Pelajar lelaki - Bilangan ke IPTA meningkat 10 peratus Oleh MARZITA ABDULLAH
NISBAH pelajar lelaki berbanding pelajar perempuan di semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada sesi akademik 2004/2005 menunjukkan peningkatan 10 peratus.
Pada sesi akademik kali ini, nisbah pelajar lelaki berbanding perempuan ialah 40:60 berbanding pada sesi akademik 2003/2004, 30:70.
Walau bagaimanapun Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Shafie Mohd Salleh masih tidak berpuas hati dengan nisbah berkenaan malah menyifatkan gejala tersebut sebagai amat serius.
``Apa sebenarnya yang terjadi kepada pelajar lelaki kita, masyarakat sendiri apabila diberitahu mengenai perkara ini akan tertawa.
``Tetapi kita kena ingat..ini bukan perkara jenaka tetapi suatu fenomena yang serius,'' tegasnya.
Sambil menegaskan gejala tersebut akan menimbulkan masalah pada masa akan datang, beliau mahu pelajar lelaki memikirkan perkara itu secara serius.
``Bagi pelajar lelaki yang sudah berjaya menjejak kaki ke IPTA, peluang ini jangan sesekali disia-siakan,'' tegasnya.
Justeru para pelajar lelaki perlu bekerja keras dan memastikan mereka menghabiskan pengajian dan bergraduat, kata Dr. Shafie.
Beliau berkata demikian semasa memberi ucapan pada program Bersama Pemimpin Negara sempena Minggu Suai Kenal Pelajar Baru Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, baru-baru ini.
Katanya, pelajar lelaki tidak harus mudah terpengaruh dengan unsur-unsur luar yang menggugat penumpuan terhadap pelajaran dan pembelajaran masing-masing.
``Jumlah pelajar lelaki sudahlah sedikit, jangan pula yang sedikit ini pula banyak yang rosak akibat pengaruh-pengaruh jahat,'' tegasnya.
Shafie mengingatkan pelajar lelaki supaya mengekalkan keazaman dan semangat belajar sehingga ke penghujung pengajian.
``Saya tidak mahu pelajar lelaki hanya bersemangat pada semester pertama sahaja. Masuk semester kedua atau ketiga mulalah semuanya lembik macam sotong,'' tegasnya.
Mengasah
Dalam pada itu beliau menggalakkan para pelajar mengasah bakat kepemimpinan semasa berada di universiti.
Katanya, persatuan pelajar atau majlis perwakilan pelajar merupakan medan yang terbaik untuk mengasah bakat sedemikian tetapi dengan syarat pelajar bijak menguruskan masa.
``Saya akui bahawa kepemimpinan pelajar tidak boleh dipinggirkan dalam kehidupan kampus yang di dalamnya terhimpun para cerdik pandai generasi muda,'' katanya.
Namun beliau mengingatkan para pelajar berkenaan supaya tidak menjadi alat kepada anasir tertentu yang mampu memudaratkan kepentingan negara.
``Dakyah yang tidak bertanggungjawab mesti dibanteras sehingga ke akar umbi daripada mempengaruhi pelajar universiti,'' katanya.
Tegas beliau, kewujudan fenomena seumpama itu akan menggugat usaha pencapaian kecemerlangan akademik dan pembentukan sahsiah para pelajar.
``Saya percaya gerakan-gerakan yang tidak bertanggungjawab itu akan sentiasa mencari ruang untuk mempergunakan pelajar universiti bagi melebarkan pengaruh dan kepentingan mereka,'' katanya.
Malah menurut beliau, jika ruang itu dibiarkan kumpulan berkenaan akan menyemai budaya hasutan untuk membenci kerajaan dan negara.
``Semangat patriotik dan cintakan negara akan cuba dimusnahkan melalui anasir sedemikian,'' katanya.
Shafie juga berharap pentadbiran universiti, para pensyarah, pegawai dan kakitangannya turut bertanggungjawab dalam menguruskan para pelajar.
``Kolej kediaman juga memainkan peranan dalam membangunkan sahsiah para pelajar. Justeru entiti fakulti dan kolej kediaman perlu saling melengkapi dalam membina kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar,'' katanya.
UPM menerima kira-kira 5,362 pelajar baru pada sesi kali ini dan daripada jumlah tersebut 16 pelajar merupakan kumpulan pertama Bacelor Kejururawatan.
Sumber: Utusan Online (21/06/04)
-----------------
Hai org-org yang beriman, jika datang kpdmu org fasik membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui kdaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (Al-Hujurat