Array
Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 28-11-2021  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
Jika kita berasa diri kita tinggi, pandanglah ke atas; jika kita berasa diri kita rendah, pandanglah ke bawah
-- Kang

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 58
Ahli: 0
Jumlah: 58




  Yang Masuk Ke Sini
Muslim1987: 1 hari, 17 jam, 32 minit yang lalu

Semanis iman di venice
 Posted on Selasa, 02 November 2010 @ 0:26:39oleh Hanan
Karya tengku_anis menulis rasa sakit hati dan dendam Joshua pada gadis itu makin menggunung. Kes yang berlaku siang tadi, entah yang kali ke berapa yang terjadi sejak kehadiran gadis itu ke sekolahnya, setahun yang lepas.
     Sekolahnya memang terkenal sebagai sekolah elit yang hanya sesuai untuk golongan berada. Kebanyakkan pelajar merupakan anak para Tan Sri, duta-duta ataupun usahawan-usahawan yang berjaya. Semuanya hidup dengan gaya hidup yang bebas dan sosial. Di sana-sini, pelajar lelaki dan perempuan saling bersentuhan dan berpegangan tangan. Walaupun majoriti pelajar merupakan penganut agama Islam namun soal keagamaan memang goyah di sekolahnya. Ustad dan ustazah ditonton janggal. Kehadiran mereka dianggap hanya ‘memenuhi keperluan’ dan tidak lebih dari itu.

Namun, itu dulu. Suasana sekarang telah berubah. Semenjak kehadiran gadis itu, Joshua sering kali rimas berada di sekolah itu. Seakan, sentiasa ada mata yang melihat segala tingkah lakunya. Gadis itu mempunyai pengikut yang semakin bertambah dari hari ke hari. Bahkan, Juita meminta putus darinya dulu pun semata-mata kerana terpengaruh dengan ajaran yang dibawa gadis itu. Langsung Juita berubah.
         Kesannya, maruah dan harga diri Joshua seakan diperlekehkan. Hanya semua ini terjadi kerana gadis itu. Gadis bertudung litup dengan sari wajah yang cukup jernih. Dulu kehadiran gadis itu langsung tidak dipedulikan. Sebelum ini bukannya tiada pelajar dari sekolah agama yang bertukar ke sekolahnya tapi akhirnya, semua akan berubah. Terpengaruh dengan gaya hidup yang terpapar.
         Jika dulu bertudung litup, kini berskirt pendek dan berbaju sendat. Ah, memang itu bukan perkara asing bagi Joshua! Namun, gadis itu lain. Begitu tegas pendirian. Langsung tidak terjejas bahkan orang lain pula terpengaruh. Gadis itu berdakwah secara halus. Mendekati pelajar yang bermasalah dan cuba memujuk dari segi ilmu agama. Akhirnya, semakin ramai yang berubah. Pelajar perempuan tidak lagi seseksi dulu. yang bertudung litup penuh semakin bertambah. Yang lelaki juga tidak kurang hebatnya.
            Surau semakin diimarahkan. Malam-malam akan kedengaran suara-suara lunak mengaji, diajari oleh gadis itu. Ustad atau ustazah luar dijemput bagi memberi ceramah. Pagi subuh, Joshua terpaksa bangun awal. Tidurnya tidak nyenyak akibat azan subuh yang berkumandang. Joshua benar-benar tertekan dengan keadaan ini!
         Kini yang tinggal, kawan-kawan yang bukan beragama Islam, yang masih setia dalam kelompok Joshua. Namun, yang Islam masih ramai tidak insaf. Yang kalut dan tenggelam dengan noda. Mereka-mereka inilah yang Joshua hasut agar menentang gadis itu. Sudah pelbagai rancangan yang Joshua aturkan untuk mengenakan gadis itu namun tiada satu yang berjaya. Cuma kali ini, idea lebih bernas timbul dari Shaheed, anak duta India yang sekepala dengannya. Satu idea untuk menumpaskan gadis itu!


    Satu-persatu pelajar datang kepadanya dan mengucapkan terima kasih. Akhirnya, surau kosong dan yang tinggal hanya dia dan Aleeyah melipat sejadah dan menyusun Al-Quran di rak yang disediakan. Sambil melipat sejadah, fikirannya mengelamun mengingatkan peristiwa petang tadi.
        Dia tahu, ada pelajar yang tidak menyenangi dengan tindak-tanduknya di sekolah itu. Dia bukanlah wara’, cuma mendapat sedikit ilmu agama yang lebih sepanjang dia bersekolah di Sekolah Sheikh Abdul Malek, Terengganu dulu. Sayangnya pada sekolah itu tidak berbelah bahagi. Dengan keputusan 9A dan muncul sebagai pelajar terbaik di Terengganu, dia memang dikira hebat.
         Namun, niatnya setelah itu ingin melanjutkan pelajaran ke Ma’hati Tahfiz. Menyertai hafizah-hafizah, mencari ilmu akhirat dengan lebih mendalam. Namun, Ibu bapanya menghalang. Bukan kerana tidak suka namun kerana ingin membuka matanya tentang dunia dengan lebih luas.
         Nasihat ayahnya masih diingati agar menjadi manusia berjaya. Berjaya mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat. Ayahnya mengharapkan dia menjadi golongan professional yang berteraskan Islam. Buktikan pada dunia yang umat Islam yang menurut segala ajaran Islam pasti berjaya. Yang tidak berjaya hanya kerana tidak menuruti ajaran Islam sepenuhnya. Ikutilah jejak langkah Ibnu Sina, Ibnu Batutta, Al-khawarizmi, ataupun Sultan Muhammad Al-Fatih. Mereka antara tokoh Islam berjaya. Punya Iman dan ilmu Sains dan akal logik yang seiring sama.
            Mendengar itu, dadanya sebak. Teringatkan penderitaan umat Islam sejagat. Ditindas oleh kafir dan paling teruk Yahudi laknatullah. Sejak itu dia berazam untuk menjadi insan yang seperti ayahnya gambarkan. Dia mahu kembali menjulang nama Islam. Sama seperti dulu.
         Sepintas dia teringatkan Joshua. Lelaki yang tidak punya apa-apa agama. Atheist barangkali. Petang tadi dia berjaya mengalahkan lelaki itu untuk debat tentang agama yang dianjurkan oleh cikgu sejarah mereka. Kebetulan mereka sedang belajar topik agama-agama di dunia. Kelihatan lelaki itu berang dengan kekalahannya petang tadi.
         Dia tahu lelaki itu tidak senang dengan kehadirannya. Sebelum dia hadir ke sekolah itu dulu, dia tahu Joshua merupakan pelajara terbaik di sekolah tapi kini gelaran itu telah dirampasnya. Masakan lelaki itu tidak mengamuk. Lelaki yang begitu pualam hatinya. Banyak kali dia bersabar dengan lelaki itu, cuma kadang-kala rasa sabarnya hampir hilang akibat agamanya dihina dan dikeji.
         “Dah lewat ni. Nanti lampu hostel nak tutup. Jom, kita balik!” Suara halus Aleeyah menusuk ke dalam telinganya membuatkan dia tersedar dari lamunan panjang. Dia hanya tersenyum dan mengekori langkahan Aleeyah.
         “Dengar kata Joshua mengamuk petang tadi. Kalah berdebat dengan enti, betul ke?” Soal Aleeyah lembut seiring dengan langkahnya yang teratur. Dia tersenyum mendengar soalan Aleeyah.
         “Macam mana enti boleh tahu ni? Biasanya enti jarang ambil tahu,” balasnya dengan soalan yang lain.
         “Ana bukan nak ambil tahu, cuma enti tahu-tahu sajalah dengan Joshua tu. Memang anti dengan kumpulan kita dari dulu. Tapi, kalau enti tak nak bercerita, ana tak memaksa,” Balas Aleeyah lagi. Nadanya tidak merajuk cuma memberi ruang kepada dirinya membuat pilihan.
            “Dah lewat malam ni Aleeyah. Insya-Allah ana akan ceritakan pada enti esok. Assalamualaikum,” Ujarnya setelah sampai ke pintu biliknya. Dia berkongsi bilik dengan Juita, bekas kekasih Joshua. Aleeyah pula tinggal di bilik sebelah bersama Catheline. Dia memulaskan tombol pintu biliknya dan masuk setapak sebelum Aleeyah kembali memanggil.
            “Wardah Syahirah…” Dia berpaling.
            “Semoga bermimpikan yang baik-baik!” Tukas Aleeyah sebelum menutup pintu. Wardah Syahirah tercengang sebelum mengukir senyuman. Lambat-lambat dia menutup pintu akhirnya.


         “Wardah, tunggu!” Satu jeritan dari belakang mematikan langkahan Wardah Syahirah. Dia berpaling namun wajahnya tidak menggambarkan riak terkejut.
         “saya ada sesuatu nak dibincangkan dengan kau. Boleh kita jumpa petang ni?” Tanya Joshua dengan nafas yang masih belum sekata.
         “Boleh saya tahu sebab apa, sebab saya ada hal petang ni. Kalau awak tak kisah, kita boleh berbincang sekarang,” Balas Wardah Syahirah tenang.
             “Oh. saya sebenarnya dapat tugasan tentang Islam untuk subjek sejarah. saya rasa kau adalah yang terbaik untuk membantu saya.” Wardah Syahirah mengangguk mendengar jawapan Joshua. Dia seakan berfikir sesuatu sebelum membalas kata-kata Joshua. Terbit juga rasa hairan pabila Joshua meminta pertolongannya. Bukankah Joshua menganggap dirinya musuh?
            “Okay, apa kata awak senaraikan segala maklumat yang awak perlukan. Beri pada saya dan saya akan bagi balik selepas saya dapat semua jawapannya, boleh?” Kali ini giliran Joshua pula mengangguk.
            “kalau tak ada apa-apa, saya nak pergi sekarang.” Joshua mengangguk lagi dan membiarkan Wardah Syahirah berlalu pergi.


Wardah Syahirah mengatur langkahnya dengan berhati-hati. Sejenak dia teringatkan permintaan Joshua untuk bertemu dengannya di tempat yang dijanjikan. Berat rasa hati untuk menuruti namun demi satu persahabatan, dia bersetuju juga.
     2 minggu berlalu, hubungannya dengan Joshua tidak lagi seperti dulu. Tugasan yang diterima oleh Joshua memaksa jejaka itu berhubung dengannya hampir setiap hari. Mereka menjadi rapat tidak bermakna Wardah Syahirah telah lupa segalanya. Tidak sama sekali! Biar diuji dan digoda dengan seribu jejaka sekacak Joshua dia tetap tidak akan mengalah.
        Tipu jika dia katakan, Joshua bukan jejaka kacak. Joshua cukup sempurna dengan wajah Pan-Asia-nya itu. Sikapnya cukup ‘gentleman’ dan gaya dan langkahannya mampu membuatkan mana-mana wanita berpaling dua kali. Tapi, bukan itu menjadi ukuran buat Wardah Syahirah. Sikap Joshua langsung tidak menarik hatinya!
         “Hai!” Satu suara menyapa Wardah Syahirah yang leka mengalamun. Langsung tidak sedar dia sudah sampai ke tempat yang dituju. Dia membalas sapaan Joshua dengan jiwa yang berkocak maha hebat. Joshua menghulukan sejambak bunga mawar namun Wardah Syahirah tidak menyambutnya.
         “saya tahu nama kau bermaksud ‘bunga mawar yang masyur’ tapi saya tak tahu bunga mawar yang saya bagi ni semasyur nama kau atau tak,” Ujar Joshua tanpa segan-silu.
         “Joshua, apa semua ni?” Soal Wardah Syahirah dengan nada suara yang terkawal. Serentak itu, telinganya menangkap bunyi sesuatu.
         “Jangan salah faham, Wardah!..”
         “Joshua, suruh kawan awak keluar sekarang. Saya tahu awak pasti rancangkan sesuatu untuk kenakan saya,” Pintas Wardah Syahirah tanpa sempat Joshua menghabiskan kata-katanya. Pucat wajahnya seketika mendengar tekaan Wardah Syahirah.
            “Kawan?” Tanya Joshua dengan tergagap-gagap. Wardah Syahirah menjeling tajam.
             “Shaheed!” Panggil Wardah Syahirah setelah melihat kelibat jejaka itu disebalik semak. Lambat-lambat Shaheed keluar dari tempat persembunyian dengan sebuah kamera digital di tangan. Wardah Syahirah mengetap bibir. Kini, dia benar-benar terasa seperti dipermainkan.
             “Apa yang awak berdua rancangkan? Memalukan saya dengan menyebarkan gambar saya seakan sedang bertemu janji dengan awak, Joshua?” Bibir Joshua bagaikan terkunci mendengar tekaan Wardah Syahirah yang tepat. Dia dan Shaheed saling berpandangan.
             “Saya tahu, awak tak suka bila Juita berpisah dengan awak. Awak ingat dia berpisah kerana hasutan saya. Tak, Joshua! Puas saya memujuk Juita tapi dia dah nampak segalanya. Awak bermain kayu tiga. Awak tak setia pada dia! Dan sangka saya, hati awak akan tertarik dengan Islam bila belajar mengenainya. Sangka saya, paling kurang awak akan mengubah persepsi awak tentang Islam, tapi saya salah. Semua jangkaan baik saya tentang awak salah, sama sekali. Benarlah, hidayah itu milik Allah dan awak, Shaheed! Awak menyebelahi Joshua untuk menjatuhkan dakwah Islamiah yang cuba saya sampaikan? Dimana letaknya keegoaan awak sebagai umat Islam? Jika awak tak mahu perjuangkan agama suci ini pun, paling tidak awak jangan menolong musuh! Sikap awak benar-benar kecewakan saya.” Hujah Wardah Syahirah dengan nafas turun naik. Tidak pernah dia marah sebegini. Joshua diam membatu begitu juga Shaheed. Tidak pernah sebelum ini Joshua melihat Wardah Syahirah marah sebegini. Kulitnya yang putih mulus menjadi kemerah-merahan. Matanya yang berbentuk hazel tampak begitu jernih. Pertama kali Joshua menilik kecantikan Wardah Syahirah.
         Bukan Joshua tidak tertarik pada Islam. Sejak mengenali rapat dengan Wardah Syahirah, dia seakan mengenali rapat dengan Islam. Wardah Syahirah merupakan insan yang sempurna dengan nilai Islamnya. Jika semua umat Islam bertingkah laku seperti Wardah Syahirah, pasti umat lain akan mudah menerima Islam. Namun, untuk mengakui tarikan Islam pada Wardah Syahirah, dia malu. Dia ego tapi kini perasaan ego itu musnah tiba-tiba. Runtuh ibarat runtuhnya bangunan ‘Highland tower’ dulu.
             Jiwa Wardah Syahirah berhenti bergolak. Dia mengucap beberapa kali. Marah itu pembunuh iman. Matanya melirik pada Joshua dan Shaheed. Tanpa sepatah kata dia terus berlalu. Tiada gunanya dia berlama disitu, bakal menambahkan fitnah yang sedia tergalas.


     10 tahun telah berlalu. Wardah Syahirah juga telah berubah. Segala peristiwa di zaman remajanya telah disisip kemas dalam kotak ingatan. Sepuluh tahun telah memberi peluang kepada Wardah Syahirah menggapai kecemerlangan yang diidamkan oleh ayahnya. Dia telah berjaya membuka Syarikat yang mengeluarkan produk-produk kesihatan. Walaupun dia berjaya menamatkan pengajian dalam bidang farmasi namun itu, langsung tidak menghalang Wardah Syahirah mengeluarkan produk sendiri.
        Benar kata ayahnya, umat Islam yang mengikut segala ajaran Islam pasti akan berjaya. Dan kerana kejayaan itu, dia berada di Venice, Italy. Venice merupakan sebuah pulau dan pengangkutan utamanya merupakan gondola. Setahun dia sibuk bekerja sehingga tidak sempat bercuti. Akhirnya, ayah dia memaksa dia memilih mana-mana tempat untuk dikunjungi asalkan dia berehat sepenuhnya.
         Wardah Syahirah memilih Venice akhirnya. Bandar kecil terapung. Ketika ini musim panas, kelihatan ramai pelancong yang datang melawat. Wardah Syahirah melepas pandang pada pelawat yang sedang memberi makan burung di Piazza San Marco, tempat yang dia baru melangkah masuk.
        Dia berjalan sambil menundukkan wajah dan tanpa sedar dia melanggar seseorang. Pantas dia mengucapkan kata maaf dan menolong insan yang dilanggarnya itu mengemas kertas-kertas yang bertaburan. Namun, Wardah Syahirah sempat membaca nama yang melekap pada tag nama yang dipakai insan itu. Luth Raihan. Islam, detik hati Wardah Syahirah. Selesai mengemas, mereka sama-sama berdiri.
         “Joshua?!” Ucap Wardah Syahirah tak percaya. Lelaki itu hanya tersenyum.
         “Luth,” Dia membetulkan Wardah Syahirah.
         “Luth Raihan,” Sambungnya lagi. Wardah Syahirah mengelengkan kepala sambil tersenyum. Dalam hati dia memuji Maha Suci Allah yang telah membuka pintu hati Joshua untuk memeluk Islam.
         “Selepas kejadian 10 tahun yang lepas, saya menyimpan hasrat untuk lebih mendalami agama Islam, terima kasih pada awak!”
         “Terima kasih pada-NYA!” Balas Wardah Syahirah kembali. Wajah Wardah Syahirah pada pandangan Luth Raihan tidak banyak berubah. Terpamer pada wajah Luth Raihan cahaya ketenangan. Wardah Syahirah berasa lega. Tiba-tiba Wardah Syahirah menatap jam di pergelangan tangannya. Pantas dia mendongak.
         “Eh, saya dah lewat ni. Saya ada temu janji dengan kawan. Saya perlu pergi sekarang!” Ucap Wardah Syahirah lalu bertukar kad dengan Luth Raihan. Jejaka itu sempat mengangguk. Sepintas Wardah Syahirah membaca, Officer of Crime Lab. rasa kagum menyelinap ke sudut hatinya. Terus dia menyimpan kad itu dan bersedia melangkah pergi.
         “Wardah Syahirah!” Jerit Luth Raihan membuatkan Wardah Syahirah kembali berpaling.
            “Semoga ada pertemuan lain buat kita disini, Insya-Allah!” Dan dia terus melangkah pergi meninggalkan Wardah Syahirah terpinga-pinga. Seketika bibir itu mengukir senyuman. Dalam hati, dia turut berharapkan perkara yang sama.

 

  Karya


Komen


"Semanis iman di venice" | Login/Mendaftar | 0 Komens
Threshold
Komen di sini adalah hakmilik yang menghantar. Pihak Pengurusan Portal tidak ada kena mengena.






Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
© Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.077583 saat. Lajunya....