Nota Kecil di Hujung Isyak

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

http://ukhwah.com:443/ukhwah/



Tarikh: Sabtu, 12 Januari 2008 @ 8:15:31
Topik: Karya



Dalam sebaris jemari yang kususun di hujung isyak
ada wudhu’ yang menakung khusyuk
saat kubaca seraut peribadi
dengan serangkap bahasa walang
dan cinta samawi yang sekian lama tergalang

Aku adalah kerdil munajat yang tempang
punya dada berdarah
dan hati yang tertarah.
Pimpinlah aku berjalan di langit syahadah
mencari rumah-Mu yang menghimpun barakah
tempat berteduh seisi jagat
paling indah
paling merahsiakan kejadian.

Saat kutuliskan serangkap hasrat
di sekeping nota munajat yang terkoyak, alangkah
antara hayat dan barzakh
adalah musafir rahsia paling singkat
menuju jalan tak beralamat
di kerajaan akhirat yang telalu, terlalu mendekat.

Rabb,
izinkan aku bermendung dari panas duniawi
di bawah teduh langit rahim-Mu

Fahd Razy
8 Mac 2006
Dublin, Ireland
(Tunas Cipta Julai 2006)
http://fahdrazy2.blogspot.com