Parallel Kehidupan

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

http://ukhwah.com:443/ukhwah/



Tarikh: Khamis, 28 Oktober 2010 @ 10:23:25
Topik: Tazkirah



Bismillahirrahmanirrahim

Firman Allah:

Allah tidak akan merubah nasib (seseorang atau) sesuatu kaum, sehingga kaum (atau orang itu)
berusaha (membuat komitmen) untuk mengubah nasibnya. (Ar-'aad : 11)

Maka jelas dari firman Allah, membuktikan betapa Allah telah memberikan manusia suatu kelebihan iaitu kebebasan bertindak dengan kudrat yang dikurniakanNya supaya manusia dapat menggunakan kudrat ini untuk memperbaiki dan memastikan kehidupan manusia itu sentiasa dalam keadaan yang baik.

Firman Allah ini juga bermaksud, bahawa kita TIDAK boleh menyerahkan segala hal-hal yang berkaitan dengan nasib hidup kita semata-mata kepada Allah untuk memberikan kita kehidupan yang baik. Jika inilah yang kita praktikkan, maka bila kita menemui kesusahan dalam hidup, sudah tentulah kita akan menyalahkan Allah. Sedangkan Allah itu Maha Adil, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Mustahil Allah berlaku kejam kepada hamba-hambaNya yang sangat disayangiNya.

Allah telah menganugerahkan kepada kita suatu 'kuasa eksekutif' sebagai bekal sementara kita hidup didunia ini, untuk menjalankan tugas kita sebagai khalifah dimukabumi dan juga mengabdikan diri padaNya. Hidup yang dianugerahkan pada kita ini adalah kehidupan yang "FREE WILL". bukan dikontrol atau dikawal mutlak oleh Allah. Jika kita menganggap segalanya sudah ditentukan atau sudah ditakdirkan, mengapa pula Allah berfirman seperti diatas?

Mengapa pula ada kitab catatan malaikat Kiraman dan Katibin dikiri kanan kita?
Ramai yang sudah tersalah anggap tentang konsep takdir ini.

Lauh Mahfuz
Hakikatnya, segala apa jua yang kita fahami sebagai takdir, ketentuan, nasib dan sebagainya di seluruh alam semesta ini, memang telah diberikan ketentuan oleh Allah S.W.T dan segalanya tercatat (direkodkan)dan disimpan disebuah tempat yang kita ketahui dengan nama Lauh Mahfuz.

Firman Allah:
" Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia-lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab ( Lauh Mahfuz ) yang terang nyata." (Al-An'aam :59)

Lauh Mahfuz ini termasuk dalam perkara ghaib. Al-Qur'an menerangkannya hanya sekali sahaja dalam ayat 21-22 surah al-Burooj. Maksud ayat, "Bahkan yang didustakan mereka itu ialah al-Qur’an yang mulia; yang tersimpan dalam Lauhul Mahfudz."

Imam Abul Fida' Ismail ibn Kathir (Tafsir Ibn Kathir) meriwayatkan beberapa keterangan daripada sahabat tentang Lauh Mahfuz, antaranya :

1. Daripada Hasan al-Basri: “Pada sisi Allah, terletak Lauh Mahfudz, dari situlah diturunkan daripadaNya kehendakNya terhadap siapa yang dikehendaki daripadaNya.”

2. Daripada Ibn Abi Hatim, "Tiada sesuatu yang ditentukan oleh Allah melainkan ditentukan terlebih dahulu dalam Lauh Mahfudz baik al-Qur'an, apa yang sebelumnya atau yang sesudahnya."

Hakikat Lauh Mahfuz yang sebenarnya ialah untuk menggambarkan ilmu Allah iaitu Allah tahu segala-galanya hatta perkara yang belum berlaku. Mengetahui bukan bermakna meletakkan ketentuan mutlak yang tidak boleh diubah-ubah lagi, sesuai dengan firmanNya dibawah:

Allah menghapus dan menetapkan apa yang Dia kehendaki. Dan di sisi-Nya terdapat Ummul Kitab (Lauh Mahfuz). (Ar-Raad : 39)

Sabda Rasulullah SAW:
"TIDAK ADA YANG DAPAT MENOLAK KETENTUAN TUHAN KECUALI DOA, dan tidaklah yang menambah umur kecuali berbuat kebajikan. Dan seorang laki-laki akan diharamkan baginya rezeki karena dosa yang diperbuatnya."

Hadis yang ini sudah nyata melarang kita hanya menyerah saja kepada takdir yang kita sendiri belum tahu rahsianya.

Sekarang, saya ingin mengajak anda semua berbincang dengan lebih radikal atau dengan lebih bebas lagi tentang hakikat Takdir yang telah ditentukan, dan dicatat (direkod) di dalam Ummul Kitab yang tersimpan di Lauh Mahfuz, supaya lebih mudah kita fahami tentang hakikat yang sebenar akan takdir didalam parellel kehidupan manusia.

Takdir adalah Basic Program

Apa yang telah kita fahami dari penjelasan pada Surah Al-An'am ayat 59 tadi ialah, setiap manusia, apabila diciptakan Allah, telah ada ketentuan takdir yang dikhaskan untuk manusia itu, dan segalanya telah direkodkan didalam 'Ummul Kitab' yang tersimpan di Lauh Mahfuz. Ketentuan takdir ini adalah merangkumi segalanya iaitu Rezekinya, Jodohnya, Ajalnya, Kelahirannya dan segala-galanya tentang seseorang itu.

Marilah kita buka minda kita seluas-luasnya, dan melihat serta memahami keterangan ayat-ayat Allah dengan pandangan dari sudut berbentuk Sains. Saya melihat bahawa Ummul Kitab adalah merupakan tempat penyimpanan data untuk program setiap makhluk terutamanya manusia.

Apabila seseorang manusia dicipta, dia memerlukan program yang khas untuk membolehkan dia hidup nyata di bumi yang fana ini . Tanpa program, kita tidak akan berupaya untuk hidup (Program needed to run into the system). Apa yang saya maksudkan ialah, setiap program (takdir) ini, sangat detail dan terperinci untuk membolehkan kita menjalani kehidupan.

Adapun berkenaan data yang direkodkan ini, Allah s.w.t menyatakan pelaksanaan terhadap sesuatu ketentuan (program) yang telah ditetapkan semenjak azali sebagai al-Qada’ dalam ayat ini

Firman Allah s.w.t:

وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “dan Allah jua yang menciptakan kamu dan (mencipta)apa yang kamu lakukan” .

Dan juga berdasarkan sabda Nabi s.a.w:

“كتب الله مقادير الخلائق قبل أن يخلق السموات والأرض بخمسين ألف سنة وعرشه على الماء”

Maksudnya: “Allah s.w.t telah menulis takdir makhluk sebelum Dia mencipta langit-langit dan bumi dalam jarak 50 ribu tahun dan Arasy-Nya berada di atas air”.


Wallahuaklam,
Aku mohon keampunan dan petunjukMu ya Allah andainya aku melakukan kesilapan dalam penulisan ku ini. Aku hanya melakukan satu perbincangan bebas bertujuan supaya mendapat kefahaman yang lebih benar tentang KeadilanMu dan juga kebebasan berikhtiar yang Kau kurniakan pada hamba-hambaMu.

Artikel susunan: taalidi