Ukhwah.com

Cemburu Pada Yang Pergi Haji

Musim Haji 1443H sudahpun berlabuh. Pelbagai coretan tulisan, perkongsian gambar, dan juga ‘siaran lansung’ video daripada teman-teman yang sedang berada di Mekah menunaikan fardu haji. Kita di sini melihat, sambil kadang-kadang merembeskan air mata tanpa sedar. “Betapa mereka adalah tetamu Allah. Sedang aku masih di sini”.

Saya mengikuti secara dekat perjalanan musim haji pada tahun ini. Sedikit berbeza berbanding tahun yang sebelumnya, haji tahun ini istimewa kerana sudah 2 tahun ibadah haji tak dapat ditunaikan oleh rakyat negara luar Arab Saudi. Tambahan pula dengan pelbagai norma baharu, menjadikan haji kali ini tampak berbeza.

Sahabat karib saya Khairul, yang saya panggil Keon kini sudah bergelar Haji. Saya dan Keon sama-sama umrah pada hujung bulan Februrari yang lalu. Satu perkataan ringkas yang diucapkannya dan diulang-ulang.

“Ana nak pergi haji lah tahun ini”. Ringkas sahaja. Tapi sentiasa diulang.

Semasa ziarah di Kompleks Jamrah, Keon terus membayangkan

“inshaAllah dapat pegi haji tahun ini, inilah tempat melontar ya Safa?” dengan penuh yakin. Sedangkan saya hanya menyebut “semoga Allah panggil aku menunaikan Haji secepat mungkin”.

Keon menetap di Australia. Dia menggunakan kuota negara non-muslim. Pemilihan jemaah dari negara non muslim ni jauh lebih sukar kerana kuota yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi sedikit sahaja. Namun, subhanallah, jika Allah dah pilih, maka terpilihlah Keon menjadi Haji pada tahun ini.

Tidak kurang juga rakan-rakan sekeliling dan juga jiran tetangga yang turut menjadi tetamu Allah. Bahkan jiran saya, baru daftar haji 2 tahun, dah dapat panggilan haji. (tentunya disebabkan isu teknikal kerana menemani Mahram). Maka tetamu Allah untuk menunaikan haji ini adalah pilihan dari Dia. Kita ini berusaha sedaya upaya, jika ada rezeki dapatlah kita, dalam masa sama, ada yang juga dipanggil menjadi tetamu Allah secara tiba-tiba sahaja.

Naluri manusiawi, memang lah rasa cemburu. Tetapi lihatlah diri sendiri. Mesti ada sebab mengapa tahun ini masih belum terpilih menjadi tetamuNya. Muhasabah diri dan teruskan mengharap agar Allah memilih saya atau mungkin juga anda yang sedang membaca ini menjadi tetamu Allah menunaikan haji pada tahun hadapan.

Nota: Sekiranya memerlukan perkhidmatan Umrah, Haji, kebajikan lain yang berkaitan, sila hubung saya: 013-694 0410

Safari Sarodin 25/7/2022

Safari Sarodin

Safari Sarodin

Penulis Residen Ukhwah.com. Menulis sudah lama dari zaman sekolah lagi. Kini baru serius menulis kerana mahu menjadikan menulis sebagai kerjaya tambahan. Sedang menghasilkan buku yang berdasarkan pengalaman-pengalaman yang dilalui.

SPONSOR

SPONSOR