|
Mendahulukan Kualiti dari Kuantiti
|
|
|
Posted on Ahad, 25 April 2004 @ 9:57:36oleh Hanan
|
|
|
syafiq86 menulis Prof. Dr. Yusof Abdullah Al-Qardhawi dalam bukunya “Fiqh Al-Awlawiyyat” mengatakan bahawa di antara keutamaan kerja yang mesti diberikan keutamaan pada perspektif Shari’at Islam ialah mendahulukan kualiti ke atas kuantiti. Jumlah bilangan yang besar dan banyak bukanlah menjadi suatu ukuran, akan tetapi kebaikan itu diukur mengikut mutu dan kualitinya.
Al-Qur’anul Karim sering menyindir dan mencerca golongan majoriti kerana kebanyakkan mereka tidak tahu mengambil pengajaran, tidak menggunakan akal fikiran yang murni, tidak suka mengamalkan kesyukuran dan banyak yang tidak beriman pula. Firman-firman Allah swt dalam Al-Quran :
Maksudnya : “Tetapi kebanyakan mereka tidak pandai menggunakan akal”
(Surah al-‘Ankabut : 63 )
Maksudnya : “Akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”
(Surah al-‘Araf : 187 )
Maksudnya : “Akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman kepadaKu”
(Surah Hud : 17 )
Maksudnya : “Akan tetapi kebanyakan mereka tidak pandai bersyukur atas
nikmatku”
(Surah al-Baqarah : 243 )
Maksudnya : “Dan apabila kamu mengikuti kebanyakan orang-orang yang
berada di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu
dari jalan Allah”
(Surah al-An’am : 116 )
Sementara pada sisi yang lain pula, al-Qur’anul Karim memberikan sanjungan kepada golongan orang-orang beriman yang sedikit bilangannya dan pandai melakukan kesyukuran atas semua nikmat kurnia yang dilimpahkan kepada mereka. Firman Allah Ta’ala :
Maksudnya : “…kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan
amat sedikitlah bilangan mereka itu..”
(Surah Sad : 24 )
Maksudnya : “…dan sedikitlah dari kalangan hamba-hambaKu yang pandai
bersyukur”
(Surah sabar’ : 13 )
Maksudnya : “…dan ingatlah olehmu ketika bilangan kamu sedikit dan masih
lemah di atas muka bumi ini”
(Surah al-Anfal : 26 )
Maksudnya : “Maka mengapa tidak ada dari umat-umat sebelum kamu orang-orang
yang mempunyai keutamaan yang melarang daripada menunaikan
kerosakan di muka bumi, kecuali sebahagian kecil daripada
orang-orang yang telah Kami selamatkan di antara mereka”
(Surah Hud : 116 )
Oleh kerana itu, perkara yang penting adalah bukan kerana bilangan manusia yang banyak, namun bagaimana kita memperbanyak bilangan kaum Mukminin solehin yang berkualiti. Banyak orang mengulang2 hadith Baginda Nabi Muhammad saw yang bermaksud :
“Berkahwinlah kamu dan beranak-pinaklah, sehingga bilangan kamu menjadi
banyak. Sesungguhnya aku akan berbangga dengan banyaknya umat ke atas
umat2 yang lain”
(Hadith riwayat Imam Abu Daud dan al-Nasa’i dari Maqal Ibn Yasar dalam kitab Sahih al-Jami’
al-Saghir, bil 2940 )
Tetapi Rasulullah saw tidak akan berbangga dengan umatnya yang jahil, bodoh, fasiq dan zalim. Namun yang menjadi kebanggaannya adalah apabila umatnya itu tergolong dalam golongan yang pandai, baik, bermutu dan beramal soleh serta bermanfaat kepada orang lain.
Di dalam sebuah hadith Baginda saw yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abdullah Ibn Umar, Baginda saw bersabda mafhumnya :
“Manusia itu seumpama kelompok unta; ada seratus ekor tetapi tidak ada yang
boleh dijadikan tunggangan”
Hadith ini menunjukkan bahawa jenis manusia yang bermutu dan berkualiti adalah sedikit bilangannya, seperti sedikitnya bilangan unta yang boleh dijadikan sebagai kenderaan dan tunggangan yang baik, hinggakan bila ada seratus ekor, hamper tidak ada satupun yang sesuai untuk tujuan tersebut.
Perbezaan darjat, mutu, peringkat dan kualiti di kalangan manusia lebih besar lagi daripada apa yang terjadi di kalangan makhluk-makhluk yang lain seperti haiwan. Sabda Rasulullah saw diriwayatkan oleh Imam al-Tabrani dari Salman al Farisi .a., maksudnya:
“Manusia itu lebih mulia daripada makhluk lainnya seumpama satu dibanding
seribu”
Pada hari ini kita sangat menumpukan perhatian kepada kuantiti dan bilangan dalam segala hal. Kita suka menunjukkan angka-angka besar dan banyak seperti ribuan dan jutaan, tetapi kita tidak banyak memberikan perhatian terhadap perkara yang ada di sebalik bilangan dan jumlah yang besar itu, sama ada ianya berkualiti atau tidak.
Salah seorang pujangga lama Arab telah mengenal pasti akan kebaikan kualiti ke atas kuantiti sahaja, katanya :
“Kamu mengejek kami kerana bilangan yang sedikit.
Cubalah kamu lihat, orang-orang mulia itu tidak banyak. Apalah
salahnya bila jumlah kami sedikit namun mulia. Tetapi bilangan yang banyak
ada dalam kehinaan”.
Al-Qur’anul Karim mengisahkan kepada kita bagaimana golongan tentera Thalut yang sedikit bilangannya memperoleh kemenangan ke atas tentera Jalut yang sangat banyak jumlah dan bilangannya. Firman Allah Ta’ala :
Maksudnya : “Maka tatkala Thalut membawa keluar tenteranya ia berkata;
Sesungguhnya Allah telah menguji kamu dengan sebatang sungai. Maka
sesiapa di antaramu meminum airnya bukanlah ia pengikutku. Dan barangsiapa
tidak meminumnya kecuali hanya menceduk seceduk tangan, maka ia adalah
pengikutku. Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara
mereka. Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah
menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah meminum berkata; “Tidak ada
kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya. Orang –
orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah berkata berkata;
“Beberapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan
yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar.”
( Surah al-Baqarah : 149 )
Rasulullah saw bersabda, mafhumnya :
“(Sahnya) amal perbuatan itu mengikut niat, dan sesungguhnya seseorang itu
akan mendapt (ganjaran) mengikut niatnya. Sesiapa yang berhijrah kerana
berniat untuk mendapat keredhaan Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu
sesuai dengan niatnya, dan sesiapa yang berhijrah kerana dengan niat untuk
mendapat harta dunia, maka hijrahnya pun sesuai dengan niatnya itu.”
( Hadith riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Saidina Umar al-Khattab .a.)
Hadith Rasulullah saw tersebut telah mendapat perhatian yang sungguh-sungguh dari para ulama. Imam al-Bukhari sendiri telah memulai kitab hadithnya(Sahih) dengan hadith tersebut. Ulama yang lain ada yang menilainya sebagai satu suku daripada ajaran Islam, kerana ianya mewakilkan sikap dalaman(batin) bagi setiap amalan yang dilakukan oleh setiap Muslim, seperti sabda Baginda Nabi saw yang bermaksud :
“Sesiapa yang berbuat sesuatu amalan tidak mengikut petunjuk Islam, maka
perbuatan tersebut adalah tertolak”
Sheikh Abu Ali, al-Fudail Ibn Iyad .a. ditanya orang tentang maksud amalan yang terbaik dari firman Allah swt :
Maksudnya ; “Siapakah di antara kamu yang paling baik amalannya…”
( Surah Hud : 7 )
Beliau lalu menjawab, amalan yang terbaik ialah amalan yang paling ikhlas dan paling benar ( mengikut petunjuk Islam ). Ada orang bertanya lagi: “Apakah maksud paling ikhlas dan paling benar itu?” Jawab Sheikh: “Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak akan menerima sesebuah amalan, sehingga ianya dilakukan secara ikhlas dan benar. Apabila dilakukan dengan ikhlas sahaja, tetapi tidak benar, maka tidak diterima; demikian pula apabila ianya dilakukan secara benar, tetapi tidak ikhlas, akan ditolak juga. Amalan ikhlas bermakna: dilakukan hanya kerana mengharapkan keredhaan Allah swt; dan amalan benar bermakna dilakukan mengikut Sunnah rasulullah saw.
Itulah makna amalan yang terbaik dalam perkara agama dan ibadah. Adapun amalan yang terbaik dalam masalah keduniaan aadalah semua perbuatan yang ditujukan untuk mencapai tahap kesempurnaan yang paling tinggi sesuai dengan kudrat insan, sehingga tidak ada lagi pencapaian yang sebanding dengannya. Itulah makna amalan yang terbaik dalam urusan keduniaan, kerana hanya mereka yang mencapai kejayaan terbaik dan paling sempurna menjadi kebanggaan manusia.
Rasulullah saw bersabda, mafhumnya:
“Sesiapa yang dapat membunuh cicak dengan sekali pukul, maka ia akan
memperoleh ganjaran seratus kebaikan, dan yang dengan dua kali pukulan, maka
mendapat ganjaran yang kurang dan yang tiga kali mendapat ganjaran yang
lebih sedikit lagi”
( Hadith riwayat Imam Muslim, Ahmad Ibn Hanbal, Abu Daud, al-Tarmizi dan Ibn Majah dari
Abu Hurairah .a)
Pengajaran yang dijelaskan dalam hadith tersebut berhubung dengan kesempurnaan dan ketelitian amalan dan pekerjaan, meskipun dalam melakukan kerja-kerja yang remeh dan sederhana, namun ianya mesti dilakukan dengan teliti dan sempurna.
Apabila sesuatu perbuatan itu tidak dapat dinilai semata-mata kerana banyaknya, demikian juga umur seseorang manusia tidak dapat dinilai hanya kerana panjangnya. Berapa banyak orang yang telah dianugerahkan umur panjang, namun tidak ada keberkatan dalam hidupnya, tetapi berapa banyak mereka yang berumur sederhana, namun seluruh hidupnya telah diisi dengan pelbagai amal kebajikan dan kerja-kerja yang berfaedah.
Konsep inilah yang pernah diucapkan oleh Sheikh Ibn ‘Ata Allah di dalam untaian hiknahnya: “Berapa banyak umur yang panjang namun sedikit dakwat sahaja yang dituliskan; dan berapa banyak umur yang pendek, namun begitu banyak dakwat yang dituangkan. Sesiapa yang mendapat keberkatan dalam hidupnya, maka tahulah dia jalan menuju kurnia Allah meskipun dalam masa singkat.”
Contoh yang paling dekat dengan kita adalah dalam sirah perjuangan Nabi Muhammad Saw. Dalam masa hanya 23 tahun lamanya, dengan keberkatan dari Rabbnya, beliau telah berjaya menegakkan seluruh sendi-sendi agama Islam; mendidik generasi pilihan yang utama; melahirkan sebuah umat yang mantap; mendirikan negara Islam yang paling adil; berjaya mendapat kegemilangan dan kemenangan ke atas kekuatan golongan kuffar, musyrikin dan pengkhianat-pengkhianat Yahudi. Baginda saw juga telah mewariskan kepada seluruh umatnya, selain daripada al-Qur’an, iaitu Sunnah-sunnah dan sirahnya yang mulia.
Sesungguhnya dalam hidup ini ada manusia yang mati sebelum dating ajalnya; kerana masa yang ada dalam kehidupannya itu sama sekali tidak memberikan manfaat dan faedah sama ada bagi dirinya ataupun orang lain. Sementara itu, ada orang-orang yang terus hidup meskipun ajalnya telah sampai menjemput; kerana masa yang ada dalam hidupnya berjaya digunakan untuk melakukan perkara-perkara yang berfaedah sama ada untuk diri sendiri atau untuk masyarakat ramai berupa warisan ilmu pengetahuan, anak-anak yang soleh, ataupun murid-murid yang bertebaran di pelbagai tempat untuk melanjutkan misi perjuangan di atas muka bumi ini. Perjuangan yang berlanjutan itu menjadikan seolah-olah ia masih hidup dan bergerak di muka bumi, meskipun jasadnya sudah sekian lama bersemadi di dalam bumi.
|
|
| |
|
|
|
|
|
Tazkirah
|
|
|
|
Komen