Mengingati hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w

Artikel Dari: Portal Komuniti Muslimah -- Hanan.com.my.my

http://ukhwah.com:443/hanan/



Tarikh: Ahad, 25 April 2004 @ 16:29:34
Topik: Semasa



DIRIWAYATKAN dalam satu hadis Nabi Muhammad saw yang bermaksud: “Barang siapa yang membesarkan hari kelahiranku, nescaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan barang siapa membelanjakan satu dirham untuk maulidku, maka seolah-olah dia membelanjakan emas sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah.”

Malah, diriwayatkan juga Imam Syafie Rahimahullah berkata: “Barang siapa mengumpulkan orang Islam untuk menyambut Maulid Nabi Muhammad saw dengan membaca maulid dan mengadakan syarahan berkenaannya serta menyediakan makanan bagi mereka dan membuat lain-lain kebajikan, nescaya Allah akan membangkitkan mereka pada hari akhirat bersama dengan wali, orang mati syahid dan orang soleh, dan ia akan berada di dalam syurga yang penuh dengan nikmat."

Justeru, Rabiulawal adalah bulan mulia yang tercatat detik bersejarah itu bagi sambutan umat Islam sejagat.

Kedatangannya dinanti dan diingati masyarakat Islam di seluruh dunia. Antara sebabnya ialah pada tanggal 12 Rabiulawal, Rasulullah dilahirkan.

Ia dikenali dengan Maulidur Rasul dan sambutannya dibuat dalam bentuk kesyukuran terhadap rahmat Allah yang mengutuskan seorang manusia ke alam ini untuk mengubah suasana dan keadaan hidup manusia ketika itu.

Allah berfirman yang bermaksud: “Tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk mendatangkan kerahmatan kepada seluruh alam” – (Surah al-Anbia, ayat 107).

Kelahiran Nabi Muhammad adalah untuk menyambung perjuangan nabi dan rasul terdahulu dan seterusnya mengakhiri salasilah kerasulan dengan membawa agama Islam yang lengkap sebagai cara hidup.

Rasulullah dikurniakan kitab suci al-Quran sebagai sumber rujukan dan pedoman berkekalan buat manusia.

Justeru, sambutan Maulidur Rasul penting untuk memantapkan keyakinan terhadap Rasulullah dan meningkatkan kecintaan kepada Baginda.

Rasulullah adalah insan yang paling dicintai kerana Baginda adalah contoh dalam semua aspek kehidupan. Justeru, umat Islam diperintahkan Allah supaya meneladani dan mencontohi kehidupan Rasulullah dalam segala lapangan hidup.

Allah berfirman yang bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan Allah) dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” – (Surah al-Ahzab, ayat 21).

Umat Islam diperintahkan meneladani kehidupan Baginda, sama ada sebagai pemimpin, panglima angkatan perang, sahabat, suami, bapa dan manusia biasa.

Namun, zaman globalisasi yang mewarnai pentas dunia kini menyaksikan betapa ramai umat manusia semakin tersasar dari landasan yang lurus. Mereka tertipu dengan godaan dunia yang mempesona hingga runtuh mahligai rumah tangga, memutuskan jalinan keluarga dan insan, menindas dan sombong.