Ukhwah.com

Sejarah Mini Ukhwah.com

RINGKASNYA, pada tahun 2003, tiga orang sahabat, Kang Razzi Armansur, Hanan Alam Faizli, Engku Salina Engku Zahit, duduk berbincang dan menubuhkan Ukhwah.com. Tahun 2003, portal komuniti memang banyak dan ‘rancak’, Begitu juga dengan Ukhwah.com — rancak sejak dari mula.

Pengaas Ukhwah.com
Dari kiri, Hanan Alam Faizli, Kang Razzi Armansur, Engku Salina Engku Zahit, pengasas Ukhwah.com. Gambar diambil pada 9-8-2003, di KL-Sentral.

Pada masa itu, hosting, co-location, dedicated (cloud belum wujud lagi) benda yang asing. Dan itulah masalah awal Ukhwah.com. Kemasukan ahli menderu, menjadikan syarikat hosting (di Menara Merais, Bulatan Rothman, Seksyen 14, Petaling Jaya) menasihatkan supaya menggunakan co-location server. Maknanya beli server, kemudian diletakkan di datacenter di Wisma Merais itu. Nota: Sekarang Bulatan Rothman pun dah tak ada, Menara Merais berganti Ambank.

Nasihat kedua: keluar dan cari hosting lain.

BAGAIMANA MULA RANCAK?
Mengapa tiba-tiba sahaja Portal Komuniti Ukhwah.com pada tahun 2003 itu menderu dan rancak? Kemungkinan sekali, setiap malam namanya disebut di Radio IKIM. Masa itu Radio IKIM pun rancak juga seiring dengan rancaknya industri nasyid. Kumpulan nasyid muncul bagaikan kugiran dan penyanyi pop yeh-yeh pada pertengahan 60-an.

Bagaimana nama Ukhwah.com disebut setiap malam di Ukhwah.com? Tentulah ada strateginya. Ada beberapa ahli khas yang menjadi tukang canang di Radio IKIM.

Kira-kira 90 peratus ahli Ukhwah.com adalah pelajar — termasuk pelajar universiti dalam dan luar negara, pelajar kolej, pelajar sekolah menengah. Selebihnya 10 peratus, mereka yang sudah bekerja dan juga sebahagiannya sudah berumah tangga.

Memang rancak sekali, berforum, bergelak ketawa, dan ber CCTV (masuk hanya membaca forum dan artikel). Ada saja isu yang diperbincangkan. Mengikut setengah ahli, mereka tak senang hati, kalau tak login ke Ukhwah.com. Mungkin juga seperti Facebook tahun 2009.

Jadi apa penyelesaian dengan hosting yang kerap sangat mendapat amaran itu? Hanya satu sahaja, beli server sendiri. Mana duitnya? Kutipan derma dilancarkan di kalangan ahli. Kerana sayangkan portal dan komuniti ini, wang sebanyak RM4,000 berjaya dikumpulkan untuk membeli server 1U. Campur-campur dengan wang derma dari majlis agama, jual itu ini, dan sebagainya.

DUIT LAGI… BUKAN ADA UNTUNG PUN
Sekarang server sudah ada di tangan, bagaimana? Ia akan di ‘co-location’ di datacenter. Duit lagi! Sebulan lingkungan RM100! Besar nilai RM4,000 dan RM100 pada tahun 2004 itu. Dan… oleh sebab rancak, sekali lagi diberi  nasihat oleh datacenter, kerana ‘mengganggu’ server lain. Datacenter di Wisma Merais itu bukanlah datacenter (ada yang menyebutnya ‘server farm’) high end, seperti datacenter di Netmyne Brickfield, Myloca Cyberjaya, Jaring di TPM. Kalau tempat-tempat itu (sekarang dah tukar nama dan Jaring pun dah arwah) kos untuk co-location lingkungan RM300 — RM400 dalam tahun 2005.

Pun kena ‘nasihat’ sambil menghalau secara halus. Ingatkan bila dah ‘co-location’ segalanya selesai. Kerana Ukhwah.com sentiasa riuh rendah, keluar masuk ahlinya tanpa henti, nampaknya telah mengganggu server-server lain. Jikalau anda masih ingat lagi game Ragnarock pada tahun itu, mengalami nasib yang sama. Mereka mempunyai 11 lebih server yang sentiasa penuh. Dihalau keluar dan akhirnya server dipindahkan ke negeri China.

BANTUAN DARI FIVIO.COM
Akhirnya, dalam persimpangan mahu tutup dan jual balik server atau pindah ke high end datacenter, Allah swt temukan dengan seorang siswa UIA bernama Fadhlullah Abd Rahman yang mempunyai syarikat hosting Fivio.com. Beliau dengan senang hati mempelawa untuk co-location server Ukhwah.com dalam rak server Fivio.com di Jaring, tanpa bayaran, tanpa syarat! Wow! Melonjak keriangan dan penyelesaian yang sangat dikehendaki! Nilai c0-location itu RM400. Ia nilai yang begitu besar pada tahun 2004! Bukan setakat co-location bahkan ‘manage co-location’ — apa-apa hal Fivio.com akan betulkan.

 

Ukhwah.com
Fadhlulah Abdul Rahman, siswa UIA, founder FIVIO.COM, membina semula, mengendalikan, dan menjadi sponsor co-location server Ukhwah.com, dengan nilai RM400 sebulan, 2003 hingga 2014 (11 tahun tanpa henti walau sehari pun)

Bagaimana dengan Ukhwah.com selepas itu? Makin bertambah-tambah meriah! Makin riuh rendah keluar masuk! Dan semestinya makin terkenal, dikenali umum. Zaman itu, bolehlah dikatakan zaman heyday kumpulan nasyid. Sebahagian mereka pun turut mengambil kesempatan untuk menumpang populariti Ukhwah.com, bagi memperoleh publisiti dari ahli-ahli Ukhwah.com. Tapi, biasalah kumpulan nasyid, saat berada di kegemilangan itu, diterbalikkan menjadi seolah-olah Ukhwah.com memerlukan mereka pula. Atau dipusing menjadi sebagai, “Sumbangan peminat.”

BUKAN HANYA ONLINE, ITU KOMUNITI LAIN
Silap sangkaan anda kalau Portal Komuniti Ukhwah.com hanya gah secara online. Semasa berada di persada, Ukhwah.com satu-satunya online komuniti yang paling kerap menganjurkna program — sama ada program kebajikan, kursus, seminar, kunjungan, lawatan, rombongan, sukan, perkampungan, dari yang kecil hinggalah yang besar. Pertemuan sesama ahli pula perkara biasa melalui siri ‘Jejak Kasih’ atau ringkasnya JK. Ahli-ahli berbincang di forum kemudian menganjurkannya. Bukan jumpa suka-suka tetapi dianjurkan bersama kebaikan-kebaikan — muncullah seperti, “JK Hospital” (Program jumpa dan amal kebaikan di Hospital), “JK Penang” (Bertemu ahli-ahli di utara sambil membuat lawatan ke Penang), JK Perak (Dari seluruh negara bertemu di Perak, sambil melawat tempat-tempat sejarah), JK Melaka (Rombongan ke Melaka) sambil singgah di sekolah, dan lain-lain untuk berbuat kebajikan).

Kemudian, tidak kurang dari 10 pasangan bertemu jodoh melalui Ukhwah.com! Walaupun bukan portal bertemu jodoh namun itulah yang terjadi.

Pendek kata, pada tahun-tahun tersebut, Ukhwah.com berada di persada dengan megahnya. Pendek kata juga, portal komuniti ini memberi faedah yang besar pada ahli-ahlinya dan masyarakat.

PENYAKIT BIASA PERTUIBUHAN
Namun, seperti biasa dalam pertubuhan dan drama, pasti muncul ‘makhluk perosak’. Mula berpuak-puak, bertelagah dan ada yang berusaha untuk mengambil alih Ukhwah.com dengan cara menggulingkan Pengasasnya. Tidak tahu apa kaedah yang mahu digunakan, tapi itulah tujuannya. Ukhwah.com mula berpecah-pecah dengan wujudnya ‘makhluk perosak’ (ada beberapa, silih berganti) tersebut.

Ada juga ahli baharu yang menjadi ahli bertujuan untuk ‘merusuh’ — menjadi batu api dan “Akulah.. Orang lain apa ada.”

Pengurusan Ukhwah.com tidak mengharapkan apa-apa balasan dan bayaran, tapi adakah ahlinya (sebahagian) berterima kasih? Tidak, sebaliknya dikecam sepanjang masa. Ada yang menafikan Ukhwah.com adalah platform permulaannya, dengan mengatakan, “Ini semua susunan Allah.” Jabariah, rupanya.

Betullah kata Peribahasa Jepun, “Paku yang menonjol akan diketuk.”

LAYU SESUDAH BERKEMBANG, BUKAN SEBELUM
Ini ditambah pula dengan kemunculan Facebook yang meledak dengan rancaknya di Malaysia pada tahun 2009. Facebook dimulakan sama dengan tahun Ukhwah.com, 2003. Ledakan Facebook menendang portal-portal, forum, komuniti. Banyak yang telah menjadi arwah. Ada juga yang  “lalat pun tak masuk,” termasuklah Ukhwah.com. Lebih malang lagi, Fivio.com sudah menamatkan penajaannya sejak 2003 itu.

Atas ehsan syarikat pengeluar gula gantian, P3 Sweetener, Ukhwah.com diberikan sebahagian ruang server mereka untuk meneruskan, hinggalah hari ini.

Ukhwah
Kebanyakan mereka kini, ahli Ukhwah sudah beranak pinak dan menjawat jawatan yang bagus. Tak mungkin mereka lupa kenangan seumur hidup dalam Ukhwah.com

Portal Komuniti Ukhwah.com masih wujud walaupun sudah sunyi dan damai. Di sebalik kedamaian itu, kalau dilihat pada ‘Sedang Online’ jumlah tetamu kadang-kadang sampai 50 orang. Maknanya, di balik tabir, masih lagi meriah.

Di mana mereka kini? Di mana ahli-ahli Ukhwah.com sejak 2003? Tidak diketahui, tapi diyakini sebahagian besar atau hampir kesemuanya sudah beranak pinak! Gambar-gambar kenangan boleh dilihat di sini: Facebbok Ukhwah.com

UKHWAH.COM 2022
Ukhwah.com (yang bertaraf klasik) itu akan terus dikekalkan, selagi terdaya, selagi P3 Sweetener masih memberi ruang. Pada tahun 2022, Ukhwah.com sudah berubah konsep, ia lebih kepada artikel, info dan berita. Tiada forum dan aktiviti. Tiada lagi mesyuarat, berbuka puasa, di KL-Sentral. Juga tidak lagi beribu pejabat di KL-Sentral seperti tahun 2004 dahulu.

Uhkwah
Portal Komuniti Ukhwah.com, wujud sejak tahun 2003, hingga kini

Disediakan link untuk ke Ukhwah.com klasik. Ini untuk mengembalikan nostalgia, kenangan silam, membaca posting-posting, artikel lama. Bahkan untuk menghantar post pada forum pun boleh. Ke Ukhwah Klasik

Begitulah mini sejarah Ukhwah.com. Patah tumbuh, hilang berganti. Nothing Last Forever.

SPONSOR

SPONSOR