Array
Welcome To Portal Komuniti Muslimah -- Hanan.com.my.my

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 18-04-2024  

  Suka!
New Page 1

  Mutiara Kata
"Ketahuilah kiranya kebahagiaan orang yang dikuasai oleh kemalasan, maka beratlah mereka untuk berjuang, berlatih dan bekerja untuk sucikan diri dan akhlak."
-- Imam Al-Ghazali

  Menu Utama

  Keahlian Portal Komuniti
Terkini: Maisarah99
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 13727

  Sedang Online
Assalamualaikum
Tetamu

Nickname

Password



[ Mendaftar ]

Sedang Online:
Tetamu: 21
Ahli: 0
Jumlah: 21




  Dari Galeri
assalamu'alaikum...salam ukhwah dr ana.. inilaa gambar ana ngan member cyber yg best....! :)

  Yang Masuk Ke Sini
kasih_kekasih: 476 hari yang lalu

Presiden Rebecca
 Posted on Sabtu, 24 Julai 2004 @ 11:19:59oleh Hanan
Kreatif hajidah_aiman menulis REBECCA meluru keluar dari kelasnya tanpa mempedulikan teriakan kawan-kawannya yang meminta dia menunggu supaya mereka dapat bersaing. Ann Marie termengah-mengah ketinggalan kira-kira dua meter di belakang. Begitu juga dengan Susan yang biasanya menjadi teman saingannya ketika pulang. Kali ini Rebecca tidak bersama-sama mereka seperti selalunya. Rebecca terus berlari dan merasakan kakinya tidak cukup laju membawa katih fikirnya yang telah sampai jauh ke dunia yang lain. Dia tidak sabar-sabar untuk sampai ke kereta Daddy. Ada berita gembira yang mahu dikhabarkan. Ada cerita sensasi yang mahu dikongsi dengan Mommy.

Ann Marie dan Susan sudah berputus asa untuk mengejar rakannya. Rebecca telah pun sampai ke pintu kereta Daddy. Dengan pantas dia membuka dan meloncat masuk ke dalam bagai dikejar seekor anjing gila lagaknya. Nafasnya masih turun naik dengan pantas tetapi bibirnya sempat menghadiahkan senyuman nakal kepada Daddy.

``Bukankah Daddy sudah pesan jangan berlari bila habis sekolah, Rebecca.'' Teguran Daddy hanya lalu seperti angin musim panas yang bertiup pantas dan kemudiannya hilang. ``Luka pada lutut kau tu masih belum hilang parutnya.''

Kata-kata Daddy langsung tidak singgah di benaknya. Fikirannya cukup rancak memikirkan perkara yang akan disampaikan kepada Daddy dan Mommy. ``Daddy, cepatlah pandu pulang, ada berita gembira yang saya mahu beritahu.''

``Hmmm ceritalah sambil Daddy memandu.''

``Tak boleh. Nanti saya kena ulang cerita yang sama pada Mommy pula. Saya mahu cerita pada Daddy dan Mommy.''

``O.K.'' ujar Daddy sambil memasukkan gear automatik keretanya dan menekan pedal minyak. ``Jadi, apa yang berlaku di sekolah hari ini?''

``Daddy tentu takkan percaya siapa yang datang ke sekolah hari ini.''

``Tentu saja Daddy percaya kalau puteri Daddy yang ceritakan.''

``Tadi kan,'' Rebecca memulakan. Kemudian menyedari taktik Daddy. ``Eh, Daddy cuba korek rahsia, ya! Tunggulah bila kita sampai rumah nanti.''

Daddy ketawa melihat telatah anak gadisnya sambil menelusuri jalan raya menuju ke kawasan perumahan mereka.

``Mommy nak tahu, hari ini kami telah menulis petisyen pada Mr. Presiden.''

``Hah, petisyen apa, Rebecca?''

``Supaya kami dapat mengikuti kumpulan yang menghantar bekalan dan pakaian ini ke Kabul nanti.''

``Apa maksudmu, `kami'?''

``Ann Marie, Susan, Richard, Billy dan saya. Kami mahu jadi wakil kanak-kanak untuk menyampaikan pemberian kami pada mereka. Kami cuma mahu pastikan apa yang kami beri ini sampai pada `kawan-kawan' kami di sana. Kami tak mahu hadiah kami nanti disalahgunakan.''

Cassandra kehilangan kata-kata. Dia sekadar memandang pada suaminya yang masih tekun membaca akhbar edisi petangnya. Dia tidak menjangka begitu jauh sekali tindakan anak-anak itu.

``Tapi saya juga ada selitkan sepucuk surat untuk Mr. Presiden.''

Seperti tidak habis-habis kejutan yang dibawa pulang oleh Rebecca hari ini. Cassandra turut tidak dapat mematikan rasa ingin tahunya. ``Apa yang kautulis padanya?''

``Saya tulis begini:

Mr. Presiden,

Sejak kebelakangan ini, Daddy tidak henti-henti menonton berita CNN hingga sukar untuk saya menonton rancangan kegemaran saya. Bila saya bertanya mengapa kanak-kanak di negara yang bernama Afghanistan itu kesejukan dan kelaparan, Daddy jawab yang mereka dilanda peperangan. Kata Daddy, tuan yang memerintahkan supaya tentera kita menyerang mereka untuk menangkap seorang musuh. Tapi saya tidak faham mengapa negara itu harus dibom hanya untuk memberkas seorang musuh. Dan sehingga kini musuh itu masih dapat melarikan diri. Daddy juga tidak dapat menjawab persoalan saya dengan baik.

Oleh itu, saya ingin mencadangkan kepada tuan supaya menghantar pasukan FBI dan CIA kita yang cukup hebat untuk menangkap penjahat yang seorang itu. Kalau benar dia sangat sukar untuk ditawan, ajaklah sekali Mr. Bond untuk mengambil misi ini. Saya percaya Mr. Blair dari Kerajaan British tidak akan teragak-agak untuk membantu.

Dengan cara ini, kita boleh hentikan peperangan ini dan juga menangkap penjahat yang amat dikehendaki ini. Saya harap awak dapat mempertimbangkan cadangan saya supaya kanak-kanak di sana dapat hidup dengan aman seperti saya di sini. Jika awak menghentikan peperangan ini, barulah saya dan kawan-kawan saya dapat menghantarkan hadiah kami kepada mereka dengan selamat.''

Cassandra berasa terpukul dengan sikap naif serta kejujuran anaknya! Betapa anak-anak dunia ini diperlakukan semudahnya oleh ketidakadilan dunia jua. Bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York tidak mampu lagi menjadi benteng yang melindungi mereka walau di mana mereka berada. Resolusi yang tebal itu juga tidak boleh mengubah nasib mereka di sana.

Harapan dan nasib mereka juga turut lebur seperti mana harapan Rebecca untuk mengindahkan kembali dunia ini. Seperti mana hancurnya bumi Kabul, Kandahar, Mazar-e Sharif dan bandar-bandar lain di sana. Siapalah yang mampu mendengar suara-suara kecil ini jika dunia ini didominasi oleh orang-orang dewasa yang bermain perang-perang lebih taksub daripada anak-anak kecil. Lebih daripada remaja yang bermain permainan komputer Red Alert: Command and Conquer.

Namun sebuah harapan terkubur bila janji yang dilukis terpadam begitu sahaja. Harapan Rebecca tinggal tak kesampaian.

TETAPI itu kisah setahun lalu. Keghairahan Rebecca lenyap seperti hujan batu yang turun di musim panas. Kisah WTC yang telah menjadi Ground Zero juga makin pudar di laman warta dunia. Pemimpin Afghanistan sudah pun bertukar ganti. Tumpuan dunia jadi berkalih. Rebecca pun kembali ke rutin asalnya - menjadi seorang murid sekolah.

``Mommy! Mommy!'' teriak Rebecca sebaik sahaja dia sampai di muka pintu rumahnya. Pintu kereta pun tidak sempat ditutupnya. Dia tidak sabar-sabar lagi mahu menyampaikan maklumat terkini kepada ibunya.

Puan Cassandra yang menyambutnya di ambang pintu itu duduk berteleku sambil membalas pelukan anak kecilnya. ``Apa yang berlaku di sekolah hari ini, Rebecca?''

``Mommy tentu tidak percaya apa yang saya akan ceritakan.''

``Apa kata kita makan tengah hari sambil Rebecca bercerita?'' cadang ibunya.

``Baiklah.''

Belum pun sempat Puan Cassandra habis menghidang, Rebecca telah pun memulakannya, ``Saya menang tempat pertama pertandingan menulis karangan, Mommy!''

``Wah, tahniah anakku!''

``Terima kasih. Mommy dan Daddy nak tahu hadiahnya?''

Puan Cassandra dan suaminya mengangguk-angguk laju.

``Saya dapat jadi apa yang saya tulis di dalam karangan saya.''

``Apa yang kamu tulis?'' celah Daddy.

``Karangan saya bertajuk: Apa yang akan saya lakukan jika saya menjadi Presiden untuk satu hari.''

``Presiden apa? Presiden kelab kanak-kanak atau Presiden kelas?'' soal Daddy lagi.

``Bukanlah, Daddy. Presiden Amerika Syarikat!''

Puan Cassandra cuma tersenyum dengan gelagat Rebecca sambil mengunyah hidangannya.

``Jadi, Mommy, Daddy, minggu depan, saya akan berada di Rumah Putih! Alangkah seronoknya!'' Rebecca masih lagi belum mengusik makanannya oleh kerana terlalu asyik bercerita. ``Saya mengalahkan Micheal yang mendapat tempat kedua. Dia nampaknya begitu marah bila cikgu umumkan keputusan pertandingan.''

Malam itu, Rebecca tidak dapat melelapkan matanya. Terlalu banyak yang difikirkan tentang lawatan seharinya ke Rumah Putih itu nanti. Dalam ruang mindanya, dia telah menyasarkan apa yang bakal diperkatakan kepada Tuan Presiden. Ketua negaranya itu pasti akan bertanyakan kepadanya tentang cadangan serta perubahan yang akan dibawa oleh Rebecca.

Puan Cassandra mendengar senarai yang dibacakan oleh anaknya pada waktu sarapan pada keesokan paginya. Sambil mengunyah roti bakar bermentega, Rebecca bercerita dengan penuh semangat, ``Mommy, saya akan beritahu Tuan Presiden bahawa saya juga menyokong tindakannya untuk menghentikan sebarang bentuk keganasan di dunia. Tapi, kita tak boleh perangi orang lain untuk menghentikan keganasan. Itu bermakna kita sama sahaja seperti mereka. Betul tak, Mommy?''

``Ya, sayang.''

``Contohnya, macam anak jiran kita, si Micheal, yang membaling batu pada rumah kita hari itu. Kita tak sepatutnya membaling batu ke rumahnya untuk membuatkan dia berhenti daripada tindakannya.''

Puan Cassandra tersenyum bangga dengan kebijaksanaan anaknya menggarap konsep keganasan dan keamanan. ``Apalagi yang akan kauperkatakan pada Tuan Presiden?''

``Kita tak perlu kawal orang lain tentang bagaimana dia harus bertingkah laku di dalam rumahnya sendiri. Jadi, kita patut berhenti daripada mengganggu negara lain. Biar mereka selesaikan masalah mereka sendiri. Kita hanya patut tolong bila bantuan kita diperlukan,'' jelas Rebecca lagi.

``Lepas itu, saya akan jelaskan lagi kepada Tuan Presiden yang kita harus menumpukan kepada kelemahan negara kita sendiri. Orang yang tidak berumah masih ada di mana-mana di Amerika dan ini amat memalukan kerana kita telah dilabel oleh dunia sebagai negara yang maju. Kita patut berikan mereka tempat perlindungan dan pekerjaan yang sesuai untuk mereka menyara hidup.''

``Dan yang paling penting sekali, Mommy,'' cerita Rebecca seperti tiada kesudahannya. ``Kerajaan patut mengurangkan jadual bekerja lebih masa supaya anak-anak akan mendapat waktu yang lebih bersama ibu bapa mereka. Selain daripada itu, suri rumah tangga, seperti Mommy, harus dibayar gaji yang setaraf dengan tahap pendidikannya supaya mereka dapat menjaga anak dengan baik seperti Mommy. Barulah kita dapat kurangkan gejala sosial kerana anak-anak dapat bersama dengan keluarga mereka. Barulah, negara kita akan kurang satu lagi masalah sosial. Betul tak, Mommy?''

``Hmm anak Mommy ni, memang cukup bijak. Kau tahu, Rebecca. Kalaulah kau betul-betul jadi seorang calon Presiden Amerika, Mommy akan pastikan undi untukmu cukup. Biar impianmu ni benar-benar jadi kenyataan.''

Puan Cassandra sebetulnya bertambah terharu dengan tindakan anaknya. Rebecca anak yang cukup istimewa buatnya. Tiba-tiba dia hilang rasa sebal dan kesal kerana menjadi seorang suri rumah tangga sepenuh masa kerana dapat mendidik Rebecca dengan sempurna. Walaupun kata-katanya tadi jelas membayangkan kejujuran hati seorang kanak-kanak apatah lagi sikapnya yang naif, tetapi semua itu mengandungi sejumlah kebenaran yang tidak dapat disangkal lagi. Hatta oleh Tuan Presiden sendiri.

Rebecca seolah-olah menjadi suaranya yang tidak kesampaian. Ada nyala rasa yang dapat diwariskan kepada anak gadis suntinya.

Biarlah Rebecca bergelar Presiden hanya untuk satu hari. Tapi Presiden Rebecca akan menyatakan segalanya dengan seribu satu macam keberanian. Presiden Rebecca akan naik ke persada Rumah Putih tanpa sebarang desakan politik atau wang sekalipun. Dia ke sana bukan untuk mencipta satu lagi perang di dunia ini. Presiden Rebecca mahu menghentikan peperangan, keganasan dan membawa pulang keamanan.

Tiada apa lagi yang Puan Cassandra inginkan selain melihat impian anaknya untuk membawa keamanan benar-benar terhasil. Dalam diam dia memasang angan. Biarlah hendaknya, satu hari nanti Presiden Amerika ini seorang perempuan. Mungkinkah Rebecca sendiri bakal memecah tradisi itu satu hari nanti? Siapa tahu? Tuah anaknya bukan seperti tuah seekor ayam. Sifat kewanitaan itu yang mahu diangkat ke Rumah Putih supaya tidak ada lagi kisah bermain perang-perang di kalangan orang dewasa yang masih bersifat seperti budak lelaki bermain askar-askar mainan mereka.

Hari yang dinantikan pun tiba. Rebecca telah bersiap awal-awal pagi lagi. Dia mengenakan pakaian serba putih yang dipilih seperti mahu menyerlahkan segenap jiwanya. Dia telah memesan kepada Daddy supaya mendapatkan sepasang merpati putih dari kedai haiwan peliharaan tidak jauh dari rumah mereka. Diikatnya reben biru pada leher setiap merpatinya.

``Merpati ini simbol kedamaian,'' kata Rebecca memberitahu Daddy tempoh hari.

Temu janjinya dengan Tuan Presiden pada pukul 10.00 pagi. Rebecca harus ke sekolah dahulu untuk berkumpul dengan guru-guru pengiring serta teman-temannya yang telah dipilih oleh pihak sekolah untuk menyertai rombongannya.

Tepat jam sembilan pagi, Rebecca telah sampai ke kelasnya. Mommy dan Daddy turut hadir pada hari bersejarah anak mereka. Rebecca memeriksa sekali lagi kertas cadangannya yang telah ditulis dengan baik di dalam saku jaketnya. Dia harus pastikan kertas itu ada di sampingnya ketika dia membacanya di hadapan Tuan Presiden kelak. Ann Marie, Susan, Richard, Billy serta teman sekelasnya yang lain telah pun mengerumuninya. Sepasang merpati di dalam sangkarnya itu amat menarik perhatian. Setiap yang hadir telah bersedia. Mereka akan bersama-sama menaiki bas ke Rumah Putih pagi itu.

``Ada sesiapa nampak Micheal?'' soal guru kelasnya. Mereka yang menyertai pertandingan ini layak untuk ke Rumah Putih bersama pemenang pertama. Gurunya berasa musykil.

``Tak ada, cikgu.'' jawab beberapa orang murid.

``Hmm kita tak boleh tunggu lagi. Nanti kita semua akan terlewat.''

Rombongan itu didahului oleh Rebecca sendiri. Sangkar burungnya dibawa bersama untuk dihadiahkan kepada Tuan Presiden. Cadangannya, sepasang burung merpati itu akan sama dilepaskan oleh Rebecca dan Tuan Presiden nanti.

Tiba-tiba terdengar jeritan nyaring daripada seorang murid yang berada di belakang sekali. Kesemuanya menoleh ke arah yang sama. Serta-merta mereka berkuak ke tepi apabila seorang budak lelaki meluru ke hadapan. Rebecca adalah orang yang terakhir berpusing kerana dia dilindungi oleh teman-temannya.

Demi dia terpandang budak lelaki itu, dia disergah kejutan.

``Micheal!!!'' Cetusan nama itu dari bibir Rebecca bergerak serentak dengan sebutir peluru yang diletus oleh pistol di tangan Micheal. Impaknya membuatkan Rebecca tercampak ke belakang dan terbaring di sisi bas yang akan membawa mereka ke Rumah Putih.

``Rebecca!!!'' teriak Puan Cassandra dan suaminya. Daddy memangku Rebecca. Sangkar di tangannya terlepas dan pintu terbuka sendiri. Sepasang merpati kedamaiannya terbang keluar mencari misi keamanan dunia. Baju putihnya terus bertukar warna. Rebecca terkulai dengan sebutir peluru tertanam di bahu kirinya.

Presiden Rebecca menerima nasib yang sama seperti Abraham Lincoln dan John F. Kennedy sendiri.

Kertas cadangan Rebecca turut basah dilumuri keganasan yang mahu dihentikan. Dia belum sempat membacanya, tetapi perjuangannya mendapat perhatian.

Ambulans paramedik bergegas datang dan membawa Rebecca pergi. Harapan Rebecca tak kesampaian. Di sini bukan tempat untuk anak istimewa seperti Presiden Rebecca!

Presiden Rebecca
Oleh NISAH HAJI HARON

 

  Kreatif


Komen


"Presiden Rebecca" | Login/Mendaftar | 0 Komens
Threshold
Komen di sini adalah hakmilik yang menghantar. Pihak Pengurusan Portal tidak ada kena mengena.




-------------------------------------------------------------------------------
Portal Komuniti Muslimah
© Hakcipta 2003 oleh Hanan Alam Faizli / Hanan Network
Made in: Bandar Sunway, Selangor
Tarikh Mula: 17hb April 2003

Dibina oleh: Team Walasri

Ditadbir oleh:





Loading: 0.20253 saat. Lajunya....