Ya Zaujilkarim

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

http://ukhwah.com:443/ukhwah/



Tarikh: Khamis, 08 Disember 2005 @ 10:17:14
Topik: Kenangan



Assalamualaikum Ya Zaujilkarim, Jalaluddin Sayuti, Ana ambil peluang ini untuk mengingati dan terus mengingati anta sebagai seorang lelaki yang pernah memahami dan selalu cuba untuk mengerti hati ini. Hari ini genap setahun pemergian anta ke Rahmatullah. Ana tak tahu lagi dalam usia semuda ini, masih mampukah ana untuk terus setia pada anta.

Zauji,
Anta tak pernah minta untuk ana terus setia pada anta. Bahkan, anta mungkin mengharapkan ana segera mencari pengganti untuk menjaga dan membimbing kami. Namun, apalah yang mampu ana katakan. Hati ini tidak ada langsung kuncinya setelah anta pergi. Biar seribu lelaki kacak dibariskan di depan ana, ketenangan wajah anta tetap terus menyelubungi benak serebrum ana. Ana tak mampu untuk melupakan anta. Cukup untuk ana katakan, ana lebih redha menerima ujian Allah ini dengan semangat dan kasih sayang yang anta tinggalkan.

Aiman, anak yang anta tinggalkan tanpa pernah melihat wajahnya semakin membesar, abang. Hari ini dia mula belajar menyebut Ummi. Ana akan terus mengajarnya lagi. Biar dia terus-terusan dapat menyebut kalimah-kalimah Allah. Kalau anta ada untuk dia terus belajar menyebut kalimah Abi, tentulah lebih baik. Wajahnya lebih iras wajah anta. Mungkin kerana dia lelaki atau mungkin kerana ana yang terlalu merindui anta. Ana pasti suatu hari nanti Aiman pasti akan dating kepada ana bertanyakan itu dan ini tentang abinya. Analah orang yang paling bangga menjawab, “Abimu syahid di medan jihad. Abimu pemanah hebat.”

Zauji,
Saat ana anta tinggalkan dalam keadaan sarat mengandungkan Aiman, Allah sahaja yang tahu bagaimana rasanya ana waktu itu. rasa luluh jantung ini melihat jasad anta dikafan dan diarak ke perkuburan. rasa longlai lutut ini. Mengenangkan Aiman yang akan lahir tanpa Abinya mengazankannya. Saat menyaksikan dia dibelai oleh lelaki yang bukan Abinya. Air mata ini rasanya murah benar. Aiman masih kecil untuk mengenali dan belajar erti kedewasaan dan kehilangan. Suatu hari nanti ana akan ajarkannya, menjadi lelaki yang tenang seperti abinya, biar diprovok musuh, namun kerut dahinya tidak sekali menunjukkan kegentaran hatinya. Ana akan mengajarkannya, solat malam itu besar fadhilatnya, Abi begitu setia dengan solat malamnya, biar siangnya dia penat berjihad.

Melihat dan merenung tanda-tanda kiamat yang semakin lama semakin jelas, ana jadi gusar. Gusar Aiman akan termakan dengan fitnah Dajjal, risau dia membesar menjadi remaja yang tidak langsung mahu sujud pada kebesaran Allah seperti mana ibu bapanya. Bagaimana harus ana tangani kerisauan ini sendirian. Kita merancang. Rancangan kita hebat. Mahu biarkan Aiman membesar dalam iman. Mahu Aiman membesar dalam Islam. Mahu Aiman membesar dalam kasih sayang yang tak pernah kurang. Namun, rancangan Allah lebih hebat. Kita tidak mampu melihat Aiman membesar bersama-sama. Ana seorang sahajalah yang akan membesarkannya. Dengan sisa kasih sayang yang anta tinggalkan. Dengan cinta yang anta selalu suburkan.

Zauji,
Doa ana tidak pernah kering. Supaya anta terus bahagia sebahagia Syed Qutb meninggalkan dunia. Sebahagia para syuhada’ yang lain. Sebahagia bersama Rasulullah. Doa ana tidak akan sekali-kali terhenti selagi nafas ini ana hela. Selagi ana masih diberi nikmat nyawa. Ana akan terus mengirimkan doa-doa buat anta. Ana akan ajarkan Aiman supaya terus menghantar doa buat bekalan anta. Doa anak yang soleh yang ana harapkan, bukan? Doa Aiman dan ana akan terus mengiringi anta. Selagi kami hidup.

Aiman sudah mula merengek-rengek. Mungkin dia lapar. Kalaulah anta ada untuk melihat saat Aiman membesar dan bertatih saat ini. Ana mungkin perlu pergi sekarang. Yang hidup, perlu teruskan hidup. Pesan anta itu tidak akan ana lupakan. Syukran, ya zauji. Kerana menjadi suami yang baik. Kerana menjadi suami yang memahami. Kerana selalu cuba untuk mengerti. Syukran…