Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 04-07-2020  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
Jika anda taknak bekerja, carilah duit sebanyak-banyaknya; nanti anda tak perlu bekerja
-- Kang

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: wyd1014
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43135

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 63
Ahli: 0
Jumlah: 63




  Yang Masuk Ke Sini
kasih_kekasih: 2 hari yang lalu
wyd1014: 11 hari yang lalu
haykal77: 19 hari yang lalu
Kakngah: 19 hari yang lalu
lidah-penghunus: 20 hari yang lalu


Copy & Paste
Topik: tun dr mahathir vs pak lah


Carian Forum

Moderator: Administrator
Portal Komuniti :: Ukhwah.com Indeks Forum
  »» Copy & Paste
    »» tun dr mahathir vs pak lah

Please Mendaftar To Post


Oleh tun dr mahathir vs pak lah

qardhawi_jr
Warga 5 Bintang
Menyertai: 23.07.2005
Ahli No: 17517
Posting: 365

Selangor   avatar


posticon Posting pada: 25-06-06 15:40


Mahathir tuduh Khairy lebih berkuasa daripada Perdana Menteri    
Sun | Jun 25, 06 | 02:57:46 PM
Oleh Wartawan Harakah KUALA LUMPUR, 25 Jun (Hrkh) - Secara terbuka Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan kritikan tajam berupa sindiran sinikal terhadap menantu Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, sekali gus menjelaskan siapa "pihak ketiga" sebenarnya yang menjadi punca pertelagahan antara dua tokoh besar itu.
Dalam syarahan awam di Taman Melewati, pagi Sabtu, 24 Jun, yang dihadiri pelbagai tokoh pembangkang, khususnya daripada PAS, DAP dan KeADILan, Mahathir kelihatan tidak berselindung lagi meluahkan rasa marahnya terhadap pemerintahan Abdullah, yang disifatkannya tidak berintegriti dan sanggup menjual kedaulatan negara kepada pihak asing.

Wakil PAS yang hadir ialah Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden, Dato' Husam Musa, Ketua Pemuda, Salahuddin Ayub, AJK Pusat, Mahfuz Omar, Dr Mariah Mahmud, Dr Rosli Yaakob, manakala KeADILan diwakili Bendahari, Abdul Rahman Othman dan DAP, Ronnie Liu.

Malah Mahathir menyifatkan ada kumpulan tertentu di tingkat 4, Jabatan Perdana Menteri, lebih berkuasa daripada tingkat 5, yakni pejabat Perdana Menteri sendiri. Mahathir seperti cuba menjelaskan siapa sebenarnya kumpulan di tingkat 4 yang begitu berkuasa apabila beliau berkata kumpulan itu dianggotai lulusan Oxford dan Cambridge.

Sekurang-kurangnya lima kali Mahathir merujuk kumpulan lulusan Oxford dan Cambridge ini secara sindiran, menampakkan beliau cukup tidak selesa apabila perjalanan pentadbiran negara tidak lagi dikuasai oleh Perdana Menteri dan anggota Kabinetnya.

Beliau turut menggelarkan Khairy sebagai budak yang masih berhingus.

Kumpulan yang sama juga dikatakan begitu berpengaruh dalam menentukan perjalanan operasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di mana nasihat mereka perlu dipatuhi sebelum apa-apa keputusan mengenai perniagaan dibuat.

Dalam majlis ceramah yang diikuti sesi soal jawab selama hampir dua jam itu, Mahathir beberapa kali menyindir Perdana Menteri yang dikira tidak dapat membuat keputusan penting untuk negara, sebaliknya tertakluk kepada nasihat pihak lain. Dan pihak lain itu jelas ditujukan kepada Khairy dan kumpulannya.

"Dulu saya beri kuasa kepadanya (Abdullah), tapi tak tahu pula dia akan beri kuasa itu kepada orang lain pula," kata Mahathir disambut sorakan bergemuruh. Malah setiap kali Mahathir merujuk seseorang yang mudah untuk ditafsirkan hadirin sebagai Khairy, maka dewan syarahan yang boleh memuatkan lebih 500 orang itu gamat dengan tepukan.

"Sekarang, saya tidak tahu siapa sebenarnya yang berkuasa. Apabila rakyat bertanya soalan kepada Perdana Menteri, beliau tidak menjawab, orang lain pula yang menjawab bagi pihaknya," tegas Mahathir.

Meskipun puluhan wartawan membuat liputan syarahan Mahathir itu, namun tiada satu pun akhbar utama berbahasa Melayu dan Inggeris yang menyiarkannya. (Secara kebetulan, perancang media bagi Perdana Menteri, Dato' Kalimullah Hassan mengumumkan ruangan tetapnya di New Sunday Times, keluaran hari ini, 25 Jun merupakan tulisannya yang terakhir).

Dan Mahathir sudah menduga ini akan berlaku apabila dalam majlis syarahan itu berulang kali beliau menyebut soal "budaya sokong apa saja daripada Perdana Menteri" dan sikap media yang akan menggelapkan semua berita mengenainya.

Perkara ini bukan baru, kata Mahathir, kerana seminggu selepas beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dulu, ada arahan daripada pihak atasan agar akhbar-akhbar utama tidak lagi menyiarkan iklan semuka penuh yang merakamkan penghargaan atas segala jasa-jasanya selama 22 tahun menerajui negara.

Supaya pembaca harakahdaily mendapat gambaran lanjut tentang apa yang dibicarakan Mahathir, di bawah ini kami rakamkan laporan www.agendadaily.com mengenai sidang akhbarnya:


BERIKUT ialah transkrip soal jawab Tun Dr Mahathir Mohamad dengan para wartawan dalam sidang akhbar selepas majlis dialog anjuran Gabungan NGO dan Rakan Media Alternatif di Kelab Century Paradise,Taman Melawati Hulu Kelang dekat Kuala Lumpur pagi Sabtu.





Dalam sidang akhbar kira-kira setengah jam itu cakapnya kerapkali bernada sinis.Duduk diatas pentas sebelah beliau semasa sidang akhbar itu ialah bekas menteri pusat dan bekas Ketua Penerangan UMNO Malaysia,Tan Sri Megat Junid dan bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas,Kelantan Datuk Ibrahim Ali.




Soalan: Kenyataan Azlan Hashim (Pengerusi Proton) beliau sudah bagi penjelasan mengenai penjualan syarikat motosikal MV Agusta?





Dr Mahathir : Itu bukan penjelasan cuma mengulangi apa yang dia katakan sebelum ini terutama mengenai MV Agusta.Siapa Gevi Spa…apakah ia pernah berada dalam perniagaan ini (motosikal).

Bagaimana ia tahu itu perniagaan yang baik.Bagaimana cara penjualan sebenar dibuat.Apakah ada sebarang pengumuman mereka nak jual Agusta.Apakah ada pembida lain…adakah orang lain tahu tentangnya.

Adakah mereka (pengurusan Proton) minta harga yang lebih tinggi dari 1 Euro (RM4).





Soalan: Tentang ucapan tadi ( kurang jelas soalan) ?





Dr Mahathir: Saya tidak puashati dengan sesetengah isu..

Ada beberapa isu lain yang belum saya suarakan... yang juga saya tidak puashati... tetapi saya tidak payah pedulikan pasalnya.





Soalan: Azlan ( Pengerusi Proton) kata nak jumpa dengan Tun tapi dia kata Tun tak ada masa nak jumpa?





Dr Mahathir: Pada mulanya dia dilantik dia datang jumpa saya dan dia bincang cara macam mana dia nak urus Proton.

Dia bagi pengakuan kepada saya perlantikannya bukanlah untuk menyingkir Tengku Mahaleel.

Dia bagi pengakuan kepada saya.Lepas tu dia buat apa yang dia kata dia tak akan buat…tak bagitau langsung kat saya….datang tanya pun tak apa juga.

Jadi nak datang kat saya nak buat apa.Nak bagi laporan…laporan boleh tulislah.





Ni jual Agusta pun tak tanya saya..Semua buat sendiri.La ni saya tak tau siapa dia CEO kerana nampak pengerusi kepada lembaga pengarah adalah CEO.

Dia buat keputusan semua.Selain dari Tengku Mahaleel beberapa orang dah berhenti dah…orang yang baik.





Tahniahlah boleh lancar kereta Proton yang baru ni...Satria Nio..tapi sepatutnya dilancar tahun lepas…Kenapa lewat?




Soalan: Tapi dia ada minta temujanji dengan Tun?





Dr Mahathir: Dia ada minta nak jumpa…saya fikir nak buat apa jumpa kalau hanya untuk memberitahu saya apa yang dia dah buat.Itu boleh ditulis.

Dia hantar kepada saya beritahu apa yang dia buat OK lah.Jadi apa gunanya datang jumpa saya.





Saya dah jumpa dia..dia bagi pengakuan dia bukan dilantik untuk menyingkir CEO tetapi itulah yang dilakukannya.Jadi bagaimana saya nak percaya orang yang macam tu.





Soalan (Agendadaily): Adakan terdapat kemungkinan Tun boleh duduk balik elok-elok sembang dengan Pak Lah?





Dr Mahathir : Duduk bolehlah…sembang tak taulah…Kita kalau nak buat apa-apa pun jangan buat secara sosial saja.

Secara sosial…dia (Pak Lah ) datang jumpa saya di Jepun…tapi tak ada apa pun.Di Jepun datang tengah saya nak pergi meeting ..dapat 10 minit...itu saja.





Soalan (Agendadaily): Banyak orang yang tertanya-tanya dah tak boleh buat elok-elok lagi ke supaya benda ni dapat diselesaikan dengan baik?

Dr Mahathir:Tak tau lah ..ada orang yang lebih kuat daripada saya…cakap sajalah…balik ..batallah.





Soalan (Agendadaily): Tentang dakwaan bekas Pengerusi Ekskutif TNB Tan Sri Ani Arope ( mengenai pemberian sewenang-wenangnya kontrak IPP masa zaman Tun Perdana Menteri ) Tun nak jawab dak?





Dr Mahathir: Saya tak nak jawab…la ni pergi cari segala-gala yang berlaku masa saya dulu…nak burukkan nama saya.pergi cungkillah Ani Arope...cungkil Syed Ahmad Aidid…carilah lagi…banyak lagi…saya tau banyak dosa 22 tahun.





Nak tau bebas tak bebas…ni kritik yang ada sekarang ni…boleh kritik ke dak…tapi semua kita tengok…kami sokong…tak payah masuk suratkhabar…kita pakai semua sekali…duduk beratur tu semua menteri-menteri…kami sokong…angkat tangan saja.





Nak tanya seorang-seorang buat apa…buang masa saja.





Soalan: Tun Musa Hitam kata Tun mengalami sindrom selepas berkuasa?





Dr Mahathir: Dia ingat kita macam dia...dia memanglah sakit tu.

Sebab tu saya kena bagi job kat dia.Bila dia berhenti tu…walaupun dia cuba nak menjatuhkan saya…saya pilih dia hantar pergi Bangsa-bangsa Bersatu…angkat dia bagi jawatan macam-macam.





Saya tak minta jawatan apa-apa pun…melainkan jadi penasihat.Penasihat pun saya tak minta duit…tapi Petronas ni jahat sangat (secara berjenaka) …bagi duit kat saya.Proton seduit pun tak bagi.





Soalan: (Dalam ucapan tadi) Tun ada sebut ada satu kes rasuah tertentu yang Tun dah minta pendakwaan dijalankan sebelum bersara dulu?

Dr Mahathir: Saya tidak boleh sebut nama..tapi saya yakin BPR tahu ini.Ada kes yang sudah diputus untuk diambil tindakan…tapi tak diambil tindakan.Tah Kenapa saya tak tau lah.





Soalan ( Agendadaily): Tun tadi dalam ucapan ada bagi gambaran macam ada pihak ketiga mempengaruhi kerajaan…boleh Tun sebut secara terbuka siapa?





Dr Mahathir: Oh… saya tak tahu..orang cerita saya dengarlah…betul tak betul saya tak tau.

Saya dengar kata di Tingkat Empat… ( di Jabatan Perdana Menteri).You pergi cari tengok ada kerusi meja ke …siapa ada...ada ofis boy ke … dari Oxford…dari Cambridge..





Soalan: Apakah Tun kecewa Datuk Seri Rafidah kata dia sudah bagi semua penjelasan dan tak akan bagi apa-apa penjelasan tambahan?





Dr Mahathir: Dia tidak ada bagi apa-apa penjelasan kat saya..Kenapa dia bagi AP kepada bekas pegawainya (MITI) dalam jumlah yang banyak…dan AP itu dijual…sekarang jelaskan itu.



Apakah itu selaras dengan dasar kerajaan..dia belum lagi bagi penjelasan..dia cuma kata ya betul saya beri…jangan tanya lagi soalan.

Kata telus…terbuka…jelaskanlah.Kenapa dua orang ini masih menerima dan masih impot kereta.…saya tau model apa mereka impot.






Sepatutnya pemberian AP kepada mereka harus dibatalkan.






Soalan: Sejauh mana Tun akan bertindak sekiranya penjelasan yang diberikan oleh kerajaan tidak memuaskan hati?





Dr Mahathir: Seperti kata mereka…sampai lubang cacing lah.Ia bukan soal penjelasan saja…juga kena dibetulkan apa yang tidak dibetul.

Jambatan…misalnya…Kenapa kita tak boleh bina jambatan di Malaysia….saya nak tahu.Jika kata tak boleh…saya hendak mempertikaikannya.





Soalan (Agendadaily): Bila kata begitu (sampai ke lubang cacing) apakah sampai ke peringkat bergabung tenaga dengan parti pembangkang?





Dr Mahathir: Tidak…saya tak terlibat dengan pihak pembangkang.Saya sendirian saja.





Soalan: Tun dah kritik kerajaan….ada orang kata terdapat ura-ura nak pecat Tun dari Umno?



Dr Mahathir: Dia nak pecat..pecatlah.Orang yang ada kuasa boleh pecat…pecatlah.Apa salahnya…saya (pernah) kena pecat dulu.





Ada juga yang kata masa saya kena pecat dulu…saya naik atas pentas PAS..sedangkan orang yang sekarang ni tak pernah masuk parti lawan…cuba juga nak bagi saya jatuh…itupun saya tak marah... saya ambil balik.





Berapa orang yang lawan dengan saya dulu…sayalah yang bawa dia orang balik…bagi pangkat sampai ke puncak.




Saya bukan nak ungkit…tak ada terima kasih pun tak apa.






Soalan: Kelihatan macam di Malaysia ni bila ada sesuatu isu…benda tu cepat sejuk. Bila ada satu isu keluar orangramai tak nak kaji...terus diam begitu saja. Apa pandangan Tun lepas suarakan ini semua…seminggu dua lagi orang sudah lupa bila timbul isu lain pula ?





Dr Mahathir: ( Secara berjenaka) Bergantung kepada anda ( wartawan) untuk buat ia terus panas...sekarang ni walaupun dikatakan suratkhabar ni bebas tetapi mereka padam…sebaliknya pergi cungkil tentang kekotoran saya…banyak lagi…ada..saya buat projek mega…Ani Arope marah kat saya…





Soalan: (Dalam ucapan tadi) Tun ada kata ada syarikat yang nak jual pasir (kepada Singapura sebelum projek jambatan dibatalkan) . Apakah Tun ada bukti?



Dr Mahathir: Saya tak adalah dokumen…tapi saya taulah nak jual pasir tentulah ada orang yang akan dapat duit ..siapa dia saya tak taulah.





Soalan: Lagi Tun mempersoalkan penjualan MV Agusta kepada Gevi Spa?

Dr Mahathir: Kita dapat maklumat melalui saluran asing…bahawa Gevi ni dia sebuah syarikat yang tak terkenal sama sekali.Kita tak tau apa latar belakang dia.

Siapa pemegang saham..apa perniagaan dia…Kenapa daripada banyak syarikat dalam dunia ni pergi pilih dia.yang ini kita hairan.





Bagitaulah supaya saya tak hairan lagilah.





Soalan: Tun ada sebut tadi (dalam ucapan) tentang penglibatan menantu Pak Lah ?





Dr Mahathir: (dengan wajah sinis ) eh..eh ..saya tak sebut …saya bercakap tentang orang yang dapat kelulusan tinggi.



Soalan: Tun ada sebut pasal berhinguslah?

Dr Mahathir: Yang tu berhingus…banyak orang yang berhingus..





Soalan: Tun dulu suka mengadakan pelapis.Apa pandangan Tun tentang orang lebih tertarik kepada orang muda semata-mata.Apakah wajar letak orang-orang muda pada jawatan penting?





Dr Mahathir: Mereka sungguh bijak pandai( very brilliant ) ….anda tak boleh tolak dia punya nasihat.

Orang bijak pandai…anda boleh nampak terang cerah..kita boleh tengok dalam surakhabar pun tulisan-tulisan dia tu …luarbiasa…saya tak pernah tengok tulisan-tulisan macam tu.

Soalan: Tentang kritikan Tun tidakkah ia akan mengugat kestabilan negara?





Dr Mahathir: Saya percaya kepada rakyat Malaysia..mereka berfikiran waras tetapi masa saya jadi Perdana menteri ada orang yang cabar saya..sampai saya hampir kalah…tapi sekarang ini tak boleh langsung pasal nak jaga stabiliti ....jangan kata apa langsung.

Sampai buat yang salah pun…jual maruah negara pun saya tak boleh tegur…pasai nak stabiliti.



Ini semua tidak akan berlaku begini jika ia dijawab dengan cara betul …ini asyik bagitahu orangramai tak boleh kritik.

Manusia ni selalu dia banyak dosa…kita kenalah tegur kadang-kadang.Tak boleh tegur langsung tak baiklah.







Soalan: Pada waktu Tun jadi Perdana menteri dulu…Tun Ghafar jadi timbalan…ada seorang pegawai yang mendapat vetting daripada Special Branch (SB)... dia ni sikit sebanyak dikatakan jadi ajen pada satu kuasa asing. Mengapa orang ni tak diambil tindakan ISA pada waktu itu masa Tun berkuasa dulu?

CATATAN: DIPERCAYAI SOALAN ITU MERUJUK KEPADA SESEORANG YANG KINI DIKATAKAN BERPENGARUH DI SEBUAH AKHBAR TEMPATAN.



Dr Mahathir : Kita bukan ambil tindakan ISA dengan begitu mudah hanya kerana dia berminat dengan sebuah negara lain…itu tidak menjadi kesalahan.

Tapi kalau kita ambil dia jadi ' pemerintah' ..itu salahlah..itu orang yang tak ada kesetiaan kepada negara kita…kita bagi dia jadi ' pemerintah' tu salah.Sebab tu kita tak bagi dia pegang jawatan itu.





Tapi tentang diri dia nak syok dengan siapa..itu dia punya hal lah.





Soalan: Ramai juga yang hadir majlis hari ini terdiri dari penentang utama Tun dulu?





Dr Mahathir: Saya dah bercakap dengan penentang utama saya banyak kali.Sebab tu masa saya go around ada banyak soalan…ada yang tak friendly questions .





Di satu pertemuan ada yang bertanya saya Kenapa saya tidak letak jawatan (tak dijelaskan letak jawatan apa) .Saya tidak saja bercakap kepada kawan tetapi saya juga bercakap kepada orang yang tak suka saya juga.





Saya bercakap untuk diri saya…saya tak suruh menteri-menteri saya bercakap untuk diri saya.





Soalan: Masa Tun Perdana Menteri ada ke tidak pegawai-pegawai yang tidak diberi gaji oleh kerajaan tetapi oleh pihak swasta untuk 'berkerja' di kementerian?





Dr Mahathir: Saya tak ada…tapi timbalan saya ada (pegawai) ..gaji yang dibayar oleh orang lain tapi berkerja untuk dia…itu trimbalan saya bukan saya.





Soalan: Sekarang ni Tun dengar ada?





Dr Mahathir: Saya dengar adalah…tapi itu khabar angin…kita tak boleh percaya khabar angin.





Soalan: Apa komen Tun mengenai penjualan syarikat Airod kepada Singapura…apakah pandangan Tun mengenai penjualan saham kepada Singapura?





Dr Mahathir: Kita bebas nak jual kepada sesiapun sekarang ni..boleh jual negeri ini pun kepada Singapura…maruah kita pun kita boleh jual..apa sangat nak jual Airod.




Soalan: Apakah Tun bercadang nak buat comeback ?





Dr Mahathir: Tidak…tidak sekali…22 tahun dah cukup.





Soalan: Kritikan Tun telah mencetuskan keraguan di kalangan orangramai ?





Dr Mahathir: Anda kata ada orang yang merasa disturbed dengan apa yang saya kata…tetapi saya tengok semuanya sokong….bukannya sokong saya..saya semuanya tak kena…dan saya tak cakap apa-apa... dah keluar dah …sokong.





Soalan: Tentang satu tulisan di kolum (tulisan Datuk Kalimullah Hassan di akhbar NST) mengenai pertemuan Tun dengan Pak Lah di Jepun ?

Dr Mahathir: Dia buat laporan pun tak betul.Katanya saya yang minta nak jumpa…bukan saya yang minta…jadi semuanya diurus oleh orang yang sekarang dikenal sebagai spindoctor …macam mana nak spin story supaya dapat sesuatu manafaat.





Orang-orang yang kolot dalam Straits Times (NST) semuanya dah berhenti dah..mereka pilih untuk berhenti…tak boleh kerja. Mereka sedar mereka kolot tak boleh jadi editor .Mereka berhenti…jadi yang ada sekarang (dalam akhbar itu) semuanya pakar-pakar saja.





Soalan: Tun nak apa sekarang?






Dr Mahathir: Supaya dibetulkan benda yang tak betul…janganlah kata saya jangan kritik…pasal saya dah bekas…bukan lagi Perdana Menteri…senyap saja sudahlah..

Jadi saya nak tau pasal apa gadai kita punya maruah (batal projek jambatan) .Tentu ada sebab.Adakah ini pasal nak jual pasir..kita nak tau.






Soalan: Tun ada kata Pak Lah ada mungkir janjinya kepada Tun.Apakah janji-janji itu?


Dr Mahathir: Dia tahu…saya tahu.






Soalan: Bila?



Dr Mahathir: Sejurus sebelum saya melepaskan jawatan.





Soalan: Adakah janji itu dimungkiri tahun ini?





Dr Mahathir: Dimungkiri dua minggu setelah saya lepas jawatan…sungguh cepat

Bookmark and Share

    


  Member Information For qardhawi_jrProfil   Hantar PM kepada qardhawi_jr   Quote dan BalasQuote

qardhawi_jr
Warga 5 Bintang
Menyertai: 23.07.2005
Ahli No: 17517
Posting: 365

Selangor   avatar


posticon Posting pada: 25-06-06 15:41


Mahathir makin lantang kritik, tegur Abdullah    
Sat | Jun 24, 06 | 08:04:12 PM
Oleh Azamin Amin KUALA LUMPUR, 24 Jun (Hrkh) - Majlis Ucapan Khas Dan Dialog Tun Mahathir yang berlangsung di sini hari ini dilihat sebagai pertemuan bersejarah dan meriah kerana ia menghimpunkan kehadiran pelbagai pemimpin politik daripada PAS, KeADILan, DAP, Umno serta badan bukan kerajaan (NGO), bekas pegawai kanan kerajaan, bekas menteri kabinet dan orang ramai yang hadir untuk mendengar penjelasan isu-isu yang telah didedahkan oleh beliau.

Majlis tersebut yang dianjurkan oleh 26 NGO dengan kerjasama laman web Malaysia Today.net dilihat sebagai pencetus kepada satu gelombang dalam arena politik tanah air bagi mendedahkan ketempangan pemerintahan Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dan barisan kabinetnya.

Selain itu juga dapat memberi gambaran dengan jelas polemik sebenar yang berlaku antara Tun Mahathir dan Abdullah yang ternyata tiada unsur emosi ataupun sentimen peribadi.

Antara barisan kepimpinan PAS yang hadir terdiri daripada Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden, Dato' Husam Musa, Ketua Pemuda, Salahudin Ayub, AJK PAS Mahfuz Omar, Ketua Penerangan Dewan Muslimat, Dr Siti Mariah Mahmud, dan lain-lain lagi aktivis PAS, seperti Subky Abdul Latif, juga Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan, Mohd Nor Mohamad dan Dr Rosli Yaakob.

Daripada KeADILan ialah Bendaharinya, Abdul Rahman Othman dan bekas Naib Presidennya, Saifuddin Nasution Ismail. Turut kelihatan Presiden ABIM, Yusri Mohamad dan ulama Uthman El-Muhammady, yang juga Pesuruhjaya Suhakam dan Felo Kehormat IKIM.

Selain itu turut menarik perhatian ramai ialah kehadiran bekas CEO Proton, Tengku Mahaleel, bekas Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Megat Junid dan Dato' Paduka Ibrahim Ali. Beberapa bekas anggota Parlimen Umno seperti Dato' Ismail Said (Kemaman, yang juga bekas Setiuasaha Perhubungan Umno Terengganu) dan Dato' Ruhanie Ahmad (bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN) juga hadir, di samping beberapa bekas pegawai kanan kerajaan.

Megat Junid yang merupakan tokoh paling rapat dengan Mahathir duduk di atas pentas ketika bekas Perdana Menteri itu berucap. Apabila Mahathir mengadakan sidang akhbar kemudiannya, Megat Junid juga kelihatan di sebelahnya.

Majlis yang sepatutnya bermula sekitar jam 9.00 pagi telah menyebabkan sedikit keresahan di kalangan hadirin kerana ada spekulasi yang menyatakan bahawa Tun Mahathir tidak hadir, namun kegelisahan terubat apabila Tun Mahathir beserta isteri Toh Puan Siti Hasmah muncul pada jam 10.00 pagi dengan memandu sendiri kenderaannya.

Dewan Kelab Century Paradise di mana majlis ini berlangsung, menjadi sesak dengan hadirin mencecah sekitar 600 orang tidak termasuk sejumlah orang ramai yang kecewa kerana tidak dapat memasuki ruang dewan.

Majlis ini turut mendapat liputan sejumlah besar lebih 50 wartawan termasuk jurulensa dan jurukamera daripada pelbagai media dan disiarkan seketika Buletin Utama TV3 jam 8.00 malam pada hari yang sama.

Tun Mahathir memulakan ucapan dengan nada nada seloroh "orang politik apabila berkata tidak akan berpolitik lagi.." disambut dengan gelak ketawa hadirin.

Ucapan khas beliau lebih tertumpu kepada isu jambatan Singapura yang antara lain merupakan kemuncak kemarahan beliau terhadap Pak Lah, selain menjelaskan isu-isu seperti AP, Proton, Agusta, GLC dan lain-lain ldengan diselang-selikan ungkapan sinis dan lucu seperti 'anak menantu', 'lulusan Oxford', 'tingkat 4', 'main golf di Singapura' yang disambut dengan sorakan, tepukan gemuruh serta gelak ketawa hadirin.

Beliau berucap hampir dua jam, selain menjawab hampir 20 soalan yang dikemukakan oleh hadirin melalui borang yang diedarkan oleh penganjur.

Selesai sahaja sahaja sidang media, majlis makan bersama pimpinan politik turut diadakan. Selepas itu, upacara pemotongan kek dilakukan bersama tanda tangan di atas kain pemidang yang menyatakan sokongan terhadap Tun Mahathir.

Ramai pemerhati berpuas hati dengan penjelasan tersebut dan mahukan supaya Tun Mahathir mengadakan 'roadshow' ke seluruh negara bagi menjelaskan kepincangan yang telah dilakukan oleh Abdullah, terutama dalam hal kedaulatan negara yang hampir tergadai kepada pihak asing.

Rata-rata merasakan pertembungan antara Mahathir dan Abdullah sudah tidak dapat dibendung lagi. Ini berdasarkan kritikan Mahathir yang semakin lantang, dan bukan lagi terhad kepada isu-isu tertentu, malah melewati hal-hal asas kepemimpinan Abdullah yang disifatkan begitu lemah dan mudah tunduk kepada tekanan luar

Bookmark and Share

    


  Member Information For qardhawi_jrProfil   Hantar PM kepada qardhawi_jr   Quote dan BalasQuote

qardhawi_jr
Warga 5 Bintang
Menyertai: 23.07.2005
Ahli No: 17517
Posting: 365

Selangor   avatar


posticon Posting pada: 26-06-06 13:57


Mahathir menanti serangan balas Abdullah Ahmad Badawi    
Mon | Jun 26, 06 | 02:28:11 AM
Oleh Mohd Rashidi Hassan, Pengarang Harakahdaily erdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sepatutnya bertindak segera memberikan reaksi beliau di atas kritikan tajam dan pedas yang dilemparkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Barangkali PM berhak untuk menepis atau mengelak, jika segala kritikan terhadap kepimpinannya dilontarkan oleh pembangkang, namun Abdullah tidak seharusnya memandang sepi 'serangan' yang dibuat oleh Mahathir kerana bekas PM tersebut mempunyai 'back-up' yang mencukupi.

Dua rencana yang bertajuk 'Menanti pertembungan terbuka luar jangka' dan 'Mencari pihak ketiga jadi punca krisis Mahathir-Abdullah' dalam Harakahdaily, saya menyentuh bagaimana serangan Mahathir hingga kini tidak dapat ditangkis oleh Abdullah.

Ada pihak mengandaikan bahawa PM tidak mahu bertembung dengan bekas PM secara terbuka, lalu mengarahkan menteri dan agensi kerajaan yang terbabit menjawab segala kritikan bekas PM secara bertulis.

Ada pula pihak yang mengandaikan bahawa PM sememangnya lemah dan tidak mampu untuk berhujah dengan Mahathir!

Barangkali Abdullah sedar dan faham bahawa Mahathir melemparkan kritikan yang dahsyat, tetapi beliau cuba untuk 'cool'kan keadaan dengan tidak mahu mengambil langkah terburu-buru.

Apapun mulut 'orang tua' itu harus ditutup! Jika pembangkang yang tuduh, barangkali pembangkang tidak mempunyai fakta yang tepat. Tetapi apakah bekas PM yang memerintah paling lama dalam sejarah Malaysia membuat tuduhan yang melulu?



Tapi saya ini orang politik, kalau orang politik berjanji dia hendak bersara, bukan boleh percayaMengapa Mahathir mengkritik

Dalam ucapannya Mahathir mengakui bahawa beliau memang berjanji untuk tidak menegur atau mencampuri urusan kerajaan selepas daripada bersara.

"Tapi saya ini orang politik, kalau orang politik berjanji dia hendak bersara, bukan boleh percaya," katanya disambut sorakan hadirin.

Menurut Mahathir sebelum inipun beliau tidak mengkritik, beliau hanya memberi komen sahaja, namun apabila jambatan bengkok dibatalkan, hatinya sudah tidak boleh bersabar.

Malah lebih keras daripada itu Mahathir mendakwa Abdullah memungkiri janjinya, hanya dua minggu selepas memegang jawatan sebagai Perdana Menteri!

Apa janji yang dimungkiri, Mahathir enggan mengulasnya. "Hanya saya dan dia (Abdullah) sahaja yang tahu," kata beliau dalam nada kesal.

Tidakkah ini suatu dakwaan yang amat serius?

Abdullah tiada alasan untuk mengelak

Sebelum ini PM boleh mengelak menjawab segala tuduhan Mahathir, namun, tidak kali ini!

Selepas majlis yang dinamakan 'Mencari Kebenaran' anjuran 26 NGO dengan kerjasama Malaysia-today.net di kelab eksekutif Taman Melawati (Sabtu, 24 Jun 2006), secara terang-terangan Mahathir mempertikaikan kredibiliti Abdullah sebagai Perdana Menteri ke 5 Malaysia yang beliau lantik menggantikannnya, Abdullah harus menjawabnya segera.

Sebenarnya bukan isu yang menjadi persoalan. Mahathir memang lantang pagi itu.

Beliau menyentuh tentang pembatalan jambatan, Proton, AP, MV Agusta, Khazanah Holdings, GLC, isu rasuah dan sebagainya.

Isu yang dibangkitkan ini menurut Mahathir, masih tidak dijawab! Semua jawapan yang menjadi paparan di media massa, sama ada dari Abdullah sendiri Dato' Seri Rafidah Aziz, Dato' Azlan Hashim semuanya diketepikan.

"Semuanya tidak dijawab," kata Mahathir dalam ucapan dan dialog selama lebih dua jam itu.

"La ni kita dapat PM yang tak akan jawab satu pun," kata Mahathir.

Jika Abdullah hendak mengetahui kritikan Mahathir, beliau tidak akan memperolehi maklumat yang betul jika beliau menunggu laporan dari media massa sahaja.

Persoalan yang dibangkitkan oleh media dalam laporan mereka sebenarnya tersasar, media hanya berani melaporkan Mahathir mengulangi kritikan yang sama. Tetapi intipati kritikan Mahathir tidak disiarkan.

Barangkali juga media amat takut untuk menyiarkan sedutan ucapan Mahathir kerana, nescaya jika Abdullah mendengarnya, dia akan 'bingit telinga'.



Abdullah dianggap 'menipu' rakyat dalam isu jambatan bengkok!Abdullah memberikan jawapan yang salah

Menyentuh mengenai isu Jambatan Bengkok, Mahathir secara terang-terang menolak alasan yang diberikan Abdullah, iaitu jambatan dibatalkan kerana dalam rundingan antara Malaysia dengan Singapura sebelum ini, republik itu dikatakan meminta antara lain supaya Kuala Lumpur membenarkan pesawat pejuangnya menggunakan ruang udara negara ini dan membekalkan pasir sebagai balasan.


Abdullah juga memberikan alasan bahawa rakyat Malaysia tidak mahu jambatan.

Menurut Mahathir sebenarnya bukan Singapura, tetapi orang Malaysia yang tidak mahu jet-jet pejuang Singapura menggunakan ruang udara Johor dan menolak penjualan 50 juta cubix meter padu pasir setahun selama 20 tahun kepada Singapura.

Jika difahami secara betul dari penolakan Mahathir terhadap jawapan Abdullah, bermakna beliau mendakwa PM tidak memberikan jawapan yang sebenar kepada rakyat, atau dalam erti kata lainnya, Abdullah dianggap 'menipu' rakyat dalam isu jambatan bengkok!

Pada Mahathir beliau syak bahawa pembatalan tersebut dibuat kerana ada pihak yang tidak dapat mengaut keuntungan. "Saya syak sebab mereka tidak boleh jual pasir," tegas Mahathir, tetapi enggan menamakan pihak mana yang dimaksudkan.

Tunduk kepada Singapura

Secara lebih serius Mahathir menyifatkan pembatalan jambatan bengkok yang dibina dalam kawasan negara Malaysia seolah-olahnya Abdullah memberi kuasa kepada negara asing untuk 'dictate' hak kepunyaan negara Malaysia sendiri.

Hakikatnya kata Mahathir, apabila Singapura boleh mencampuri urusan dalam negara (seperti pembinaan jambatan dalam negara Malaysia), bermakna Abdullah telah 'memberi kuasa negara kita kepada Singapura' sehingga kita 'hilang daulat.'

Mahathir dengan tegas menasihatkan Abdullah supaya tidak terlalu baik dengan negara jiran kerana pengalamannya selama 22 tahun menjadi PM sudah cukup untuk membuktikan betapa sukarnya rundingan dua hala diadakan.

Beliau memberikan beberapa fakta termasuk rundingan menaikkan harga air dan pelbagai lagi usaha untuk berbaik-baik dengan Singapura sengaja disukarkan oleh negara jiran tersebut.

Secara sinisnya bekas PM memperli Abdullah dengan mengatakan, " Sikit-sikit nak pergi (pergi) Singapura main golf, kemudian gosok bahu, apakah dengan cara itu Singapura akan baik dengan kita?"

Tegas Mahathir beliau syak pembatalan jambatan dilakukan kerana pihak tertentu tidak dapat menjual pasir dan tidak memperolehi keuntungan, malah pihak berkenaan membuat perniagaan 'joint-venture' dengan Singapura.

Tetapi Mahathir enggan menamakan siapa pihak tertentu tersebut.



Alahai menantuku sayang...Pengaruh menantu Abdullah

Namun sepanjang ucapan dan dialog selama dua jam itu, Mahathir tidak dapat lari daripada mengkritik dengan keras penglibatan anak menantu Abdullah dalam menentukan hala pentadbiran negara.

Barangkali Mahathir alergi untuk menyebut nama menantu PM iaitu Khairy Jamaludin! Tetapi Mahathir dengan tegas mengatakan bahawa orang yang duduk di tingkat empat bangunan JPM lebih berkuasa dari PM sendiri!

Mahathir menggunakan kiasan dan ungkapan amat sinis kepada Khairy dengan menyifatkannya sebagai 'budak hingus belum kering', 'spin doctor','orang mengaji Oxford sahaja yang cerdik, orang lain bodoh belaka' dan sebagainya.

Jelas kemarahan Mahathir terhadap Khairy tidak pernah pudar.

Beberapa tahun lalu semasa Abdullah menjadi TPM, Khairy mengkritik Mahathir sebagaimana yang disiarkan dalam rencana majalah asing The Economist.

Semasa pemilihan pucuk kepimpinan Umno selepas Pilihan Raya Umum ke 11 tahun 2004 yang lalu, orang Umno berpendapat, pengaruh Khairy dalam pemilihan Pemuda Umno Bahagian Kubang Pasu menyebabkan Mukhriz Mahathir tewas dalam pertandingan Ketua Pemuda bahagian.

Bukan setakat itu sahaja, pengaruh luar biasa Khairy yang begitu hebat sehingga beliau berjaya mengetepikan Mukhriz sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, sehingga anak Mahathir tersungkur sebelum bertanding kerana tidak cukup pencalonan!

Pertembungan Mukhriz-Khairy dua tahun lalu, sebenarnya harus dilihat sebagai titik pertembungan awal Mahathir-Abdullah.

Dendam Mahathir kepada menantu Abdullah tidak akan pudar, malahan semakin bertambah apabila bekas PM itu mengetahui bahawa Khairy mempunyai 'hubungan' dengan musuh nombor satu beliau iaitu Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Setakat ini Mahathir masih mengelak untuk menyentuh soal hubungan Khairy-Anwar.

Namun penganalisis politik percaya bahawa polemik dan krisis kepercayaan Mahathir terhadap Abdullah, sangat berkait rapat dengan Khairy Jamaludin dan Anwar Ibrahim.

Episod ini sebenarnya memberikan implikasi politik yang amat besar dalam negara. Kita harus mengikutinya dengan berhati-hati dan dengan fikiran yang terbuka bahawa serangan Mahathir terhadap Abdullah mahu tidak mahu ada kaitan dengan Anwar Ibrahim.

Mahathir sedar tiada sokongan

Namun, selepas bersara Mahathir sedar bahawa beliau sudah kehilangan sokongan mahupun dari kalangan rakan-rakan Kabinet dan pemimpin-pemimpin Umno. Media juga ditempelak kerana hanya memaparkan berita-berita beliau secara tempelan.

Mengulas mengenai sokongan padu yang diterima Abdullah sebagai PM sekarang ini, Mahathir berkata, semasa menjadi PM dan Presiden Umno, beliau mendapat sokongan yang amat luar biasa daripada anggota Kabinet dan Umno.

"Namun sekarang saya sedar bahawa sokongan itu tiada kualiti," katanya.

Malah Mahathir menempelak sokongan Menteri dan Menteri Besar terhadap Abdullah!

"Mereka sokong apa?" soalnya. "Ini tidak lebih kerana dia (Abdullah) PM, la ni (sekarang ini) 'mana titah patik junjung'," perli Mahathir.

Mahathir ternyata begitu garang sekali, beliau kini ibarat 'harimau belang yang menunjukkan taringya', sebaliknya Abdullah masih diam membisu ibarat 'tikus melihat kucing'.

Dalam usia 81 tahun, Mahathir tegas mengatakan beliau sedia 'berperang' dan ketika ditanya sejauhmana tindakan beliau jika Abdullah tidak menjawab segala kritikannya, Mahathir berkata beliau akan 'ligan' (buru) hingga ke lubang cacing!

Sekarang Abdullah memikul tanggungjawab yang sangat besar, bukan sekadar untuk menjawab segala kritikan Mahathir, tetapi beliau harus memulihkan maruahnya yang tercalar begitu teruk akibat 'serangan' bekas ketuanya sendiri.

'Bola' kini di kaki Abdullah, rakyat sedang menunggu ke arah mana beliau hendak menyepaknya!

Bookmark and Share

    


  Member Information For qardhawi_jrProfil   Hantar PM kepada qardhawi_jr   Quote dan BalasQuote

rajanazri
Warga 3 Bintang
Menyertai: 07.06.2006
Ahli No: 24728
Posting: 123
Dari: n9

NegeriSembilan  


posticon Posting pada: 27-06-06 09:56


sokong mahathir dan pak lah

Bookmark and Share

    


  Member Information For rajanazriProfil   Hantar PM kepada rajanazri   Quote dan BalasQuote

Member Messages

Forum Search & Navigation

 

Log in to check your private messages

Silakan Login atau Mendaftar





  


 

[ Carian Advance ]

Jum ke Forum 




Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.100315 saat. Lajunya....