Kasihnya Adik

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

http://ukhwah.com:443/ukhwah/



Tarikh: Rabu, 21 September 2005 @ 19:56:13
Topik: Karya



Saya cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada saya.

Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi
keperluan anak gadis ketika itu. saya ambil 50 sen dari poket seluar
ayah. Petang itu, pulang saja dari sekolah - ayah memanggil kami berdua.
Dia meminta saya dan adik berdiri di tepi dinding. saya menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.

"Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar. saya langsung tidak
berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu,cuma
tunduk memandang lantai.


"Baik,kalau tak mengaku,dua-dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat
tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang saya. Tiba-tiba, adik
menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata,
"Saya yang ambil!"

Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu,
hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. saya gamam,lidah
kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik
tak tumpah. Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah
merungut:



"Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi
perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?" Malam itu, emak
dan saya tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat
dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis
pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.

Melihat keadaan itu. saya meraung sekuat hati, kesal dengan sikap saya yang
takut berkata benar. Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua
belah tangannya lalu berkata,"Jangan menangis kak,semuanya dah berlalu!"



saya mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik. Tahun bersilih
ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan saya bagaikan baru
semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh
dan saya pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.
Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di
ruang tamu. saya terdengar ayah berkata, "Zah, kedua-dua anak kita
cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!"



"Tapi apalah maknanya bang...!" saya terdengar ibu teresak-esak. "Dimana
kita nak cari duit membiayai mereka?" Ketika itulah adik keluar dari
biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu. "Ayah,saya tak mahu ke sekolah
lagi!"



Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung
wajah emak,kemudian wajah adik dalam-dalam. Panggggg....sebuah penampar
singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu saya lakukan ialah menutup
muka dan menangis.



"Kenapa kamu ni?Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan
kamu, ayah akan lakukan!" "Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak,
dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan," saya
memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.

"Kakak perempuan...biarlah kakak yang berhenti." Tiada siapa yang
menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya
beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia
lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat.....

"Kak...untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari
kerja dan akan kirim wang buat akak."
Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia
cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk
ayah.



Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa: "Ada
pemuda kampung tunggu kau kat luar!" "Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?"
Tergesa-gesa saya keluar bilik. Dari jauh saya nampak adik berdiri
dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. "Kenapa sebut
orang kampung, sebutlah adik yang datang!"



Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni.Apa yang
akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?" Jantungku
terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. saya cukup tersentuh.
Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. saya kibas-kibas bebutir pasir
dan tompokan simen pada pakaian adik.

Dalam suara antara dengar dan tidak. saya bersuara, "Akak tak peduli apa
orang lain kata." Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut
berbentuk kupu-kupu.Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, "Kak,
saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak."
saya kaku. Sepatah kata pun tak terucap. saya rangkul adik dan dadanya
dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.



Tamat semester. saya pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. saya
lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu. "Emak,tak
payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik."

"Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya
luka-luka."
saya menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan. "Sakit ke?"
saya bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya. "Tak....Kak tahu,
semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh
seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa
tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras.


" Apalagi...saya menangis seperti selalu. saya berkahwin pada usia menginjak
27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.


"Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik.
"Adik tak ada pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik
ada."
"Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kata ku memujuk.
"Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan
kesedihannya.

Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah
tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung,
juruacara majlis bertanya, "Siapakah orang yang paling anda sayangi?"
Spontan adik menjawab,

"Selain emak, kakak saya...."katanya lantas menceritakan suatu kisah yang
langsung tidak ku ingati.
"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke
sekolah.Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai
kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada
saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat
kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar."

"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa
saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya
sampai bila-bila." Sebaik adik tamat bercerita. saya meluru ke pelamin,
mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria