Yahudi Mengganas Lagi

Artikel Dari: Portal Komuniti Muslimah -- Hanan.com.my.my

http://ukhwah.com:443/hanan/



Tarikh: Rabu, 10 Disember 2003 @ 11:20:25
Topik: Semasa



Yahudi letup tiga pangsapuri Palestin


BANDAR RAYA GAZA: Tentera Israel memaksa 2,000 penduduk Palestin keluar dari rumah sebelum menggunakan kereta kebal dan kereta perisai bagi meletupkan tiga bangunan tinggi dan sebuah balai polis di bahagian tengah Semenanjung Gaza, semalam.

Kekejaman Yahudi itu dilakukan pada hari pertama penduduk Palestin berpuasa.

Tentera Israel melancarkan pencerobohan itu berikutan tindakan kumpulan Hamas dan Jihad Islam membunuh tiga askarnya dalam satu serangan pagi Jumaat lalu di penempatan Netzarim.

Jurucakap tentera Israel mendakwa, pejuang Jihad Islam berlindung di balai polis terbabit dan anggota polis Palestin membantu mereka melarikan diri dari kawasan itu.

Berpuluh kereta kebal dan perisai Israel membanjiri bandar al-Zahrag dekat penempatan Netzarim di mana mereka mengepung beberapa bangunan dan meletupkan sebuah balai polis.

Dalam gerakan pencerobohan itu, tentera Israel membunuh dua pejuang Palestin dan mengeluarkan beribu-ribu penduduk Palestin dari rumah mereka di tiga bangunan 12 tingkat itu yang kemudiannya diletupkan.

Beberapa pertempuran berlaku antara pejuang Palestin dan tentera Israel di kawasan terbabit dan tentera Israel percaya sekurang-kurangnya seorang pejuang Palestin terbunuh.

Sebelum meletupkan tiga bangunan apartmen itu, tentera Israel meletupkan sebuah balai polis Palestin di kawasan terbabit.

Israel mendakwa, bangunan terbabit adalah tempat perlindungan bagi pejuang Palestin yang menyerang tentera Israel Jumaat lalu.

Kelmarin di Tebing Barat, tentera Israel menculik dua pejuang Palestin yang sedang menerima rawatan di hospital di bandar raya Nablus.

Seorang daripada pejuang yang cedera itu adalah seorang anggota kumpulan Hamas sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi hospital berkenaan. Askar Israel membawanya ke sebuah ambulans untuk dibawa ke sebuah hospital di Israel.

Pejuang Palestin kedua yang dikenali sebagai Jawad Ishtayeh diculik dari Hospital Rafidia di mana dia menjalankan kegiatan dari bahagian bawah hospital berkenaan, kata seorang pegawai keselamatan Israel.

Ketua perunding Palestin, Saeb Erekat, menyifatkan serangan ke atas hospital terbabit adalah perbuatan yang mencabuli undang-undang antarabangsa.

Israel menuduh pegawai Palestin mencabuli undang-undang antarbangsa dengan membenarkan pejuang Palestin menggunakan hospital sebagai tempat perlindungan dan merancang serangan ke atas penduduk Israel.

Beliau juga mengkritik rancangan Israel untuk memperluaskan projek pembinaan tembok keselamatan ke bahagian timur Tebing Barat.

Erekat berkata, projek itu menunjukkan hasrat Israel itu bukan untuk keselamatan tetapi menjadikan tanah Palestin penjara yang besar.

Washington turut mengkritik pembinaan tembok berkenaan kerana menceroboh wilayah Palestin yang dirancang untuk negara mereka. – AFP

Sumber : Mesra.Net