Alhamdulillah, solatan 'ala Muhammad,
Wanita,
Lelaki makhluk biasa. Hamba Allah juga. Dia makan minum, tidur seperti dikau juga.
Dia berhasrat mendampingi seorang wanita, sebagaimana engkau berhasrat didampingi seorang lelaki. Lelaki manusia biasa.
Wanita,
Lelaki Muslim juga secita-cita denganmu. Redha Allah. Dia juga dambakan rahmat Allah. Dia juga berkejar mencari kasih sayang Allah. Dia juga rindukan Allah. Dia juga impikan keberkatan Allah. Seperti dikau, wanita. Lelaki manusia biasa. Sesekali dia juga terlupa.
Wanita,
Lelaki Muslim juga masih serba mencari. Penuhkan ilmu di dada, tingkatkan kualiti amalan fardhu, mengintai amalan-amalan soleh (dengan harapan dapat mengamalkan dengan istiqamah), cuba menggandakan amalan sunat. Dia juga mencari. Tetapi dia manusia biasa. Wanita, lelaki manusia biasa. Dia juga terlalai beberapa kali.
Wanita,
Engkau ingin membahagiakan lelaki, lelaki lebih lagi. Dia juga ingin membahagiakan dikau, lebih lagi. Lelaki bukan tidak berusaha, dia berusaha. Lelaki mencuba yang terbaik cuma adakala dia terduga. Wanita, lelaki manusia biasa. Gagal sesekali, dia tidak berputus asa, adakalanya cuma dia kecewa. Tergelincir, dia bingkas mara sambil menyapu pasir di muka.
Wanita,
Lelaki ringkas, tidak berbunga, lurus (tak perlulah bersimpang siur), terus, tak gemar berbelit-belit. Itu sifatnya. Wanita, lelaki manusia biasa. Lelaki cuba memahami, tak kesampaian juga sesekali, dirimu dia cuba memujuk tapi adakalanya engkau pula menggunung rajuk, lantas dia sepi seketika, bukan membenci tapi memberi ruang untuk dikau tenang di hati. Dia lelaki, manusia biasa.
Wanita,
Lelaki memang gagah dicipta Pencipta, sifatnya melindungi, fitrahnya memimpin, tetapi. Wanita, lelaki manusia biasa. Wanita, lelaki juga sering diusik dugaan, tercabar dengan seratus satu tugas, terikat dengan seratus sebelas harapan. Dibelenggu rantai demi rantai tanggungjawab, dia sayang padamu. Cuma wanita, dia lelaki manusia biasa. Adakala dia juga cuai terleka menjenguk dirimu. Engkau merejamnya dengan rajuk mencuka, di belakangnya terheret rantai-rantai amanah, dia lelaki lalu terjerat di dalamnya. Akalnya jua bercelaru beberapa kala, wanita, dia lelaki. Manusia biasa. Dia tidak mencamuk amarah sedunia, dia hanya diam merenung, cuba merencana. Mencari salah di mana.
Wanita,
Engkau sering berkata "lelaki sukar memahami wanita". Wanita, lelaki manusia biasa. Memahamimu mengambil masa (aduh bahkan mengambil segala-galanya!) Manusia biasa. Dia berusaha, dia sedang mencuba. Mengambil hatimu, menawan kasih sayangmu, mengharap kesetiaanmu. Dia manusia biasa.
Wanita,
Lelaki hanya manusia biasa. Bila-bila dia terlalai, apa salahnya dikau menegur, dia tidak merajuk sebenua. Dia tahu. Lelaki manusia biasa. Dia juga patut ditegur sekali sekala.
Wanita,
Bila-bila dia terlepas pandang, lupa menjengukmu barang seketika, usahlah merajuk ke kutub sana, dia manusia biasa. Adakala dirantai tugas dan keluarga.
Wanita,
Bila-bila dia menjadi suamimu, renunglah matanya. Engkau akan terpana. Sinar retinanya akan berbicara- lelaki manusia biasa. Cuma amanah terpikul di bahunya. Dia bukan sempurna. Memimpin bukan untuk disanjung tapi engkau sokonglah dia. Kerana dia hanya manusia biasa.
Wanita,
Bakal suamimu manusia biasa. Mahu sekali dia membina kota mahabbah dari zahrah kasihnya, cuma tidak beroleh cukup ketika. Perjuangannya, amanah dan kasih padamu berhimpun di jiwa. Dia harus tabah mendada. Wanita, sokonglah dia, nantinya dia lebih perkasa mara. Janganlah hanya menyoal setianya dia, senyumnya akan menjawab sedia. Usahlah dibeban dengan syak wasangka, kelak kucupan ikhlasnya akan menghurai kudusnya jiwa. Selagi dia berusaha menjadi hamba-Nya, engkau berdoalah, moga dia beroleh redha. Walaupun manusia biasa, dia tetap mencuba.
Wanita,
Berilah ruang padanya.
Kita manusia biasa.
Dia lelaki,
Dari makhluk, dia ingin menjadi hamba.
Ya Allah, kurniakanlah.
Walhamdulillah, salaman 'ala Rasulillah.