Soalan:
Ada suatu perkara yang selama ini mengganggu fikiran saya, dan bagi
saya ia telah menjadi perkara yang SERIUS. Saya telah mempunyai empat
orang anak, keempat-empat anak saya tersebut lahir melalui perawatan
doktor lelaki. Semenjak dari pemeriksaan hinggalah sampai mereka lahir,
doktor lelaki itulah yang melaksanakannya. Yang menjadi kemusykilan
saya
apakah pemeriksaan bulanan ketika mengandung yang dilakukan oleh doktor
lelaki tersebut dengan memegang bahagian-bahagian aurat seperti perut
dan sebagainya dikira sebagai darurat. Sedangkan ketika itu isteri saya
bukan dalam keadaan sakit tapi dalam keadaan normal. Apakah hukumnya
jika kita membiarkan perkara itu terjadi di depan kita sedangkan
mungkin
kita boleh mencari alternatif lain seperti mencari doktor pakar wanita
ataupun bidan?
Keluarga Muslim, KL
Jawapan:
Pada diri wanita ada ciri-ciri atau kriteria yang spesifik dan itu
tidak dimiliki oleh lelaki, begitu pula sebaliknya. Apabila salah satu
pihak meninggalkan kriteria yang telah ditetapkan Allah bererti ia
telah
meninggalkan fitrah dan merosak kudrat insaniah. Ada beberapa ketentuan
dalam syariat Allah sehubungan kriteria yang dimiliki oleh wanita, oleh
sebab itu berpegang teguhlah dengan syariat tersebut dan jangan
perkenankan lelaki campur tangan dalam urusan dalaman jika tidak ingin
dirugikan ataupun kehidupan fizikal dan kejiwaan wanita akan rosak.
Secara syariat, wanita muslimah hendaklah menjaga dirinya dan
auratnya dari dilihat orang lain, kerana jika perkara ini terjadi pasti
akan menimbulkan fitnah. Secara fitrah baik lelaki ataupun wanita yang
bukan muhrim bersentuhan pasti akan menimbulkan berahi dan getaran jiwa
yang akan mendatangkan tekanan syahwat baik banyak mahupun sedikit.
Inilah namanya nafsu yang pasti ada pada diri seorang lelaki ataupun
wanita yang normal.
Wanita mengandung ketika mengadakan pemeriksaan bulanan dengan
doktor lelaki bukanlah tergolong dalam keadaan darurat, kerana ketika
itu wanita tersebut bukan dalam keadaan sakit. Jika ia bukan dalam
keadaan darurat sudah tentu hukumnya berdosa ketika seorang doktor
lelaki menyentuh bahagian-bahagian tertentu tubuh wanita tersebut.
Kedudukan darurat dalam Islam adalah jika sesuatu keadaan itu tidak ada
pilihan lain, maka secara terpaksa atau harus kita melaksanakan sesuatu
yang pada dasarnya bertentangan dengan ketetapan Allah. Umpamanya,
memakan daging khinzir hukumnya haram, namun ketika dalam keadaan tidak
ada sedikitpun makanan melainkan daging itu sahaja, sedangkan kita
dalam
keadaan kelaparan yang boleh membawa maut, maka hukumnya menjadi harus
memakan daging tersebut sekadar mengelakkan dari mati.
Begitu juga halnya dalam masalah pemeriksaan bulanan, ia bukanlah
dalam keadaan darurat, sebab masih ada cara lain atau alternatif lain
untuk mencari doktor wanita ataupun bidan yang beragama Islam. Apatah
lagi di negara kita sekarang ini mudah didapati doktor wanita, bahkan
di
hospital dan klinik kerajaan pun kebanyakan yang memeriksa wanita hamil
terdiri dari doktor atau bidan wanita. Mengapa kita mesti mencari
doktor
lelaki jika hanya sekadar menginginkan kepakaran mereka disaat
mengadakan pemeriksaan bulanan. Bahkan doktor wanita yang pakar sakit
puan pun telah ramai di negara ini. Maka tidak timbullah istilah
'darurat' ketika mengadakan pemeriksaan bulanan dengan doktor lelaki
bagi wanita hamil. Kecualilah ketika akan melahirkan, di mana wanita
yang akan melahirkan tersebut memerlukan pembedahan dan perhatian yang
serius dari ramai pihak. Maka ketika ini barulah boleh dipakai istilah
darurat tersebut, kerana wanita yang ingin melahirkan itu tidak
terfikir
masalah lain, melainkan ingin selamat melahirkan anaknya.
Ditinjau dari aspek psikologi pun proses pemeriksaan bulanan yang
dilakukan wanita hamil dengan doktor lelaki ini akan menimbulkan kesan
yang jauh dan negatif dalam hubungan kekeluargaan. Bayangkan saja bagi
seorang wanita yang selama ini hanya disentuh oleh suaminya, tentu akan
merasa suatu getaran ketika lelaki lain menyentuhi tubuhnya. Rasa
kelainan dan getaran inilah yang membenihkan suatu keinginan tertentu
kepada yang lain selain suaminya, lebih-lebih lagi ketika mereka
menghadapi masalah atau krisis rumahtangga. Perkara ini sepintas lalu
nampaknya macam perkara biasa dan sederhana, namun dalam jangka masa
panjang, kesannya sangat membahayakan minda dan jiwa isteri tadi serta
suaminya juga. Dalam hal ini bagi doktor lelaki mungkin tidak merasakan
apa-apa perasaan terhadap pesakitnya, disebabkan terlalu ramai pesakit
yang dirawatnya setiap hari dan ini menjadikannya lali dengan keadaan
tersebut. Namun bagi seorang wanita yang normal dan sihat, getaran di
jantungnya pasti akan terasa dan getaran inilah yang dinamakan syahwat.
Jika perkara ini terjadi bukanlah bererti setiap wanita yang hamil
itu tidak baik atau wanita yang rendah moralnya, malah perkara ini
membuktikan kenormalan wanita tersebut. Dalam hal ini kebijaksanaan
suami sangat dituntut untuk melaksanakan tuntutan Islam agar isterinya
mengadakan pemeriksaan bulanan dengan doktor wanita Islam sahaja.
Saya ingin membawa contoh yang sama dalam diri seorang lelaki.
Bagaimanakah rasanya perasaan seorang lelaki jika bahagian tertentu
tubuhnya disentuh oleh doktor wanita dengan nada bahasa yang
lemah-lembut dan baik. Sebagai seorang lelaki yang normal, pasti dia
akan merasakan getaran di jantungnya, kecualilah jika ketika itu ia
betul-betul sakit (dalam keadaan darurat), sehingga tidak ada yang
lain difikirkannya melainkan kesembuhan dari sakitnya itu. Begitu juga
halnya dengan doktor wanita yang menyentuh pesakit lelaki mungkin
merasa
lali dengan situasi tersebut disebabkan profesi dan tanggungjawabnya
sebagai seorang doktor.
Fahamilah tentang kaedah batas-batas aurat bagi seorang wanita atau
lelaki yang bukan muhrim. Jika perkara ini tidak diberi perhatian
secara
serius, lama kelamaan akan runtuhlah sendi institusi rumahtangga
keluarga muslim. Seandainya seluruh umat Islam tidak mengambil berat
tentang perkara ini, bukan saja institusi rumahtangga malah negara pun
akan runtuh kerana kejatuhan nilai moral dan agama dalam kehidupan
bangsa. Peliharalah diri dan keluarga kita agar kehidupan bahagia di
dunia dan di akhirat serta terhindar dari seksa api neraka. Wallahu A'lam...
-----------------