Ukhwah.com
lebih-lahu-dari-anak-panah

Solat, puasa, baca Quran lebih dari kita semua, tetapi terkeluar dari Islam lebih laju. Kenapa?

Bila tengok penampilan, pasti ada yang mengejek, “Ha, ini Wahabi…” Bagi yang mengejek itu, bila ditanya kembali, “Tunjukkan 1 sahaja apa itu ajaran Wahabi yang menyalahi akidah, siapa yang berkata, bila dan di mana?,” akan dibalas, “Pergi ngaji lagi…”

Ustaz Abd Muein Abd Rahman, tidak memakai simbol-simbol ugama seperti serban (sebesar pembungkus nangka), jubah berlapis-lapis, celak tebal, pakai simbol Selipar (kononnya Capal Nabi — capal adalah bahasa Hindi), meletakkan Sheikh, Habib, di depan nama dan beberapa ‘al’ di belakang nama, namun pengajiannya ialah pengajian yang sangat penting — Tadabbur al-Quran.

DIBACA SAHAJA
Tafsir adalah penerangan dan penjelasan al-Quran, memerlukan ilmu khusus yang ketat. Manakala Tadabur ialah “mencari makna di sebalik zahirnya sesuatu perkara.”

Makna lebih tepat lagi:

  1. Tafsir adalah ilmu khusus dengan syarat yang ketat bagi menjelaskan dan menerangkan ayat Quran.
  2. Tadabur adalah usaha untuk memahami dan bukanlah ilmu yang khusus dengan syarat yang ketat.

Kedua-duanya diringkaskan, menjurus kepada satu perkara amat penting iaitu — al-Quran bukan setakat dibaca dan dihafal sahaja.

Kalau setakat dibaca, bagaimana mahu menjurus kepada ungkapan sejak berabad, “Kembalilah kepada al-Quran dan Sunah”? Bagaimana nak kembali sedangkan tak tahu caranya?

Penceramah di masjid-masjid selalu sangat berkata, “Bacalah al-Quran, bacalah al-Quran” seolah-olah al-Quran itu adalah magic, pendinding, dan cukuplah dengan sekadar membaca, sedangkan sebenarnya al-Quran mesti difahami dan diamalkan.

Mari kita bersama-sama Ustaz Abd Muein Abd Rahman untuk menegakkan, “Adakah hanya itu tujuan Allah menurunkan al-Quran, hanya untuk dibaca, dihafal?” Sekolah tahfiz berlambak, orang yang hafal al-Quran berlambak-lambak, tetapi kenapa hampir tidak ada yang berakhlak al-Quran, yang beracuan al-Quran di sekeliling kita ini?

SIAPAKAH KHAWARIJ? KENAPA DIKAITKAN DENGAN KERONGKONG

Apa itu khawarij ? Pada permulaan sejarah, mereka tidak bersetuju dengan Sayidina Ali. Secara lebih mudah, khawarij itu terkeluar dari Islam. Inilah ciri-ciri ‘khawarij’:

  1. Mudah mengkafirkan orang yang tidak segolongan dengan mereka, walau pun sama-sama menganut Islam;
  2. Menurut mereka, Islam yang benar adalah yang diamalkan kelompoknya. Islam lainnya dianggap tidak benar;
  3. Orang-orang Islam yang tersesat dan kafir perlu dikembalikan ke jalan yang benar, namun yang sesuai pemikiran kaum khawrij;
  4. Kerana tidak sefaham dengan lingkungan sekitar, kaum khawarij mengangkat imam dari golongannya sendiri;
  5. Kaum khawarij bersikap fanatik dan tidak segan menggunakan kekerasan untuk mencapai tujuannya.

Bagaimana pula khawarij dikatakan terkeluar dari Islam? Dan mengapa khawarij dikaitkan dengan Al-Quran hanya dibaca, dihafal? Ikuti hadis berikut ini:

Said al Khudri menyatakan bahawa Rasulullah bersabda: “Akan muncul diantara kamu kaum yang menghina solat kamu dibandingkan dengan solat mereka, dan puasa kamu dibandingkan dengan puasa mereka, amal perbuatan kamu dibandingkan dengan amal perbuatan mereka. Mereka itu membaca Al-Quran tetapi bacaan mereka tidak akan melewati kerongkong mereka, dan mereka akan memecah agama sebagaimana anak panah keluar dari busurnya ” (Sahih Bukhari/5058 ).

Rasulullah bersabda: “Nanti pada akhir zaman akan muncul kaum yang mereka membaca Al-Quran tetapi tidak melebihi kerongkong mereka, mereka keluar dari Islam sebagaimana keluarnya anak panah dari busurnya, dan mereka akan terus muncul sehingga keluar yang terakhir daripada mereka bersama Dajjal, maka jika kamu berjumpa dengan mereka, maka perangilah, sebab mereka itu seburuk-buruk makhluk dan seburuk-buruk khalifah. “(Sunan Nasai/4108, Sunan Ahmad/19783)

Al-Quran mestilah difahami dan diamalakan, kerana ia adalah ‘nikmat yang amat besar’, sebagaimana dalam kelas pengajian Ustaz Abd Muein Abd Rahman.

 

Kang Razzi Armansur

Kang Razzi Armansur

Seorang penulis yang menjadikan penulisan sebagai kerjayanya. Telah menghasilkan lebih kurang 50 judul buku pelbagai genre. Menulis menggunakan formula Suami Beristeri 5, Patah Muntah, Makmum Mengikut Imam. Menghasilkan sebuah buku khusus untuk yang MAHU menulis, dengan judul, "Ini Buku Saya!"