Orang tua-tua kita selalu mengingatkan bahawa masa remaja adalah masa
pancaroba kerana remaja sedang mencari tapak untuk berdikari dan bebas dari
kongkongan ibu bapa. Biasanya remaja merasa bahawa kuasa yang ada pada ibu
bapa, guru-guru dan orang dewasa terlalu kuat yang boleh menghalang
pencapaian cita-cita mereka. Perbezaan besar pendapat dan gaya hidup remaja
dengan ibu bapa, orang dewasa dan guru akan mencetuskan permusuhan kerana
remaja menganggap bantahan itu merendahkan harga diri mereka yang memang
telah sedia bergelora. Oleh itu apabila berlaku perselisihan, remaja akan
menjadi rakan sebaya mereka atau mereka bertindak nekad melakukan kejahatan
untuk membuktikan kepada ibu bapa atau orang yang lebih tua bahawa mereka
boleh berdikari atau mampu melakukan apa yang orang dewasa lakukan.
Sebenarnya pencarian konsep diri telah bermula sejak anak masih kecil lagi
tetapi pada masa remaja mula kelihatan menonjol kerana remaja mula pandai
belajar berfikir dan menggunakan emosinya hasil daripada interaksi dengan
dunia luar, iaitu ibu bapa, rakan sebaya dan persekitaran. Masa remaja
sendiri penting bagi perkembangan konsep diri kerana pada masa inilah remaja
mengalami proses pemurnian dan sekaligus mengalami perubahan. Bagi
kebanyakan remaja, proses pemurnian konsep diri berjalan lancar, tetapi
mereka yang jauh menyimpang dari pemurnian itu, pertumbuhan hidupnya akan
menghadapi masalah, iaitu manusia yang kotor peribadinya.
Faktor Kenakalan Berdasarkan pandangan Islam dan sokongan teori psikologi kaunseling barat,
punca kenakalan remaja boleh dibahagikan kepada empat faktor:
Pertama : Faktor keluarga Akhlak anak bermula di rumah. Anak sejak kecil dan sebahagian besar masanya
berada dalam lingkungan keluarga. Ini menunjukkan perkembangan mental,
fizikal dan sosial adalah di bawah kawalan ibu bapa atau tertakluk kepada
skrip hidup yang berlaku dalam sesebuah rumahtangga. Oleh yang demikian jika
anak remaja menjadi nakal atau liar maka kemungkinan besar puncanya adalah
berasal dari pembawaan keluarga itu sendiri. Isu pembawaan keluarga itu
ialah;
a. Status ekonomi ibu bapa yang rendah dan dhaif di mana anak membesar dalam
keadaan terbiar.
b. Kehidupan ibu bapa yang bergelumbang dengan maksiat.
c. Ibu bapa lebih mementingkan kerjaya atau pekerjaan daripada menjaga
kebajikan keluarga.
d. Rumahtangga yang tidak kukuh atau bercerai berai.
e. Syiar Islam tidak kukuh dalam rumahtangga.
Kedua : Faktor Peribadi Yang Kotor. Peribadi yang kotor adalah merujuk kepada seseorang yang rosak akhlaknya
atau mempunyai sifat-sifat yang keji (mazmumah) seperti pemarah, tamak,
dengki, pendendam, panas baran, sombong, tidak amanah dan seumpamanya.
Keadaan ini berlaku kerana individu itu telah dikuasai oleh naluri agresif
dan tidak rasional yang mewakili nafsu kehaiwanan, hasil daripada pendendam
dan pengalaman yang diterima sejak kecil. Peribadi yang kotor mungkin telah
bermula sejak kecil dan kemudian diperkukuh pula bila anak itu melalui zaman
remaja. Dengan lain-lain perkataan peribadi fitrah anak telah terencat dan
menjurus kepada peribadi yang kotor hasilnya.
Ketiga : Faktor sekolah. Sekolah merupakan tempat memberi pengajaran dan pendidikan kedua kepada anak
selepas ibu bapa. Faktor sekolah yang boleh mempengaruhi anak ialah:
a. Disiplin sekolah yang longgar.
b. Ibu bapa tidak mengambil tahu kemajuan dan pencapaian anak di sekolah.
c. Guru tidak mengambil tahu masalah yang dihadapi oleh murid-murid.
Keempat : Faktor Persekitaran Faktor persekitaran adalah merujuk kepada peranan masyarakat, multi-media
dan pusat-pusat hiburan yang menyediakan pelbagai produk yang boleh
menggalakkan dan meningkatkan rangsangan seksual.
Aktiviti faktor persekitaran yang boleh merosakkan akhlak manusia ialah: i) Persembahan konsert rock
ii) Pusat-pusat video game
iii) Pengguguran
iv) Pergaulan bebas lelaki dan perempuan
v) Penyiaran gambar lucah
vi) Penubuhan pusat-pusat hiburan yang berunsur seks
vii) Aktiviti simbol seks seperti pertandingan ratu cantik dan pertunjukan
fesyen wanita.
Oleh: Ghafani bin Awang Teh
-----------------