Mencari Cinta Hakiki

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

http://ukhwah.com:443/ukhwah/



Tarikh: Jumaat, 21 April 2006 @ 11:13:01
Topik: Kenangan



Sahabatku...
Hatiku bagai mendesakku menghantar marsum maya ini kepadamu. Sudah begitu lama kita tidak bertemu. Ingin sekali saya kongsi bersamamu pengalaman pahit dan manis sejak kita berpisah dahulu.

Segala pesanan yang kau sampaikan kepadaku masih tersemat kemas dalam memori ingatanku moga tidak saya lakukan kesilapan yang pasti akan menimpakan kesulitan ke atas diriku, Taqi. Saya masih merindui memori suka duka kau dan saya serta rakan-rakan lain bersama-sama meningkatkan diri di KIZAS dengan ilmu pengetahuan dalam suasana penuh harmoni dan islamik. Kau tahu saya sekarang berada dalam Program Latihan Khidmat Negara dan sekarang saya terpaksa menerima kenyataan bahawa dunia di luar jauh berbeza. Jauh di sudut hatiku sedih melihat dan merenung segala macam keanehan dan kepelikan yang dilakukan oleh remaja islam.
    
Setiap jiwa yang dilahirkan telah tertanam dengan benih untuk mencapai keunggulan hidup. Tetapi benih itu tidak akan tumbuh seandainya tidak dibajai dengan iman dan taqwa. Agama menjadi sendi hidup, pengaruh menjadi penjaganya. Kalau tidak bersendi runtuhlah hidup dan kalau tidak berpenjaga, binasalah hayat. Orang yang terhormat itu kehormatannya sendiri melarangnya berbuat jahat.
    
Saya mengutusi warkah maya ini dari Kem Seri Gagah. Sudah hampir enam minggu saya menjalani latihan di sini untuk membina jati diri dan keyakinanku semula. Tetapi apa yang saya kesalkan masih terdapat ramai remaja yang tidak mahu berubah atau dengan kata lain terlalu ego dengan segala yang mereka punyai. Budaya merendahkan maruah orang lain masih wujud lagi walaupun berpuluh modul yang melibatkan kerjasama berpasukan didedahkan. Entah mereka dapat menerima segala objektif mahupun matlamat setiap latihan yang dijalankan ataupun tidak.

Adakah mungkin segala perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan untuk program ini disia-siakan? Bukannya sedikit wang ringgit dibelanjakan untuk program ini, malah berjuta ringgit. Saya tidak ingin menyalahkan pihak pengurusan tetapi saya berasa amat kecewa dengan sikap pelatih-pelatihnya yang tidak menggunakan peluang yang terbuka luas sebaik-baiknya.

Sahabatku, hidup tanpa pegangan ibarat buih-buih sabun, bila-bila masa ia akan pecah. Barangsiapa yang hari ini sama dengan kelmarin, maka tertipulah dia, dan barangsiapa hari ini lebih jahat dari kelmarin, maka terkutuklah dia. Seringkali saya terlihat dan terjumpa pelatih merokok walaupun sudah dilarang tegas dengan amaran akan didenda. Bukan seorang dua saya jumpa bahkan lebih daripada 10 orang pelatih setiap kali terserempak di dalam tandas dan saya juga tahu pada masa bila mereka memulakan aktiviti tersebut. Cuma saya masih menunggu masa untuk melaporkannya kepada jurulatih yang bertanggungjawab dalam hal ini.

“Mesti kau yang menjadi tali barut, sampai ke tandas cikgu Azis tu cari.” saya pula yang dituduh atas kesalahan yang mereka sendiri lakukan walhal cikgu Azis, ketua jurulatih fizikal, pada waktu itu ingin memantau siapa yang tidak menjalankan tugasan membersihkan bilik dan tandas. Malah saya tidak menyangka bagaimana seorang jurulatih kenegaraan juga seperti menggalakkan budaya merokok di dalam kem. Kata-katanya pada suatu hari ternyata membangkitkan rasa marahku. “Kamu tidak perlu rasa malu dengan cikgu. Kalau kamu hisap rokok katakan saja. Ramai kawan-kawan di bilik kamu mengaku merokok dan cikgu boleh tolong rahsiakan perkara ini daripada pihak pentadbir.”

Bagaimana pelatih hendak dididik supaya berdisiplin jika jurulatihnya juga terlibat dalam menyemai pelatih ke arah lebih melanggar peraturan yang telah ditetapkan? Ingatlah, kekuatan itu tidak terbina di atas bilangan yang ramai, tetapi kekuatan itu terbina atas keyakinan dan optimis seseorang dan keserasian berkumpulan. Mengapa manusia gemar mencetuskan pertelingkahan sedangkan manusia itu sendiri dilahirkan daripada sebuah kemesraan.
    
Saya juga telah merasakan ura-ura kehidupan berpuak-puak semakin jelas cuba diwujudkan oleh pelatih-pelatih di sini. Dalam pelatih-pelatih berbangsa Melayu sendiri telah berpecah kepada tiga bahagian mengikut pemerhatianku, saya terpinga. Kata mereka ingin menjadi pemuda harapan bangsa, berjiwa kental, berani, dan hidup bersatu padu. Tetapi apa yang saya lihat hanyalah bangsa Melayu yang mandom, malas, lemah, serta hidup berpecah-belah.

Jiwaku semakin luluh apabila melihat remaja Islam tidak menunaikan kewajipan solat terutama pada waktu subuh dan keadaan lebih teruk pada hari minggu. Mereka lebih rela memperhambakan diri kepada nafsu yang mengheret mereka ke dalam kesesatan yang nyata. Tidakkah mereka mengambil iktibar daripada sejarah yang lalu? Sejarah kejatuhan Melaka ke tangan Portugis. Kekalahan yang berpunca daripada kealpaan umat Islam yang meninggalkan kepentingan agama Islam.

Tiadalah yang menjatuhkan saya ke dalam bencana melainkan berteman dengan orang yang saya tidak malu kepadanya. (Imam Ahmad Bin Hambal) Di sini juga kulihat keruntuhan akhlak remaja yang hanyut dalam kepalsuan percintaan. Acap kali saya lihat dengan mataku sendiri sepasang remaja berdua-duaan dan yang lebih teruk ialah pada malam hari minggu. Seakan ada pesta sosial apabila melihat begitu banyak pasangan kekasih yang kelihatan seperti sedang bergebang mesra.

Perhubungan lelaki dan perempuan yang di luar batasan agama. Lebih menyedihkan lagi ia dilakukan oleh sebilangan besar pelatih Melayu sehingga jurulatih tidak cukup tangan untuk menanganinya.
Apabila dinasihati dengan cara terbaik, mereka seakan menurutinya. Tetapi di belakang mereka mengata yang bukan-bukan. “Cikgu bukannya ada hak untuk menghalang saya. Islam sendiri tidak mengatakan bahawa cinta itu haram.” Memang islam tidak menghalang insan bercinta tetapi mestilah berlandaskan hukum dan syariat agama yang telah ditetapkan. Setiap mata yang tertutup belum bererti ia tidur. Setiap mata yang terbuka belum bererti ia melihat.

Namun di sebalik semua itu terdapat peristiwa ganjil yang berlaku kepada diriku sendiri. Ia bermula pada suatu pagi yang dingin. Saya terjaga awal daripada tidur iaitu seawal pukul 4:30 pagi. Semacam ada suatu kuasa mengejutkanku pada waktu itu. Mata terasa ingin dilelapkan semula tetapi saya rasakan ada satu kelainan pada pagi itu. Kedengaran sayup-sayup suara orang mengaji dan diselang-selikan dengan zikir. Hairan. Suara yang saya dengar bukannya suara seorang lelaki tetapi ia lebih mirip kepada perempuan! Sedangkan asrama perempuan lebih kurang 200 meter daripada bilikku! Lalu saya mengamati alunan suara itu dari atas katilku. Saya perhatikan pelatih-pelatih lain masih lena dibuai mimpi. Saya tidak dapat menafsirkan peristiwa yang berlaku pagi itu bahkan saya semakin tertarik dengan suara itu. Merdu.
    
Selepas selesai senaman pagi, saya berbaring di atas katil. Memikirkan kembali peristiwa pada awal pagi itu. Mungkin ada hikmah bagi diriku. Saya cepat-cepat bersiap pada pagi itu kerana ada pembahagian kelas kepada pelatih-pelatih. Kebanyakkan pelatih merancang strategi supaya ditempatkan di kelas yang sama dengan rakan sekepala dengan mereka. Saya juga tidak terkecuali daripada berbuat demikian.

Jangan engkau bersahabat dengan sahabat yang mana dia begitu berharap kepada engkau ketika mahu menyelesaikan masalahnya sahaja sedangkan apabila masalah atau hajatnya telah selesai maka dia memutuskan kemanisan persahabatan. Bersahabatlah dengan mereka yang mempunyai ketinggian dalam melakukan kebaikan, memenuhi janji dalam perkara yang benar, memberi pertolongan kepada engkau serta memadai dengan amanahnya atau sikap bertanggungjawabnya terhadap engkau. (Khalifah Umar bin Abdul Aziz)
    
Saya bersama rakan baruku, Aizuddin, ditempatkan di kelas Cekap. Saya semakin merasakan suatu perasaan yang saya sendiri tidak dapat tafsirkan semakin kuat bermain di benak jiwaku sebaik melangkahkan kakiku ke kelas tersebut. Entah mengapa saya memerhatikan pelatih di sekelilingku. Terlalu asing. Kebanyakkan pelatih di kelas itu berasal dari Negeri Terengganu. Agak mudah untuk saya mendekati mereka kerana saya juga pernah menetap di Terengganu sewaktu saya kecil. Saya mengenali jiwa mereka yang mudah mesra dan saya juga tahu cara mengawal api kemarahan mereka seandainya mula membara.

Seperti hari-hari lain, satu lagi modul baru lagi bertajuk ‘Saya Kaya’ dijalankan di kelasku. Para pelatih diminta melakukan aktiviti itu di luar kelas. Setiap pelatih diarahkan mengutip daun-daun kering di sekitar kem termasuklah saya. Tiba-tiba gegendang telingaku terusik dek satu suara menyebut kalimah-kalimah suci memuji Allah. “Subhanallah”, “Alhamdulillah” dan “Allahuakbar”. Saya tertarik dengan suara itu. Seakan pernah saya dengar suara itu. Ya! Suara yang mengejutkanku pada pagi minggu yang lepas. Saya cuba mengecam wajah perempuan yang melafazkannya. Rupa-rupanya dia juga daripada kelas yang sama denganku, Nurul.
    
Jangan tertarik kepada seseorang kerana parasnya, sebab keelokan paras dapat menyesatkan. Jangan pula tertarik kepada kekayaannya kerana kekayaan dapat musnah. Tertariklah kepada seseorang yang dapat membuatmu tersenyum, kerana hanya senyum yang dapat membuat hari-hari yang gelap menjadi cerah.
Hari-hariku yang seterusnya menjadi resah. Debar hatiku membisik rindu. Rindu kepada suara yang selama ini menghantui mindaku. Nurul membuka mata hatiku untuk mencintai sinar keimanan.

Saya nampak sinar keikhlasan di matanya. Gadis bertudung labuh ini benar-benar membangkitkan semangatku semula bahawa masih ada perempuan yang mempertahankan kehormatan dan maruah diri seperti ini. Keayuan yang tergambar di wajahnya bagaikan lukisan nur iman. Bersulamkan keindahan santun perkataan yang melembutkan jiwa amarahku. Sungguh, saya terpesona dengan kelembutan suara yang sering memuji Tuhan Yang Maha Esa. Setiap peristiwa yang berlaku kepada diriku kucatatkan ke dalam buku notaku. Segala resah yang bermain di jiwa dan mindaku juga tercatat rapi.

Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah.     Pada suatu malam semasa rakan-rakan sekelasku membuat persiapan untuk persembahan majlis perpisahan kelas kenegaraan, Nurul datang kepadaku sambil ditemankan seorang rakannya. Saya tergamam. Lidahku menjadi kelu. Kau sendiri tahu yang saya tidak biasa bercakap dengan perempuan. Mindaku mula jadi celaru dan saya serasa gemuruh menanti kalimah yang bakal keluar dari mulutnya.
+    Azree, saya ada sedikit perkara penting nak cakap dengan awak.
-    Apa halnya?
+    Pagi tadi saya terbaca buku tulis awak. Jadi saya nak minta maaf sebab tak minta izin awak dulu. Bolehkan?

Nurul memandang tepat pada wajahku sambil mengukirkan senyuman. Saya tidak mampu berkata apa-apa. Terlalu banyak perkara saya tulis dalam buku itu yang hampir semua berkaitan dengan dirinya cuma saya tidak menulis namanya sahaja.
-    Ermm... Tak mengapa.
+    Siapa perempuan dalam buku itu?
-    Errr... Tak ada sesiapa. Cuma mainan imaginasi saya sahaja. Anggaplah dia sebagai seorang perempuan yang menjadi impian saya.
+    Ooo... Tak apalah. Cuma saya berharap lelaki cina dalam catatan awak itu jadi masuk Islam.

Sebenarnya ada seorang lelaki berbangsa Cina yang menyatakan hasratnya kepadaku bahawa dia tertarik dengan Islam. Andai kau ada di sini, Taqi, tentunya kau juga berasa malu melihat remaja Islam tidak menuruti ajaran agama Islam tetapi terdapat pula seorang beragama Buddha yang kagum dengan keindahan agama Islam dan berminat untuk mempelajari sesuatu tentang Islam.

Malam itu menjadi titik-titik permulaan bagi diriku. Bagiku bukan mudah untuk mencari wanita sepertinya. Perlukah saya memberitahu dia hal yang sebenarnya? Masihkah ada peluang untukku bertemu sekali lagi dengannya membisik kata rindu. Saya kini bernafas dalam rongga iman dan kesyumulan Islam.

“Inikah ertinya cinta. Hadir tanpa dipinta. Hati ingin menerima tapi dibatasi cita. Sinar wajahnya bercahaya membuat diriku terpesona. Namun saya masih mencari cinta Yang Maha Esa. Oh Tuhanku. saya mendamba cinta dan rahmat dari-Mu. Ku pohon cinta insan yang mencintai-Mu. Bimbinglah daku mengenali cinta suci. Moga dapatku kecapi kasih yang sejati...” (Inikah Ertinya Cinta, Saujana)


Sahabatmu,
Noor Azree