Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 05-07-2020  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
Allah SWT memberikan kita dua telinga, dua mata, satu mulut dan otak di tengah antaranya, mesti bersebab. Dengar dan lihat kanan kiri, timbang dengan otak.
-- Kang

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: wyd1014
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43135

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 52
Ahli: 0
Jumlah: 52




  Yang Masuk Ke Sini
kasih_kekasih: 3 hari yang lalu
wyd1014: 11 hari yang lalu
haykal77: 20 hari yang lalu
Kakngah: 20 hari yang lalu
lidah-penghunus: 21 hari yang lalu


Isu dan Ehwal Semasa
Topik: Maulid: Antara Sejarah Dan Amalan


Carian Forum

Moderator: Administrator, hafeezzul
Portal Komuniti :: Ukhwah.com Indeks Forum
  »» Isu dan Ehwal Semasa
    »» Maulid: Antara Sejarah Dan Amalan

Please Mendaftar To Post


Oleh Maulid: Antara Sejarah Dan Amalan

rimbabara
-WARGA AMAT SETIA-
Menyertai: 03.03.2006
Ahli No: 23151
Posting: 3640
Dari: Ipoh

malaysia   avatar


posticon Posting pada: 20-02-10 08:11


Para sarjana sejarahwan Islam berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi s.a.w. Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim hanya menyebut bahawa baginda lahir pada hari Isnin tanpa menyebut haribulannya. Sesiapa yang membaca karya-karya sejarah Islam yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) akan melihat berbagai pendapat tentang haribulan dan bulan kelahiran baginda s.a.w.




Bagi yang berpendapat baginda lahir pada Bulan Rabi’ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya. Ada yang menentukan pada 8 haribulan, ada yang pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya. Di samping di sana ada pula sarjana Islam yang menyatakan baginda lahir pada Bulan Ramadan dengan hujah-hujah mereka yang tersendiri.

Apa pun yang penting, sejarahwan Timur atau Barat, Utara atau Selatan tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin ‘Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah. Hal ini berbeza dengan Jesus yang berada dalam gambaran Barat. Setengah ahli kajian mereka mempertikaikan tentang kelahiran Jesus itu sendiri.

Kelahiran Nabi s.a.w adalah peristiwa yang amat penting kerana ia peristiwa yang memulakan episod baru bagi kehidupan manusia sejagat. Penentuan haribulan atau bulan secara tepat bukanlah faktor utama. Tidak dapat menentukan tarikh lahir yang pasti, bukan bererti seseorang itu tidak wujud. Entah berapa ramai para nabi, tokoh, individu yang gagal dikesan tarikh kelahiran mereka, tetapi mereka wujud dan telah mewarnai sejarah.

Kegagalan sarjana untuk mengetahui hari dan bulan sebenar kelahiran Nabi s.a.w antaranya berpunca daripada tindakan para sahabah Nabi s.a.w yang tidak merayakan tarikh tersebut. Walaupun dalam sejarah Islam, merekalah generasi yang paling mencintai Nabi s.a.w namun mereka tidak membuat perayaan khas hari kelahiran baginda disebabkan kerana mereka tidak melihat baginda melakukan hal yang demikian.

Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina ‘Umar apabila dicadangkan permulaan tahun Islam dikira pada tahun kelahiran Nabi s.a.w, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah agung itu memilih tahun hijrah baginda sebagai permulaan kiraan. Bukan kelahiran tidak penting, tetapi hijrah adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan. Perkara yang paling utama buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan. Saban tahun orang Kristian Barat merayakan kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama seperti yang diajar oleh Jesus?

Hari berganti dan bertukar. Dunia Islam beralun dengan berbagai krisis politik yang akhirnya mencetuskan mazhab. Antaranya Mazhab Syiah yang asalnya merupakan mazhab politik, bertukar menjadi mazhab agama dengan segala macam aliran di dalamnya. Islam sepatutnya mencorakkan politik telah bertukar menjadi ‘politik mencorakkan Islam’. Lalu kefahaman agama dibina di atas blok-blok politik, bukan reka fikir politik itu diwarnakan oleh Islam. Maka perebutan kuasa berlaku atas agenda politik yang dimasukkan unsur Islam ke dalamnya. Maka berselerakanlah umat Islam akibat agenda politik berbagai aliran.

Di Mesir, Syiah Fatimiyyah pernah menguasai tampok kuasa. Berbagai agenda agama dilaksanakan dalam kerangka pemikiran mazhab politik yang bertukar menjadi agama. Berbagai perayaan agama dibuat dengan tujuan untuk mencapai matlamat politik yang tersendiri.

Dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun yang memulakan perayaan Maulid Nabi s.a.w melainkan Kerajaan Syi’ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran. Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s. Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh Khalifah mereka al-Musta’lah billah. Kemudian dihidupkan kembali oleh sesetengah kerajaan dan negeri. Demikianlah sejarahnya.

Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Nabi s.a.w dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi. Jika Bulan Rabi’ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi s.a.w, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selain. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak mengingati baginda selepas itu.

Di samping itu, hendaklah kita sedar, jika kita mengikuti Nabi s.a.w, maka pastikan kita tidak menokok tambah ajaran baginda apa yang baginda tidak izinkan. Baginda bersabda:

“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak” (Riwayat Muslim).

Oleh kerana baginda tidak pernah menunjukkan kita ibadah khas sempena kelahiran baginda sama ada solat khas, atau puasa khas atau bacaan khas, maka kita tidak boleh mengadakannya. Jalan yang patut diikuti dalam masalah ini adalah jalan para sahabah baginda s.a.w. Sabda baginda s.a.w:

“..Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak”. Mereka bertanya: “Apakah puak itu wahai RasululLah?” Jawab baginda: “Apa yang aku dan para sahabahku berada di atasnya”. (Riwayat al-Tirmizi dinilai sahih oleh al-Diya al-Maqdisi).

Perlu diingat, antara keistimewanya sejarah Nabi s.a.w kerana ia dapat dikenal pasti antara yang tulen dan tokok tambah. Ini berbeza dengan sejarah pengasas-pengasas agama dalam dunia ini yang hampir keseluruhan sejarah mereka dibina atas sangkaan atau perkhabaran yang tidak pasti. Ilmu hadis yang menapis sanad dan matan telah memelihara fakta sejarah nabi kita Muhammad s.a.w. Hanya sejarah yang pasti sahaja yang menjadi ikutan kita, bukan yang direka.

Kata al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi:

“Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak diatas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yag diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah tidak pernah mengenalinya” (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah, m.s. 41, Saudi: al-Dar al-Sa`udiyyah).

Buku Maulid al-Barzanji yang banyak dibaca dalam masyarakat kita ketika majlis kenduri-kendara atau selainnya mempunyai sumbangan yang tersendiri. Banyak sirah yang sahih dicatatkan oleh penulis karya tersebut iaitu saja’far bin Hasan bin `Abd al-Karim al-Barzanji (meninggal 1187H). Namun satu hakikat yang diboleh dinafikan dari segi ilmu hadis bahawa terdapat fakta-fakta yang tidak sahih dalam buku al-Barzanji tersebut. Antaranya, beliau menyebut:

“Telah hadirlah pada malam kelahiran baginda (Nabi s.a.w.) Asiah (isteri Fir`aun yang beriman) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) dalam kumpulan wanita dari syurga)”.

Tiada satu riwayat yang sahih daripada Nabi s.a.w yang mengakui peristiwa seperti ini. Sehingga seorang pengkaji sejarah Muhammad Muhammad Hasan Syurrab menyebut:

“Wajib kita berhati-hati ketika memetik dari buku-buku sirah terutamanya buku-buku sirah yang terkemudian. Para rawinya (periwayat) banyak menokok tambah cerita dan sirah Rasulullah. Mereka mengaitkan kepada baginda mu’jizat dan perkara-perkara luar biasa sejak kelahiran sehingga kepada kewafatan baginda dengan perkara yang tidak ada sanad yang boleh dipegang. Seakan-akan para rawi ini melihat tujuan penambahan perkara-perkara luar biasa ini untuk memberikan kepada Rasul a.s. mu’jizat-mu’jizat yang tidak ada pada para nabi sebelum baginda (Muhammad Muhammad Hasan Syurrab, Fi Usul Tarikh al-`Arab al-Islami, m.s. 84, Damsyik, Dar al-Qalam).

Kita semua bersyukur dan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Namun kita wajib pastikan cara kita ikut dan faham mengenai baginda. Saban tahun banyak pihak yang meraikan maulid, apakah umat Islam bertambah dekat dengan baginda?


-----------------



Bookmark and Share

    


  Member Information For rimbabaraProfil   Hantar PM kepada rimbabara   Quote dan BalasQuote

hafeezzul

Menyertai: 07.03.2004
Ahli No: 7815
Posting: 2189
Dari: PERAK DARUL RIDZUAN

Perak  


posticon Posting pada: 25-02-10 23:13


Salam Maulidur Rasul....

Semoga sunnah Nabi menjadi pegangan hidup kita.

Bookmark and Share

    


  Member Information For hafeezzulProfil   Hantar PM kepada hafeezzul   Quote dan BalasQuote

daLL
Warga 3 Bintang
Menyertai: 06.04.2005
Ahli No: 15609
Posting: 148
Dari: negeri beradat

NegeriSembilan   avatar


posticon Posting pada: 25-02-10 23:24


salam maulidur rasul...moga dapat kita hidupkan sunnah Nabi dalam kehidupan..selawat dan salam keatas baginda


-----------------
>


Bookmark and Share

    


  Member Information For daLLProfil   Hantar PM kepada daLL   Quote dan BalasQuote

anis_zulaikha

Menyertai: 13.07.2004
Ahli No: 10004
Posting: 1736
Dari: malaya

NegeriSembilan   avatar


posticon Posting pada: 25-02-10 23:49


الله أكبر نحن المحمديون ولله الحمد



Bookmark and Share

    


  Member Information For anis_zulaikhaProfil   Hantar PM kepada anis_zulaikha   Quote dan BalasQuote

SNMA
Warga 5 Bintang
Menyertai: 08.12.2009
Ahli No: 38572
Posting: 379
Dari: SELANGOR

malaysia   avatar


posticon Posting pada: 26-02-10 00:10


sama-samalah kita menyambut 'Maulidur Rasul' hari2 ye? Bukan sekadar Hari Keputeraan tapi, lebih kepada amalan2/sunnah2 Nabi SAW. Kita 'rayakannya' dengan mengamalkan sunnah Nabi d setiap saat, yang termampu :-)

Let's try our best, Guys..! ALLAHUMMA SOLLI A'lah MUHAMMAD ..


-----------------
~~Wonder Mom to be~~ "Aku akan tetap melayanmu dengan baik, kerana aku tak mahu kebaikanku hilang kerana sikap burukmu itu" - ReMiNDeR -


Bookmark and Share

    


  Member Information For SNMAProfil   Hantar PM kepada SNMA   Quote dan BalasQuote

zulman

Menyertai: 22.12.2004
Ahli No: 13229
Posting: 2786
Dari: dunia ini hanya sementara

Perak   avatar


posticon Posting pada: 02-03-10 17:08


nak pergi berarak atau tak terpulang pada masing-masing..
apa pun selepas berarak jangan lupa ikut contoh dan sunnahnya.


-----------------
Permudahkan dan jangan menyukarkan,gembirakan dan jangan menyusahkan, bersepakat dan jangan berpecah belah.


Bookmark and Share

    


  Member Information For zulmanProfil   Hantar PM kepada zulman   Quote dan BalasQuote

Member Messages

Forum Search & Navigation

 

Log in to check your private messages

Silakan Login atau Mendaftar





  


 

[ Carian Advance ]

Jum ke Forum 




Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.119454 saat. Lajunya....