Ukhwah.com

Kemas Sendiri Meja Makan Anda?

Saya menonton sebuah video reaksi daripada warga negara jiran yang tampak terkejut melihat pelanggan restoran mcDonald di Malaysia kemas sendiri makanan yang dimakan, sampah dibuang sendiri ke tong sampah. Khabarnya ini satu perkara yang jarang dilihat di Indonesia.

Sejauh mana kita cakna perlu kemas sendiri ni? Sebenarnya saya sendiri pun tak cakna. Kita sudah ‘dididik’ dari dulu hingga kini, jika makan di kedai makan, warung, restoran, akan ada orang yang tolong kemaskan meja. Bahkan andai ke warung, jika ada setitis air di meja dari pelanggan sebelumnya pun, kita sanggup panggil pekerja kedai untuk lap meja itu. Walhal di meja itu sudah ada tisu dan boleh saja untuk kita lap sendiri. Mungkin anda tidak begitu, tetapi banyak yang saya jumpa.

“Encik, selepas siap makan, kemaskan dan sampah semua buang di tong sampah ya”, kata pelayan McDonalad di tempat saya. Perkara ini bermula selepas kelonggaran boleh makan di restoran sewaktu PKP yang lalu. Dalam hati, saya berkata “Oh, ini SOP restoran, mungkin untuk elak sentuhan”.

Kini, selepas zaman PKP dan SOP yang macam-macam itu berlalu, pelayan di McDonalad masih bercakap benda yang sama. Nampaknya, kena kemas meja sendiri ini sudah dijadikan norma di restoran McD. Bila melihat McD di tempat lain pun berbuat perkara yang sama, mungkin perkara ini sudah diseragamkan.

Saya puji McD dalam hal ini. Mendidik masyarakat untuk melazimkan diri kemas sendiri apa yang kita makan. Mungkin tak semua tempat kita boleh kemas sendiri macam ni, tetapi sedikit demi sedikit kita boleh belajar untuk memudahkan urusan orang lain. Ianya juga baik untuk mendidik diri kita akan menjadi lebih beretika dan membuang sifat angkuh di dalam diri.

Suatu hari, sewaktu saya keluar minum di Coffee Bean bersama kawan-kawan lama satu sekolah, sahabat saya Dr Khairul dan Dr Fadzli menegur saya, “eh kenapa ko main keluar je? kemaslah meja tu”. Mereka berdua ini menyambung pelajaran di London dan rupa-rupanya, kemas sendiri meja makan kita ni dah jadi budaya masyarakat di sana. Hinggakan jika kita tak kemas meja, akan dianggap pelik oleh mereka.

“Oh kena kemas ya? Alamak sorry-sorry”, saya berpatah balik untuk kemas minuman dan makanan saya. Tetapi Dr Khairul dah tolong kemaskan. “takpe, aku dah kemaskan. Tak kemas pun takpe tapi aku dah terbiasa”, bila sesuatu perkara yang dibuat dah menjadi rutin, maka ianya akan jadi canggung jika tak dibuat. Seolah-olah, meninggalkan meja makan dalam keadaan berselerak itu menjadi satu kesalahan pula.

Nak kemas meja makan, pandang-pandang lah juga sekeliling. Andai anda makan di Restoran Tomyam, usahlah pula kemas meja hingga bawa ke dapur. Dapur itu privasi kedai makan. Cukuplah anda susun pinggan yang digunakan agar mudah diangkat.

Sekadar melontarkan sebuah pandangan.

 

Safari Sarodin 27/7/2022

Safari Sarodin

Safari Sarodin

Penulis Residen Ukhwah.com. Menulis sudah lama dari zaman sekolah lagi. Kini baru serius menulis kerana mahu menjadikan menulis sebagai kerjaya tambahan. Sedang menghasilkan buku yang berdasarkan pengalaman-pengalaman yang dilalui.