MULUS CARIAN AL-QADR

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

http://ukhwah.com:443/ukhwah/



Tarikh: Khamis, 18 September 2008 @ 15:11:31
Topik: Karya



MULUS CARIAN AL-QADR

Kita carikkan selimut dengkur

Yang sering berjahit mimpi

Bangkit mencari mulus rahsia

Meneroka ujana Ramadhan

Bakal kita kucup haruman fadilat

Dalam kuntum hikmahnya

Kita meraut bilah-bilah nafsu

Dengan lembut benturan Ramadhan

Menghitung butiran tasbih dalam bening iktikaf

Menakung air mata dalam bening sesalan khilaf

Subuh begini

Kita bersaksikan langit bercahaya

Menyuluh laluan Malaikat

Naik turun menabur rahmat

Membawa amalan ke tangan Tuhan



Kita cari al-Qadr dalam rahsia Tuhan

Moga ketemu panglima segala malam

Di penghujung witir, di lendit pengharapan.