya. Kaya atau miskin tidak menyusahkan hatinya dan tidak menggugat jiwanya. Sama ada dia dipuji atau dikeji, dimuliakan atau dihi na, sama sahaja baginya. Dia tidak merasa bangga dan tidak pula berkecil hati atau cacat hatinya.

Orang yang kaya hati, imannya kuat. Keyakinannya kental. Akhirat adalah matlamatnya. Dengan dunia ini, ada atau tidak ada, sama sahaja baginya,. Bagi orang yang kaya hati, dunia ini suatu yang mudah. Dia merasa cukup dan puas dengan apa yang ada. Banyak atau sedikit serupa sahaja. Orang yang kaya hati merasa cukup dengan Tuhan. Dia merasa kaya dengan Tuhan. Kalau dunia dan harta ada di tangan, dia susah hati kerana ini bererti tanggungjawab yang berat terhadap agama dan masyarakat yang perlu dipikul. Dia takut kalau tanggungjawab itu tidak dapat dilaksanakan. Kalau harta itu dapat diberi kepada orang yang memerlukan dan dapat dikorbankan ke jalan Allah, maka terhibur jiwanya dan lapang dadanya. Kalau ini tidak dapat dilakukan maka susah hatinya. Harta dan dunianya di tangan tetapi tidak di hati. Kalau dunia dan harta tidak dimiliki, senang hatinya kerana tanggungjawabnya ringan.

Dia tenang dengan ujian dan kesusahan. Dia tidak digugat oleh hal-hal dunia yang menimpanya sama ada yang berbentuk nikmat dan kesenangan mahupun yang berbentuk ujian dan kesusahan. Dunianya tidak dapat melalaikannya dari Tuhan dan dari tanggungjawabnya.

Orang yang kaya hati tidak merasa "inferiority complex" atau hina diri ada dengan orang kaya atau raja, orang cerdik pandai, orang yang berkuasa dan sebagainya. Dia memandang semua manusia semuanya setaraf sahaja. Pada dia, martabat manusia diukur mengikut iman dan taqwanya dan bukan dengan ukuran dunia.

Orang yang kaya hati, kalau mereka kaya harta, ramai orang boleh menumpang dan mendapat manfaat dari kekayaannya. Dia tidak merasakan kekayaan itu miliknya dan oleh itu mudah baginya membelanjakannya. Fakir miskin terbela, orang susah dibantu, orang yang memerlukan diberi, dan orang yang berhutang diselesaikan hutangnya. Dia menjadi 'bank' kepada masyarakat.

Benarlah bahawa kaya dan miskin itu istilah semata-mata yang berbeza maksudnya mengikut orang yang menuturkannya. Ada orang merasakan bahawa kaya itu mempunyai banyak harta kekayaan dan miskin itu tidak mempunyai apa-apa. Ada pula yang faham bahawa kaya itu tidak mahu dan tidak memerlukan apa-apa dan miskin itu bermakna memerlukan kepada sesuatu. Allah itu disebut Maha Kaya. Ini bermakna Allah tidak memerlukan kepada sesuatu apa pun. Allah Maha Kaya dari memerlukan sesuatu.

Dengan definisi ini, kalau seseorang manusia itu hatinya sudah tidak terpikat dan tidak mahukan kekayaan dunia ini, maka kayalah dia walaupun dia tidak punyai apa-apa. Tetapi kalau seseorang manusia itu memiliki setengah dunia ini dan dia masih mahukan dan gilakan yang setengah lagi, maka dia tetap miskin kerana dia masih dalam keadaan memerlukan.