Seminar kesihatan, kejayaan wanita Ahad ini

Artikel Dari: Portal Komuniti Muslimah -- Hanan.com.my.my

http://ukhwah.com:443/hanan/



Tarikh: Jumaat, 21 Mei 2004 @ 19:14:15
Topik: Semasa



SEMPENA meraikan Hari Ibu yang disambut pada 9 Mei lalu, stesen TV3 mengorak langkah menganjurkan seminar mengenai kesihatan dan kejayaan wanita yang akan diadakan pada 23 Mei depan. Seminar bertajuk ‘Untukmu Wanita: Sihat & Berjaya’ dilancarkan di Hotel Mutiara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur yang juga Pengurus Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Zurina Hashim, berkata seminar itu diadakan agar sambutan Hari Ibu menjadi lebih bermakna lagi.

Beliau berkata, sudaah menjadi tradisi bagi TV3 untuk menyiarkan program yang eksklusif, khas Hari Ibu tetapi pada tahun ini, TV3 menyambut kedatangan hari itu besar-besaran dengan menganjurkan seminar yang bukan saja untuk ibu bahkan semua wanita di negara ini.

Seminar itu bertujuan berkongsi dan menyebarkan pengetahuan serta maklumat penting untuk wanita yang ingin berjaya tanpa melupakan betapa pentingnya kesihatan.

“Seminar itu juga membuka ruang kepada penonton wanita TV3 untuk berjumpa. Mereka boleh berbincang mengenai program yang mereka minati dan paling penting mereka boleh memberikan pendapat mereka tentang barisan program TV3 kepada kami,” kata Zurina.

Beliau berkata, kini wanita berfungsi penting dan dipertanggungjawabkan dengan pelbagai fungsi. Melalui seminar itu, golongan berkenaan akan dapat berkongsi pelbagai panduan serta maklumat untuk mencapai kejayaan dan tahap kesihatan yang unggul.

Seminar itu akan dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Endon Mahmood, manakala Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dijangka menutup majlis berkenaan.

Empat penceramah yang pakar dalam bidang masing-masing, dijemput untuk menjayakan seminar itu.

Mereka ialah Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, Pakar Motivasi, Pengerusi Bersama Nur Sejahtera, Dr Nor Ashikin Ahmad Mokhtar; Datuk Dr Suseela Nair, Pakar Bedah Payudara; dan Pakar Teknologi Maklumat Dalam Perniagaan, Dr Norsaidatul Akmar Mazelan.

Sejajar dengan kempen kesejahteraan wanita, Pusat Perubatan Gleneagles akan memberikan pemeriksaan tekanan darah dan ujian glukos dalam darah secara percuma serta pakej istimewa untuk Wellness Profile, pemeriksaan kanser payu dara dan kanser serviks kepada peserta.

Selain itu, peserta juga akan dapat menyaksikan persembahan fesyen daripada Butik Embun. di samping, dimeriahkan dengan cabutan bertuah dan persembahan penyanyi terkenal, Nora.

Peserta seminar dikenakan bayaran RM100 seorang dan diskaun 15% untuk ahli MyTV3.

Untuk pertanyaan lanjut boleh menghubungi Eddy Sulaiman atau Cik Yusnita Mad Jalani, 03-772 66 333 samb. 5148/5132.

Oleh Nor Affizar Ibrahim

sumber : Berita Harian Online