Array
Welcome To Portal Komuniti Muslimah -- Hanan.com.my.my

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 18-06-2025  

  Suka!
New Page 1

  Mutiara Kata
Untuk mengelakkan dari dikritik, jangan buat apa-apa, jangan cakap apa-apa.

-- Kata Bijaksana

  Menu Utama

  Keahlian Portal Komuniti
Terkini: Maisarah99
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 13727

  Sedang Online
Assalamualaikum
Tetamu

Nickname

Password



[ Mendaftar ]

Sedang Online:
Tetamu: 11
Ahli: 0
Jumlah: 11




  Dari Galeri
a'kum...

salam perkenalan dr saya.

-asma-

  Yang Masuk Ke Sini
notam79: 49 hari yang lalu

: Semilir Kasih Aina Mardhiah...
 Posted on Jumaat, 19 September 2003 @ 9:25:58oleh Engku_Salina
Kreatif raudhatulmardhiah menulis Sinaran terang lampu spotlight menusuk retina. Aina Mardhiah lantas memalingkan muka, membenar kanta mata membesar semula. Bingit dan sesak! Suasana resmi apabila tibanya Hari Konvokesyen. Menghidupkan suasana, album ‘Satu Perjuangan’ dendangan kumpulan nasyid Brothers dimainkan. Sayup-sayup alunan lagu Selamat Berjuang menerobos salur telinga Aina.

Kenangan silam bersama rakan-rakan seperjuangan terukir semula di ingatannya. Namun, cepat-cepat dilenyapkan kerana ia nantinya bakal meruntun air mata. Namun, sukar baginya untuk melupakan segala rempah perjuangan itu. Ya, bukan mudah! Setiap kenangan punyai cerita dan sejarahnya sendiri yang amat berharga bagi Aina.
“Assalamua’laikum Aina!”
“Wa’alaikumsalam warahmatullah… Hai, Fizah! Kenapa Fizah lambat?”
“Fizah sambut ayah dan ibu Fizah tadi. Sekarang ni, ayah dan ibu Fizah tengah rancak berbual dengan abah dan ummi Aina.”
“Ye ke? Patutlah dari tadi abah dan ummi Aina tak duduk-duduk lagi.”
“Biasalah… Sekali-sekala mereka berjumpa.”
Perasmian yang dilaksanakan oleh Naib Canselor UUM, Kol. Prof. Dato' Dr. Ahmad Fawzi Mohd Basri menjadi acara pembuka Fiesta Konvokesyen 2004 untuk kali yang ke-20 ini. Sejurus kemudian, konsert ‘Dunia Gemilang Islam’ dimulakan. Fizah dan Aina begitu khusyuk menghayati irama nasyid Raihan, Rabbani, Hijjaz, In-team, dan juga Firdaus. Sejak di bangku sekolah lagi mereka berdua sering disogokkan dengan lagu-lagu nasyid sebegitu.
Aina dan Fizah sudah lama bersahabat, hampir menjangkau dua belas tahun lamanya. Cuma sekali mereka terpisah, semasa menuntut di matrikulasi. Kerana itu, mereka sudah masak dengan perangai masing-masing. Fizah menganggap Aina sebagai seorang rakan yang cukup setia dan petah berkata-kata. Nurul Hafizah pula merupakan seorang sahabat yang baik tetapi sedikit sensitif bagi Aina. Sifat sensitif Fizah dan kepetahan Aina adakalanya menyebabkan mereka sering bertengkar sewaktu di awal perhubungan dahulu. Namun kini, mereka semakin bijak mengawal perasaan dan matang dalam pergaulan.Sekiranya salah-seorang di antara mereka menghadapi masalah, yang seorang lagi sentiasa bersedia menghulurkan bantuan, nasihat dan dorongan. Sepanjang perhubungan, hanya satu resepi yang mereka amalkan iaitu suka berterus-terang dalam semua perkara... Tiba-tiba, sesuatu menerjah ingatan Aina. Lantaran itu, kalenjar adrenal pantas merembeskan hormon adrenalin ke seluruh bahagian tubuh. Aina resah-gelisah!!
“Kenapa nampak susah hati saja ni, Aina?”
“tak ada... Tiba-tiba saja Aina teringat pasal ‘Yang Memerhati’ tu.”
“Ooohh.., sebab tu ke Aina tak senang duduk?” Ketawa Fizah meletus. Menyerlahkan sikap periang penuntut Sekolah Sains Kognitif dan Pendidikan itu.
“Fizah ni, Aina tengah takut Fizah ketawa pulak!” Aina merungut manja. Dalam pada itu, hatinya benar-benar berdebar. Jantungnya berdegup kencang.
“Relaks lah Aina… Fizah tahu Aina takut nak jumpa dia. Kalau Fizah jadi Aina pun Fizah gabra. Ditakdirkanlah Fizah yang kena… Hishh, terkulat-kulatlah Fizah dibuatnya!” Ketawa mengepung perbualan mereka. Dalam situasi begitupun, Fizah masih sempat berseloroh.
* * *
Rintik-rintik hujan membasahi bumi Sintok. Hujan turun tidak henti-henti sejak pukul 2.00 petang tadi. Akibatnya, mahasiswa-mahasiswa UUM tidak dapat turun ke padang untuk beriadah seperti biasa. Aina merenung buku ‘Pangkalan Data Untuk Perakaunan’ yang terbuka di hadapannya. Sudah sejam dia menghadap buku itu, otaknya sudah tepu. Dia perlu berehat sebentar. Fikirannya menerawang jauh terkenangkan memori lama semasa menuntut di kolej matrikulasi. Terlalu banyak pengalaman dan kenangan manis yang telah Aina alami sepanjang tempoh setahun di sana.
“Aina, saya pilih awak untuk mengendalikan lawatan mentor-mentee ini 4 bulan dari sekarang. Kemungkinan kita akan pergi ke Langkawi pada Semester 2 nanti. Jadi selepas ini, awak boleh ke bilik saya untuk penerangan lanjut dan lakaran kertas kerja.” Arahan En. Hairi disambut dengan senyuman dan anggukan.
Kendatipun Aina masih baru, En. Hairi tahu Aina berkebolehan. En. Hairi juga yakin Aina boleh menang sekaligus menyandang ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar jika Aina masuk bertanding pada pilihanraya lepas. Tapi sayang, Aina enggan. Bila ditanya sebabnya, Aina mengatakan dia bukan sengaja mahu menolak tanggungjawab itu tetapi dia mahu menumpukan perhatian dalam pelajaran. Alasan itu sudah lali di telinga En. Hairi sejak dulu lagi. Ramai pelajar yang memberikan alasan seperti Aina. Namun, Aina bukanlah seperti Nicol Ann David yang boleh belajar dan berkarier dalam satu-satu masa, Aina punyai karisma dan caranya sendiri untuk mencapai kejayaan. En. Hairi akur dan berharap semoga pengorbanan Aina itu berbaloi, tidak sia-sia.
Perjalanan jauh ke Langkawi sememangnya memenatkan, namun tetap memberikan kegembiraan kepada anak-anak buah En. Hairi dan En. Razali. Lawatan riadah itu berjalan seperti yang dirancang. Para peserta lawatan diberikan kebebasan untuk keluar ke Pekan Kuah pada bila-bila masa jika tiada program lain. Peluang itu digunakan sepenuhnya oleh ahli rombongan untuk membeli-belah serta bersiar-siar di sekitar Pekan Kuah sehingga lewat malam. Setelah penat berjalan, mereka singgah mengambil angin dan menghirup udara segar di tepi pantai sebelum masuk ke bilik penginapan. Tiba hari yang paling ditunggu, rombongan itu dibawa menaiki kereta kabel terpanjang di Asia Tenggara yang baru siap dibina. Nampaknya lokasi itu amat menarik perhatian pelancong. Awal-awal pagi lagi pengunjung sudah memenuhi sekitar taman rekreasi itu. Di tengah-tengah keramaian pengunjung, kelihatan En. Hairi sibuk mengagihkan tiket kepada anak-anak buahnya.
“Aina, someone look at you!”
“ada-ada sajalah awak ni, Su”
“Betul..! Dah lama Su tengok dia perhatikan Aina.”
“Siapa? En. Hairi?” Soal Aina, bergurau. Sambil itu, dia menyerahkan tiket Langkawi Cable Car kepada penyemak tiket di situ, diikuti oleh Suhaida.
“Eh, eh, eh... Loyar buruk pulak dia. Siapa lagi kalau bukan Haikal...” Mendengar nama itu, nafas Aina sesak. Hatinya berbunga riang, terasa dirinya seperti di awang-awangan. Namun, Aina cepat sedar...
“Ye ke? Mungkin dia pandang orang lain agaknya, ataupun kebetulan saja. Abaikanlah…” Aina cuba mengelak. Dia kemudiannya membuang pandangan ke luar kereta kabel, menikmati keindahan flora Langkawi ciptaan Allah s.w.t.
Kalau boleh, Aina tidak mahu timbulnya khabar angin mengenai hubungannya dengan mana-mana lelaki. Sejak kecil lagi Aina telah diterap dengan didikan agama yang tinggi. Justeru pada usia semuda 9 tahun, Aina telah mengkhatam al-Quran dan boleh menghafal Juzuk 30, alhamdulillah. Namun, jika ilmu agama penuh di dada tetapi tidak diamalkan samalah seperti sebatang pohon besar yang tidak menghasilkan bunga mahupun buah. Aina masih ingat pesan umminya dan dia tidak mahu diibaratkan seperti itu. Oleh itu, Aina perlu sentiasa berhati-hati dan menjaga nama baiknya sendiri.
Pulang dari Langkawi, mereka terus menyambut bulan Ramadhan. Setiap petang, para pelajar kolej termasuk Aina dan Su pasti akan turun ke Bazar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka puasa. Sudah genap 27 hari umat Islam menjalani ibadah puasa. Bermakna, mereka telah melangkah masuk ke gerbang ‘Malam Tujuh Likur’. Soru itu, Suhaida sengaja mengajak Aina, rakan sebiliknya turun awal ke Bazar Ramadhan. Mereka berjalan dari gerai ke gerai, memilih juadah yang menarik.
Sedang mereka leka memilih kuih di gerai Staf Hamzah, kelihatan dari jauh Haikal dan rakannya, Amir Hamzah menuju ke arah gerai itu. Akan tetapi, mereka tidak membeli apa-apa sebaliknya mereka hanya memerhatikan Aina dan Su. Selesai memilih, Suhaida menanyakan harga kuih-muih itu seraya mengeluarkan wang dari dompet Guccinya. Mereka kemudiannya bergerak ke gerai lain. Namun, Amir dan Haikal tetap mengikuti langkah mereka. Aina dan Su kehairanan tetapi mereka cuba berlagak biasa.
Entah mengapa, hari ini Haikal ingin sangat memerhatikan wajah Aina dari dekat. Memandang wajah ayu itu seakan memberikan ketenangan perasaan padanya. Tingkah santun Aina juga bisa mencairkan hati lelakinya. Halus budi-bahasa, ramah, lemah-lembut, dan yang paling penting, kuat pegangan agama. Haikal percaya Aina boleh menjadi seorang ibu, isteri, teman, dan kawan yang penyayang kerana Aina memiliki sifat-sifat seorang wanita sejati, wanita dalam erti kata sebenar.
Ada kalanya, sikap Haikal agak pelik. Namun sebagai kawan, Amir mengerti perasaan sahabatnya itu. Amir bukanlah seperti Kuwait mahupun Turki yang langsung tidak memahami Iraq sehingga sanggup membantu Amerika menghancurkan Iraq. Seboleh mungkin, Amir mahu menolong Haikal kerana dia juga pernah mengalami situasi yang sama.
"Haikal. Aku tengok kau macam syok saja dengan budak tutor kau tu," ujar Amir sambil meletakkan bungkusan makanan yang baru dibeli tadi ke atas mejanya.
"Siapa?"
"Kau ni buat-buat tanya pulak. Ala...budak yang pakai tudung labuh tu."
"Ooo.., kau maksudkan Aina?" Haikal hanya tersenyum.
"Ha'ah."
"Sebenarnya..., aku memang minat kat dia. Tapi, macam mana kau boleh tau?" soal Haikal kehairanan. T-shirt Guess? hitam yang baru ditanggalkan dicampak ke dalam baldi.
"Hmm.., aku dah agak dah. Aku kan kawan kau. Tengok gaya kau saja aku dah tau."
Amir puas menyuruh Haikal meluahkan rasa hatinya kepada Aina lantaran sudah lama Haikal memendam perasaannya itu. Bagaimanapun, Haikal enggan. rasa malu mengatasi segala-gala. Bagi Haikal, Aina punyai prinsip agama yang teguh. Haikal bimbang Aina tidak menerima cintanya. Tambah pula, Haikal sememangnya agak kekok bergaul dengan perempuan semenjak di sekolah menengah agama lagi. Jadi, bagaimana dia mahu berterus-terang dengan Aina??
“Aina, awak dapat 3.8 pointer. Tahniah!” Ucap Intan Hasyimah sebaik sahaja bertembung dengan Aina di depan Kooperasi Pelajar.
“Alhamdulilah…Macam mana Syima tahu?” Soal Aina kepada rakan tutorannya itu.
“Tadi masa Aina ke tandas, Cik Zaritha bagi tahu dalam kuliah. Hmm..., ni Cik Zaritha sampaikan surat tahniah dari Pengarah,” ujar Intan Hasyimah. Dia turut berbangga dengan kecemerlangan Aina yang bakal mengharumkan nama tutoran mereka.
“Terima kasih...” Gembira rasa hati Aina. Dia bersyukur kepada Allah.
“Eee.., terror betullah Aina ni. Study last minute pun, result gempak jugak.”
“Mungkin sekarang rezeki Aina agaknya. Lain kali, mana tahu giliran Syima pulak,” tutur Aina merendah diri. Kemudian, Aina meletakkan beg galas Splendournya di atas rak dan meminta Syima menunggunya memfotostat nota kuliah.
Habis memfotostat, Aina dan Syima beriringan pulang ke kolej kediaman mereka yang terletak kira-kira dua ratus meter dari Pusat Pelajar itu tadi.
“Aina, Syima cakap ni Aina jangan marah ye..”
“Hmm...”
“Syima rasa, Haikal minat kat Ainalah.”
Aina Mardhiah memandang wajah Intan Hasyimah sekilas. Aina tahu, Syima juga ada menyimpan perasaan terhadap Haikal. Haikal memang ramai peminat. Dalam kuliah mereka sahaja, sampai dua tiga orang pelajar perempuan menyukai Haikal. Kata mereka, Haikal punyai perwatakan menarik dan senyuman manis.
“Kenapa Syima cakap macam tu?”
“Haikal banyak tanya pasal Aina masa Syima isi borang UPU di lab com dengan dia tadi. Dia tanya Aina apply universiti mana tapi Shima tak tahu. Emm.., Aina ingat tak masa kita bertembung dengan Haikal di tepi dewan lepas dapat result Semester 1? Masa tu, Haikal kan ada tunjuk result paper dia kat Aina. Tapi bila dia tanya result Aina pulak, Aina tak nak bagi tahu sebab Aina malu. Syima rasa.., Ainalah perempuan pertama dan terakhir yang dapat tengok result paper Haikal. Lagipun Syima tengok Haikal selalu berbual-bual dengan Aina padahal Haikal tu kan pendiam, lebih-lebih lagi kalau depan perempuan.”
Aina merasakan luahan Intan Hasyimah itu berbau cemburu. Dibiarkan sahaja Intan Hasyimah berteka-teki sendiri. Dia tidak mahu perkara itu berlanjutan. Namun jauh di sudut hatinya, Aina mengakui kebenaran kata-kata Syima. Sememangnya Aina tidak mampu membalas setiap renungan dan senyuman Haikal tetapi Aina ada cara lain bagi menarik perhatian Haikal, cuma Haikal sahaja yang tidak menyedari. Justeru, apa lagi yang boleh Aina lakukan?
Hakikatnya, Haikal beruntung kerana Aina turut menyukainya dalam diam. Haikal memiliki segala ciri-ciri idaman Aina. Menarik, suka tersenyum, tenang, dan manja... Cuma satu, Aina memerlukan seseorang yang sentiasa boleh membimbingnya di jalan keredhaan Allah s.w.t. dan dia tidak pasti sama ada Haikal memiliki ciri itu atau tidak. Namun bagi Aina, sekalipun Haikal punyai pakej yang lengkap untuknya, ia tidak akan bermakna selagi Haikal tidak ‘membuka langkah’ terlebih dahulu. Dia tidak mahu dianggap seperti ‘perigi mencari timba’. Persoalannya, sampai bila keegoan akan menyelubungi hubungannya dengan Haikal? Aina tiada jawapannya.
“Haa...Kak Aina. Termenung jauh nampak!” Ayuni menepuk bahu Aina.
“Astaghfirullahal’azim…Ayuni ni, terkejut Kak Aina tau.”
“Sorry lah, Ayuni tak sengaja. Tak sangka pulak Kak Aina terkejut. Itu mesti tengah ingat ‘buah hati’, kan?”
“Mana ada…” Aina menjeling manja. Ayuni Nor, pelajar tahun dua Sarjana Muda Sains Pemutusan itu hanya tersenyum sinis.
“Tadi..., Ayuni terserempak dengan Abang Haikal dan Abang Khusyairi di The Mall. Dia suruh sampaikan pada Kak Aina, mesyuarat MPP akan ditunda dari pukul 8.00 ke pukul 9.00 malam. Lagi satu, Abang Haikal suruh bawa proposal yang kena bentang malam ni”
“Kalau macam tu, bolehlah Kak Aina tolong Kak Ummi handle usrah lepas maghrib nanti. Okay, thanks Ayuni.”
Ayuni mengangguk cuma sambil memasang butang baju B.U.M.nya. Kemudian, Ayuni menyembur seluruh tubuhnya dengan minyak wangi Issey Miyake. Aina pula bingkas bangun dan mencapai tuala merah di ampaian menuju ke bilik air.
“Perkara penting yang perlu kita tekankan melalui Majlis Perwakilan Pelajar semestinya mencakupi soal kebajikan penuntut dalam semua aspek. Justeru, kita tidak boleh memandang enteng isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau PTPTN ini. Atas alasan itu juga, saya berpendapat kita perlu segera mengatasi masalah kesukaran mendapatkan pinjaman untuk membiayai pengajian bagi sesetengah pelajar.” Tegas suara Khairul Nizam selaku Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar menjelaskan pendiriannya.
“Bagaimanapun, pada semester lalu kita telah cuba memperjuangkan isu ini, tetapi kurang berjaya. Oleh itu, pada sesi ini kita memerlukan pendekatan lain yang lebih berkesan untuk menanganinya dan untuk itu, kita mahukan cadangan yang bernas daripada exco-exco yang hadir..,” sambung Mohd Haikal pula, mengharapkan strategi yang lebih baik. Sememangnya Haikal sudah jauh berubah, tidak lagi seperti dulu! Dia kini lebih matang dan berani. Dahulu, suaranya tidak pernah selantang ini walaupun dia turut terlibat dalam aktiviti kepimpinan.
“Ya, saudari Aina Mardhiah! Ada apa-apa saranan untuk dikemukakan?” Tanya Khairul Nizam, bakal seorang kaunselor.
Bagai gelagat Bush selepas World Trade Centre diserang, Aina menggelabah mencari idea, menghindar diri dari ditempelak. Sebagai exco tertinggi, prestasi Aina pasti diperhati. Malulah dia kalau tidak dapat memberi cadangan yang berimpak!
Jarum pendek jam Roscani di tangan kiri Aina sudah mencecah ke angka dua belas. Mentari semakin meninggi, terpacak di atas kepala. Aina tidak sedar masa begitu pantas berlalu. Perhimpunan Aman Malaysia yang disertai lebih 5,000 warga Kedah daripada segenap lapisan masyarakat baru sahaja tamat. Perhimpunan di Stadium Alor Star itu diharap dapat melumpuhkan semangat tentera bersekutu AS, Britain, dan Australia daripada terus membedil bumi Iraq. Semoga ia juga dapat membuka mata dunia betapa kejamnya AS dan sekutu-sekutunya malah betapa lemahnya PBB dalam memelihara keamanan dunia.
“Macam mana ni Kak Ummi? Pukul 1.20 nanti Aina ada tutorial ganti. Sempat ke kita sampai kolej?”
“Bertenang Aina... Kalau bas lambat sangat, kita naik teksi saja.” Ummi Thuwaibah berusaha menenangkan Aina. Dia pun tidak suka menunggu lama di situ, membuang masa.
Tiba-tiba, sebuah kereta Kancil dicat biru metalik, berhenti betul-betul di hadapan mereka.
“Assalamua’laikum.”
“Wa’alaikumsalam warahmatullah...”
“Kak Ummi dan Aina nak balik ke kolej ke?” Soal Syazwan seraya menurunkan cermin kereta. Aina dan Ummi mengangguk serentak.
“Kalau macam tu, kami boleh hantarkan sebab kami pun nak balik Kolej PERWAJA ni. Lagipun, bas mesti penuh hari ni.” Haikal mempelawa mesra.
Dua orang mahasiswa Sekolah Perakaunan, seangkatan dengan Aina. Mereka memang murah hati terutamanya Haikal. Aina memang tidak menyangka akan bertemunya kembali di universiti. Mungkin inilah yang dikatakan jodoh ketentuan tuhan. Namun, Haikal bukan kepunyaanya..., bukan miliknya lagi. Hati Haikal telah ditawan insan lain.
Aina terasa pehanya seperti dikuis. Dia menoleh.
“Haikal tengah bercakap dengan Aina tu,” maklum Ummi Thuwaibah.
“Baguslah cadangan Aina tentang isu PTPTN malam tadi. Haikal rasa usaha kita kali ni takkan sia-sia, Insya Allah.”
“Kalau usaha kita ni berhasil, syukurlah… Aina cuma mencuba saja.”
“Nampak gaya, Aina ni ada talent jadi Dr. Zeti Akhtar Azizlah.”
Mendengar kata-kata Haikal itu, serebrum Aina pantas mena’akul pemikiran. Bukan mudah untuk menjadi pemimpin berkaliber yang disegani ramai. Untuk mengekalkan prestasi sebagai exco tertinggi di kalangan 34 exco MPP pun sudah cukup mencabar bagi Aina. Pengalaman? Boleh tahan. Aina pernah diberi peluang memimpin sebuah Badan Dakwah dan Kerohanian dan beberapa buah persatuan akademik sewaktu di sekolah menengah dulu. Dari situ, sedikit-sebanyak Aina tahu bagaimana caranya mahu mengendalikan sesebuah organisasi, dan mungkin nanti sebuah syarikat pula. Kendatipun begitu, Aina mengakui ilmu kepemimpinannya masih setampuk pinang.
“Piiinn, piiinn…!!!” Pemandu Daihatsu Ascend di belakang mereka memberi isyarat.
“Kenapa kereta ni Haikal?” Syazwan cuak! Ummi dan Aina turut cemas!!
Haikal yang sedang memandu, kebingungan. Kereta terhenjut-henjut. Tanpa dikawal, gerak kereta beransur perlahan..., dan akhirnya terhenti sendiri di bahu jalan.
Petang itu Aina tidak jadi ke tutorial. Setelah kereta Haikal dihantar ke bengkel, mereka terus pulang dengan teksi. Namun sehingga menjejakkan kaki ke Kolej EON, fikiran Aina masih tidak lekang daripada mengingati butir-butir perbualannya dengan Haikal di Masjid Sultan Badlishah zohor tadi. Kenapa baru sekarang Haikal begitu hampir dengannya? Semenjak melangkah ke UUM, cuma beberapa kali Aina berurusan dengan Haikal. Itupun kerana mereka satu sekolah dan sama-sama 'bermain' di dalam gelanggang MPP. Namun, tahun akhir ini menyaksikan keintiman perhubungan mereka. Apakah masih ada ruang untuknya...?
Suasana hingar-bingar dengan suara siswa-siswi yang sedang enak menikmati minum petang. Kelihatan dua orang siswi rancak berbual di suatu sudut, tanpa makanan dan minuman. Mungkin barisan pengunjung Sri Nongka Food Court yang terlalu panjang membantutkan selera mereka. Dari jauh, jelas terpancar raut wajah mereka yang agak tegang.
“Haikal kan dah bertunang. So, tak manislah kalau Aina rapat dengan dia.” Kata-kata Maisurah itu terasa bagai sembilu menusuk kalbu Aina.
“Tapi Kak Syurah.., Aina rapat dengan dia hanya kerana tugas dan tanggungjawab!”
Pandangan Penuntut tahun akhir jurusan Teknologi Maklumat itu tepat menikam anak mata Aina. Aina segera menukar pandangan. Serba-salah.
“Aina, akak tahu tu. Tapi, Aina mesti paham… Hubungan Airin dengan Haikal tengah dingin sekarang. Takkan kita nak biarkan hubungan mereka bertambah teruk, kan?” Jelas Siti Maisurah begitu mengambil berat perihal adik bongsunya, Siti Adriana.
Aina tegar. Siti Adriana memang bertuah memiliki Haikal. Begitupun, tidak pernah terlintas langsung di hati Aina untuk merampas tunangannya itu. Aina tersepit oleh situasi. Namun, dia tidak akan membiarkan dirinya menjadi salah-satu faktor penggugat ikatan mereka. Aina ada maruah! Jangan sampai namanya dicanang-canang.
Aina menyudahkan siraman terakhir. Ligat tangannya mengelap tubuh, menyarung maxi Bianca, lantas menerpa ke arah Fizah. Ayuni Nor yang sedang membasuh, tersenyum melihat gelagat Aina.
“Betul ke apa yang Fizah cakap ni?”
“Iye… Kak Syurah yang bagi tahu Fizah lepas jamuan perpisahan Prof. Rasyidi tadi.”
“Tak sangka kan, Fizah? Dah hampir 2 tahun mereka bertunang. Fizah rasa, Haikal dan Airin putus tunang sebab Aina ke?”
“Ishh.., tak lah! Fizah dengar orang kata, keluarga Airin memang dah lama nak putuskan pertunangan cuma mereka tunggu masa yang sesuai saja. Mak bapak Airin sebenarnya dah ada pilihan sendiri…”
“Ooo.., kisahnya... Itulah kehendak Allah, kan? Tak siapa yang tahu.”
“Ha’ah, betul tu! Aina tak usahlah risaukan kata orang. Kalau kita berada di tempat yang benar, Allah akan tolong kita. Kita tawakkal sajalah. Hmm…dah tu Aina, bagi Fizah mandi pulak!”
kasihan Haikal, sudah jatuh ditimpa tangga pula. Semenjak Siti Maisurah bersua dengan Aina beberapa minggu lalu, persahabatan Aina dengan Haikal yang sehangat gunung berapi itu menjadi dingin. Tidak meletup dan tidak memuntahkan larva tetapi tiba-tiba sahaja membeku! Kendatipun ia tidak sedingin Kutub Utara mahupun Kutub Selatan, namun tetap membuatkan Aina menggigil. Aina pasrah!
“Hai… Assalamua’laikum cik Aina! Struggle nampak?”
Aina mengangkat kepala. Ah, Shahrul Hisyam rupanya! Dua orang siswi yang semeja dengan Aina turut menoleh. Maklumlah.., Perpustakaan Sultanah Bahiyah ketika itu agak lengang dan sunyi.
“Nah! Ada orang suruh bagi kau surat ni.”
“Terima kasih.”
“Sama-sama...” Shahrul membalas sambil tersengih dan berlalu pergi.
Aina sebenarnya sekuliah dengan Shahrul, tetapi mereka jarang bertegur sapa kerana sikap Shahrul yang gila-gila dan suka mengusik sering membuatkan Aina rasa tidak selesa berkawan dengannya. Lagipun Shahrul cukup terkenal dengan sikap kasanova, menambah kedengkelan Aina terhadapnya.
“...Lirik senyummu manis sekali
Gerak langkahmu memikat hati
Peri lembutmu memukau diri
Baru kini aku menyedari
Ia sekuntum mawar berduri
Yang semestinya daku miliki…”
“Haa.., Fizah dah agak dah. Lelaki yang suka pada Aina mesti sebab perangai Aina yang lemah-lembut ni, macam ‘perempuan melayu terakhir’...” Fizah membuat kesimpulan sendiri seraya melabuhkan punggung ke atas bangku di Tasik Guthrie, sejurus selepas mereka melangkah keluar dari perpustakaan.
“Kenapa Fizah kata macam tu?”
“lah.., Fizah ingat lagi Hafizi dan Idhar. mereka cakap mereka minat Aina sebab Aina lembut. Cuma bezanya Fizi tu karang esei, Idhar main kata-kata, ‘Yang Memerhati’ ni pulak cipta sajak!”
Aina tersipu mendengar kata-kata Fizah. Dari saat itu, Aina sering menerima surat-surat misteri daripada ‘Yang Memerhati’. Boleh dikatakan hampir setiap minggu Aina menatap surat baru. Kadang-kala Aina dihadiahi buku-buku ilmiah. Yang paling Aina gemari, ‘Muslimah Cemerlang’ hasil karya Dr. Fazilah Kamsah, tokoh motivasi yang paling dikaguminya. Aina mengakui, sememangnya penantian benar-benar satu penyeksaan. Hatinya sering tertanya-tanya. Nalurinya sentiasa melonjak-lonjak ingin tahu siapakah pengirim misteri itu, yang Aina fikir agak warak. Keadaan ini berterusan sehinggalah tibanya 15 September, seminggu sebelum berlangsungnya Hari Konvokesyen yang juga hari lahir Aina ke-23 tahun.
“Wow, cantiknya!!” Semua mata tertumpu ke arah Ayuni Nor. Tertarik!
“Jubah mini warna peach. Siap dengan selendang Wardina lagi. Cayalah..!! Macam tahu-tahu saja citarasa Aina.” Ayuni menjerit girang, tumpang gembira.
“Sshhh… anda ni kecohlah! Dah pukul satu pagi ni, nanti budak bilik sebelah temper pulak!” Nurul Hafizah menegur. Perlahan.
Tidak semena-mena, sepucuk warkah biru jatuh dari lipatan selendang di tangan Ayuni. Cepat-cepat Aina mencapainya. Sah!! Daripada ‘Yang Memerhati’.
* * *
Aina dan Fizah melangkah pantas, menyusup di celah-celah ribuan penonton yang berpusu-pusu pulang. Gundah hati Aina kian terasa. Gementar untuk bertemu insan misteri yang selalu sahaja meninggalkan seribu satu soalan di benaknya. Setibanya di pintu besar Dewan Mu'adzam Shah, kaki Aina dan Fizah berhenti menapak. Meninjau-ninjau kelibat seseorang, ‘Yang Memerhati’. Ah, mungkin itulah dia! Aina meneka. Seperti yang digambarkan melalui warkah biru, berkot pumpkin serta berkopiah Raihan. Tepat! Namun, Aina lekas menyedari sesuatu. Benarkah apa yang dilihatnya?? Sekonyong-konyong, lelaki itu berpaling ke arah mereka. Aina terkesima. Ya Allah, terlalu agung kuasamu! Sungguh, memang Aina tidak menyangka Haikal begitu banyak menyimpan rahsia dirinya…
“Ya, Aina... Haikallah orang yang Aina cari-cari tu.” ujar Mohd Haikal, tersenyum penuh makna. Mungkin menyedari kegugupan Aina. Nurul Hafizah yang setia berdiri di sisi Aina turut tersenyum lebar.
“Tahniah atas kejayaan Aina..!” Tambah Mohd Haikal sambil mengerling gulungan ijazah di tangan Aina.
“Terima kasih. Haikal pun sama, tahniah! Err.., sebenarnya Kenapa Haikal nak jumpa Aina ni?” Memahami isi surat, Aina Mardhiah tahu Haikal ada menyimpan tujuan lain.
Haikal membetulkan jubah biru tua di lengannya. Dia bingung. Tidak tahu mahu memulakan dari mana.
“Mmm…, sebelum Haikal cakap ni, Haikal minta maaf kalau Aina rasa Haikal terlalu berterus-terang.” Ada getar di hujung suaranya.
“It’s okay..” Perasaan Aina sudah semakin reda. Tenang.
“Sebenarnya.., Haikal dah lama sukakan Aina, semenjak kita study di matrikulasi lagi. Sekarang, Haikal dah bersedia nak melamar Aina. Itupun kalau Aina sudi…”
Laksana wanita Afghanistan yang diisytihar bebas daripada kemelut Thaliban, Aina terkelu. Mindanya keliru. Aina seperti tidak percaya. Haikal sungguh berani! Lancar nian bait-bait kalimah yang meluncur keluar dari mulut Haikal. Namun di sebalik itu, Aina begitu yakin Haikal punyai masa yang lebih dari cukup serta alasan yang kuat untuk memutuskan natijah itu. Sesungguhnya, lamaran Haikal itu telah meletakkan Aina di suatu tempat yang Aina sendiri susah untuk gambarkannya. Gembira, terharu, tenang, bahagia, dan bermacam-macam lagi perasaan yang membuahkan benih-benih kesyukuran. Tanpa sedar, Fizah menggenggam erat tangan Aina. Perlahan-lahan air mata Aina gugur ke bumi. Ya Allah, terima kasih di atas i’nayah-Mu.....

 

  Kreatif


Komen


": Semilir Kasih Aina Mardhiah..." | Login/Mendaftar | 3 Komens
Threshold
Komen di sini adalah hakmilik yang menghantar. Pihak Pengurusan Portal tidak ada kena mengena.


Re: Semilir Kasih Aina Mardhiah...
oleh ummisolehah pada Jumaat, 19 September 2003 @ 11:43:30
(Info AHLI)


assalamualaikum...

jika cinta kerana Allah
jika sudah tersurat terciptanya dia utk mu...
walau terpisah dek seribu halangan,
pasti ketemu jua akhirnya didalam restu-Nya..
yg pastinya, berdoalah kepada Yg Esa....

-ummisolehah-
[ Tetamu tidak dibenarkan memberi komen. Sila mendaftar ]


Re: Semilir Kasih Aina Mardhiah...
oleh ismi_safiza pada Isnin, 22 September 2003 @ 21:59:07
(Info AHLI)
assalamualaikum...
sememangnya cinta insan yg mendamba cinta ilahi itulah pilihan dalam tadahan doa ini...

semoga dirahmati...
]


Re: Semilir Kasih Aina Mardhiah...
oleh raudhatulmardhiah ([email protected]) pada Isnin, 03 Mac 2008 @ 14:15:57
(Info AHLI) http://intelligentsufi.blogs.friendster.com/intelligent_sufi/
syukran yaa uktie.. (",)
]



-------------------------------------------------------------------------------
Portal Komuniti Muslimah
© Hakcipta 2003 oleh Hanan Alam Faizli / Hanan Network
Made in: Bandar Sunway, Selangor
Tarikh Mula: 17hb April 2003

Dibina oleh: Team Walasri

Ditadbir oleh:





Loading: 0.33716 saat. Lajunya....